Prinsip Kejayaan : Sikap dan Kecemerlangan Hidup

Seringnya orang berkata, saya merasa bosan hendak pergi sekolah / kerja. Mereka hendakkan lebih banyak cuti dan berehat. Sebaliknya, ada orang yang tidak sabar hendak memulakan kehidupan harian dan menikmati dunia kerjanya. Apakah perbezaan di antara mereka yang berbeza sikap kerja? Semuanya berdasarkan tabiat minda kita sendiri.  Jika anda mempunyai sikap yang positif , anda akan melihat sesuatu dengan perspektif yang berbeza dan keputusan hidup anda juga berbeza juga. Pepatah menyatakan “Nikmatilah kerja anda dan anda tidak akan perlu kerja lagi.”

Kerap orang menyatakan “Ini bukan periuk nasi saya, saya tidak berkelayakan untuknya.” Sebaliknya, ada orang yang berusaha dengan gigih untuk mempelajari serta mengadaptasi dengan cabaran yang baru. Mereka mencapai prestasi jutawan dan memperbaiki taraf hidup mereka. Semua ini adalah berpandu pada tabiat minda seseorang. Jika minda anda mempunyai sikap limpahan, anda tidak akan menolak sesuatu peluang dan cuba sedaya upaya untuk komited dengan cabaran baru yang menjangkaui bakat dan batasan anda. Seperti kata pepatah, « anda akan memiliki apa sahaja yang anda hajatkan jika akan lepaskan kepercayaan diri kononnya anda tidak berhak dengannya. » – Dr. Robert Anthony

Kerapnya seseorang merasa tersinggung dengan sesuatu kejadian yang mencabar hidupnya. Mereka mengadu hidup yang malang dan mereka rasa amat terseksa dengan apa yang terjadi. Sebaliknya, ada orang yang senyum dan menyatakan “Tidak apa, teruskan perjuangan saya, yang terbaik akan datang nanti.” Mereka fikirkan perspektif yang positif dan menjangka semua kebaikan yang bakal mendatang (biarpun ia tidak berlaku). Ini membuatkan hidup mereka lebih selesa dan menarik. Semua ini bergantung kepada tabiat minda anda.  Tanggapan anda terhadap setiap kejadian di sekitar anda menentukan reaksi dan tindakan yang anda yang seterusnya. Pepatah menyatakan “Sekadar merungut dan menyalahkan persekitaran today akan menyumbang terhadap kejayaan seseorang.”

Kerapnya seseorang berkata “jika saya diberi bantuan, jika saya mempunyai peluang, jika bapa saya mengizinkan saya masuk universiti , saya akan menjadi seorang yang kaya.” Sebaliknya, ada juga orang yang berusaha habis-habisan dan mengatasi semua kekurangan serta limitasi diri. Mereka menghadiri kelas malam, mereka melabur wang dan masa untuk melengkapkan diri dengan sesuatu yang dihajatkan, mereka juga merancang dan mencari jalan untuk mengatasi semua kekurangan dan cabaran yang berlaku dalam hidup. Semua ini membuktikan kuasa tabiat minda. Bagaimana cara anda mengatasi kekurangan diri serta menyusuli dengan siri tindakan yang dapat membina sesuatu yang anda hajatkan dalam hidup. Pepatah menyatakan “Biarpun seluruh dunia bercanggah dengan anda, anda masih mempunyai pilihan yang terakhir, iaitu membina harapan dengan melakukannya sendiri.”

Adanya orang berkata. “Hidup saya sungguh menyeksa, banyak masalah dan banyaknya perkara luar jangka yang membawa kesakitan dalam hidup.” Ada juga orang berkata, “ Hidup saya sungguh menarik, semua masalah membuatkan saya seorang yang lebih matang dan tahan lasak. Terima kasih atas semua pengalaman pahit yang dapat melengkapkan hidup saya untuk bersiap sedia dengan kejayaan yang lebih besar kelak.  Sekali lagi, ia bergantung pada tabiat minda anda. Kita boleh menjadi mangsa kepada sesuatu masalah atau menjangkauinya dan menjadi tuan pada hidup sendiri. Pepatah menyatakan “Masalah adalah tonik hidup yang dapat menjadikan hidup lebih bermakna dan menarik.”

Selalunya orang berkata, “Hidup saya telah ditakdirkan dan saya tidak dapat buat apa-apa untuknya.”. Sebaliknya, ada orang berkata “ Apa sahaja yang menghantui hidup, saya tetap buat yang terbaik untuk mencapai apa yang saya hajatkan.”Sekali lagi, ia bergantung pada sikap minda anda.  Tidak ada sesiapa boleh mengawal persekitaran dan perkara luar jangka, tetapi kita boleh mengawal minda kita sendiri.  Projek anda mungkin ditangguhkan, tetapi akhirnya anda tetap menyempurnakannya. Pepatah menyatakan “Jangan izinkan persekitaran mengawal anda, anda boleh mengubah persekitaran anda.” – Jackie Chan

Selalunya orang berkata , “Hidup amat tidak adil dengan saya, mengapa orang lain tidak memahami saya, mengapa kemalangan menimpa hidup saya.” Sebaliknya, ada orang yang merempuh berbagai dugaan dan menjadi seorang juara. Mereka menjadikan isu yang tidak adil menjadi suatu kekuatan untuk terus berjuang dan mengejar apa yang mereka hajatkan.  Mereka menukar ketidapuasan menjadi suatu sumber pembelajaran. Dengan  erti kata lain, mereka menjadikan semua kejadian menjadi suatu perspektif yang positif. Pepatah menyatakan “Apa yang berlaku dalam hidup anda tidaklah penting, sebaliknya cara anda melayan dan melihat pada semua kejadian menentukan nasib hidup anda”

Seterusnya, marilah kita menilai kiraan “Sains Angka”. Kepakaran dan bakat hanya memberi markah 82%. Ramai orang yang berkelulusan tinggi hanya kekal sebagai seorang pencapai sederhana, mereka tidak layak menikmati hidup yang mewah. Ilmu memberi markah 96%, ramai graduan gagal mencapai kejayaan yang besar dalam hidup.  Akhirnya, sikap memberi markag 100%. Biarpun seseorang tidak diberi pendidikan dan kepakaran, beliau tetap dapat memanjat tangga kejayaan dalam hidup dan mencapai prestasi luar biasa.

Sebagai kesimpulan, sikap adalah landasan kepada kejayaan. Biogenic Model menawarkan siri latihan minda yang dapat membantu seseorang membaik pulih sikap dan keperibadian kearah kejayaan yang yang dihajatkan. Siapa sahaja diri anda , samada anda seorang pelajar, seorang guru atau professional, anda pasti menghadapi berbagai cabaran dalam hidup. Dengan sikap yang betul, anda akan dapat merasa hidup yang lebih menarik, gembira dan menjanjikan kebahagiaan.

 

Prinsip Kejayaan Kerjaya : Petua mencari kerja

Jumlah kerja yang terhad dan pilihan yang tidak sebati dengan jita rasa seseorang  menyebabkan adanya individu yang masih mengadu “tiada kerja”. Sebaliknya, kita mungkin berjumpa dengan kerja yang kita minati tetapi gagal mendapat tawaran peluang kerja dari syarikat Kita mungkin mengeluh, mengapalah saya tidak dapat kerja yang dihendaki, sedangkan kawan-kawan lain sudah berjaya menemui kerja masing-masing.  Berikut ini membentangkan beberapa kualiti yang dihendakli oleh sesebuah syarikat sebelum mereka mempertimbangkan permohonan anda.

 

Pertama : Menunjukkan minat anda

Kerja yang anda minati diibaratkan sebagai hobi.  Jika anda minat sesuatu, anda tidak akan rasa tertekan untuk melakukannya. Sebaliknya, anda akan terus mencari jalan untuk memajukan diri anda dalam aspek kerja berkenaan.  Contohnya,  jika anda minat memasak, pilihlah kerja yang bersangkutan dengan masakan. Majikan sering memilih individu yang berminat dengan kerja yang ditawarkan.  Ini kerana pekerja sedemikian sanggup bertugas biarpun gaji bulanan tidak begitu lumayan.  Seseorang  yang mempunyai kemahuan untuk merebut sesuatu peluang kerja akan sanggup memberi komitmen bahawa dirinya betul-betul ikhlas dengan permohonan tersebut.  Sebaliknya, individu yang tidak minat dengan sesuatu kerja menonjolkan air muka yang muram dan tidak bersemangat.  Sering kali, reaksi kita waktu temujanji akan menentukan samada diri kita dipilih atau tidak.

 

Kedua : Mempunyai keyakinan untuk menangani semua tugasan kerja

Seseorang  yang sanggup menyahut semua cabaran kerja dan berjanji untuk menjalankan semua tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh akan sering ditawarkan kerja berbanding dengan individu yang meragui keupayaan untuk melaksanakan tugasan waktu temujanji.  Bila ditanya, “bolehkan anda menjalankan tugasan ini?” Individu yang berkeyakinan tinggi akan menjawab, “Saya pasti boleh.  Jika ada sebarang kemuskilan, saya akan menanya dan saya sanggup belajar sehingga pandai.”  Sebaliknya, individu yang kurang keyakinan akan menjawab “Belum pasti boleh atau tidak , nampaknya kerja ini amat sukar sekali.”  Majikan sering memberi peluang kerja  kepada individu yang mempunyai keyakinan tinggi.  Keyakinan tidak menggambarkan keupayaan atau kredibiliti seseorang , tetapi ia menggambarkan semangat seseorang  untuk meneroka kerja yang mencabar.

 

Ketiga : Sanggup berhadapan dengan semua kemungkinan

Setiap peluang kerjaya mempunyai kekurangannya yang tersendiri.  Tidak ada kerja yang dikatakan sempurna.  Anda mungkin perlu bergelut dengan suasana kerja yang kurang selesa, asrama yang bising dan panas , sikap rakan seperjuangan yang berbagai perangai dan rungutan atau teguran dari atasan.  Jika majikan bertanya, “Adakah anda sanggup bekerja dalam situasi yang menyukarkan”, mereka hanya mahu mengetahui samada anda seorang yang mempunyai daya tahan yang tinggi.  Individu yang kurang daya tahan akan menjadikan setiap masalah atau kekurangan sebagai suatu alasan untuk berhenti kerja.  Majikan lebih berminat dengan individu yang sanggup menyahut tanggungjawab kerja tanpa mempersoalkan keselesaan dan kepentingan diri.  Yang penting, anda menyiapkan kerja yang ditugaskan serta mengikut arahan majikan dengan sebaik-baiknya. Contohnya,  seseorang  yang sanggup mengorbankan masa hujung minggu untuk menghadiri mesyuarat syarikat akan lebih diberi keutamaan melayakkan anda dengan kerja tersebut.

 

Keempat : mengungkitkan kehebatan diri

Seseorang  yang dapat menghiaskan riwayat hidupnya dengan kejayaan dan kecemerlangan akan lebih kerap mendapat peluang kerja yang baik.  Janganlah segan untuk membicarakan kehebatan diri anda waktu temujanji. Elakkan dari menonjolkan sikap dan keperibadian yang negatif.  Jangan ceritakan sesuatu yang menggambarkan sikap negatif diri sendiri.  Contohnya,  jangan katakan “Saya tidak puas hati dengan majikan saya sebelum ini.” Sebaliknya , ceritakan sesuatu yang menggambarkan ktrampilan anda.  Contohnya,  Bagaimana anda menolong syarikat anda menyelesaikan sesuatu masalah yang rumit.  Bagaimana anda menurunkan kos operasi syarikat dan menjimatkan wang beribu-ribu ringgit.  Semua pengalaman kerja yang positif akan membolehkan majikan anda menilai permohonan anda dengan lebih baik.

 

Kelima : Mempunyai niat untuk maju

Majikan lebih berminat dengan orang yang mempunyai cita-cita dan sedia membina masa depan diri dengan menyahut kerja yang mencabar.  Orang yang berjiwa besar adalah individu yang mengubah nasib hidupnya dengan meneroka peluang kerja yang lebih tinggi.  Mereka tidak mahu jaminan gaji yang lumayan , tetapi mereka mahukan kerja yang membawa prospek masa depan yang cerah.  Masa temujanji, jangan terlalu menuntut hak dan kepentingan diri. Sebaliknya, bertanya “Apakah lagi yang perlu saya lengkapkan untuk membolehkan diri saya menjalankan tugasan dengan lebih berkesan.”  Beritahu majikan bahawa diri anda akan dapat menguasai semua aspek tugasan dengan sempurna. Anda juga boleh buktikan bahawa prestasi kerja merupakan jawapan yang paling baik menggambarkan kredibiliti dan kesungguhan anda.  Masa akan menentukan kualiti diri anda.  Majikan lebih menghormati individu yang dapat membuktikan sesuatu sebelum meminta layanan serta ganjaran yang lebih tinggi.  Jika peluang kerjaya anda menawarkan sistem kenaikan pangkat , anda boleh nyatakan hajat anda untuk menaiki tangga tertinggi dalam hiraki tersebut.  Jika jiwa anda berkobar-kobar untuk maju, pihak majikan juga bersemangat untuk mengambil anda.  Ini kerana mereka mahukan seseorang  yang dapat memajukan perniagaan mereka.

 

Keenam : Jiwa berpasukan

Majikan tidak berminat dengan individu yang cepat marah dan cenderung menimbulkan masalah dengan kaki tangan lain.  Penting sekali, tunjukkan jiwa penyabar anda. Jangan mudah merajuk bila anda diajukan sesuatu pertanyaan yang bercanggahan nilai diri anda.  Selalunya, pihak majikan akan sengaja menguji quota emosi (Emotional quotion) anda dengan memberi beberapa kenyataan yang menyakitkan atau mengecewakan anda.  Seseorang  yang cekap dalam aspek perhubungan manusia akan dapat menangani cabaran dan tekanan dari rakan seperjuangan dengan baik.  Sebaliknya, individu yang negatif akan menjadi mangsa pada perselisihan manusia.  Mereka perlukan kesabaran dan bertimbang rasa. Majikan tidak begitu berminat dengan individu sedemikian biarpun dirinya mempunyai tahap kredibiliti teknikal yang tinggi.

 

Kesimpulan

Anda perlu melengkapkan diri dengan kualiti diri yang tinggi demi merebut peluang kerjaya dalam dunia yang penuh dengan persaingan.  Mudah-mudahan , pendekatan yang dibentangkan dalam ruangan ini akan dapat menolong anda mendapatkan peluang kerja yang anda minati.  Saringan majikan pada individu yang mempunyai kepakaran dan kelayakan yang sama adalah berdasarkan pada sikap dan keperibadian.  Dengan erti kata lain, keenam-enam aspek di atas adalah landasan kejayaan seseorang  untuk seseorang  mendapat peluang kerja.  Penganggur bukan semestinya orang yang tidak ada kemahiran, tetapi mungkin dikategori dalam kumpulan orang yang lemah keperibadiannya.

Prinsip Kejayaan : Persabahatan Positif Membina Motivasi

Jenis pergaulan akan mempengaruhi motivasi seseorang .  Untuk mereka yang mahukan kejayaan, pilihlah rakan yang boleh memberi tenaga positif dan kekuatan. Mereka yang tidak waras memilih kawan akan mudah terjebak dengan pergaulan bebas yang bukan sahaja membuang masa, tetapi merugikan masa depan sendiri.

Bagaimana hendak memilih kawan yang positif .  Ini merupakan suatu ilmu hidup yang penting khususnya kepada muda-mudi yang baru menceburkan diri dalam dunia kerja. Ramai belia masih mentah dalam dunia kerja mudah menjadi mangsa kepada golongan rakan sebaya yang indah di mulut tetapi berbisa di hati.  Mereka terikut-ikut suatu yang nampaknnya membawa keuntungan dan kebaikan secara lahiriah tetapi akhirnya meruntuhkan.  Ramai yang masih bertanggapan kawan mereka baik.  Bila ibu bapa memberi komen dan pandangan untuk memisahkan anaknya dengan rakan baiknya, mereka(anak) marah.  Ada belia yang cuba melarikan diri dari rumah dengan kawan.  Bila tragedi berlaku – baru mereka balik rumah.

Napoleon Hill dalam bukunya “Think and Grow Rich” membentangkan konsep motivasi dengan sistem pergaulan induk (Master Mind Meeting ). Seseorang  yang mahu berjaya hendaklah sering bergaul dengan rakan yang membina. Untuk membolehkan kita membina skop pergaulan yang positif , terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.

Pertama : Pergaulan yang membawa matlamat.  Pilih rakan yang dapat membina cita-cita serta menyuburkan minat anda. Contohnya, jika cita-cita anda ialah untuk menjadi seorang juara Thomas Cup; cari rakan yang sehaluan dan dapat berlatih sama-sama.  Jika diri anda hendak menjadi seorang pelajar cemerlang , sering belajar bersama kawan yang  berdaya maju di perpusatakaan. Terdapat banyak persatuan di bandar yang membolehkan anda berkenalan dengan rakan yang seiras dengan bakat dan harapan anda. Contohnya, Persatuan Toastmasters International  mempunyai ahli yang suka berpidato, Kelab Lion mempunyai ahli yang suka berkhidmat kepada masyarakat dan sebagainya.

Kedua : Rakan yang mempunyai kehebatan dan ketrampilan.  Jadikan mereka sebagai model dan dapatkan tunjuk ajar dan pengalaman mereka.  Kawan sebegini dapat memberi semangat untuk anda.  Kejayaan dan prestasi mereka sudah cukup menyakinkan anda bahawa suatu hari kelak, anda juga boleh mencapai apa yang mereka buktikan.  Perhatikan cara hidup dan mentaliti mereka, apakah sifat peribadi yang telah membawanya ke tahap kejayaan sekarang.  Bila anda bersama dengan orang yang hebat, anda boleh dapatkan komen dan tunjuk ajar.  Mereka telah banyak makan garam.  Agen insuran baru hendaklah selalu bergaul dengan agen lama yang berpengalaman.  Sebaliknya,  ramai belia memilih kawan yang boleh memberi “perasaan baik” semata-mata, ada yang lena bersama dengan kawan dalam pusat hiburan dan berborak kosong sampai larut malam.  Perasaan baik adalah suatu yang sementara, ia tidak membawa suatu yang bernilai dalam usaha memperbaiki status hidup seseorang .

Ketiga : Rakan yang sedia berkorban.  Perhubungan manusia adalah suatu urusan dua arah. Mereka menerima bantuan anda dan juga sedia memberi bantuan kepada anda. Bantuan yang dimaksudkan boleh dari segi wang, masa dan tenaga. Rakan yang sedia memberi bantuan tidak hanya mementingkan diri sendiri. Rakan sebegini mengambil berat tentang hidup dan minat diri anda.  Mereka tidak akan kedekut memberi anda sesuatu yang baik untuk masa depan anda. Bila kita sedih, mereka korbankan masa untuk menemani anda.  Bila kita bermasalah, mereka korbankan masa untuk memberi nasihat dan pedoman.  Pengorbanan bukan hanya diukur dalam konteks material dan kewangan, tetapi yang lebih penting ialah sokongan moral, nasihat dan komen membina. Sebaliknya, rakan yang tidak sedia berkorban hanya cuba memperdayakan kawan untuk kepentingan diri yang sempit. Mereka akan mengguna semua kesempatan untuk mengeksploitasikan kawan demi masa depan dirinya.

Persoalan dari John S. : Saya mempunyai ramai kawan yang suka berjalan-jalan dan bersiar-siar.  Kami berjalan di Wisma Merdeka, dan balik lewat malam. Kadang-kadang, kami duduk di kedai kopi untuk berjam-jam. Saya suka dengan mereka sebab mereka dapat membuatkan saya rasa baik.  Kalau di rumah, saya dapat tekanan dari ibu bapa dan masalah keluarga. Saya suka untuk menghabiskan masa dengan kawan di luar.  Biarpun Saya marah setiap kali ibu bapa saya mempertikaikan kawan saya. Mereka tidaklah jahat sebagaimana yang ibu bapa saya fikirkan.  Apakah komen Hilter Yew .

Jawapan: Sememangnya, setiap orang berhak memilih kawan yang dia suka.  Tetapi , nampaknya kawan  yang anda ikuti adalah golongan yang tidak berdaya maju.  Mereka hanya suka berjalan dan bersiar-siar. Anda merasa baik, tetapi tidak produktif.  Saya pasti John juga jarang ke perpustakaan untuk belajar.  Ini kerana ragam kawan anda telah memberi kesan negatif secara tidak langsung.  Mereka mempengaruhi anda dengan budaya hidup yang lemah dan tidak produktif.

Kalau kita betul-betul mengambil berat dengan masa depan sendiri.  Gantikan kawan sebegini dengan kawan yang lebih berdaya maju.  Sememangnya, kawan anda sekarang bukannya jahat atau bermasalah.  Tetapi, cara hidup mereka hanya untuk mencari ketenangan dan keseronokan dengan berjalan-jalan dan berbual kosong.  Mereka leka dengan tanggungjawab untuk maju dan berjaya.  Dari segi kewangan, mereka masih boleh dapatkan bantuan dari ibu bapa.  Berapa lama ibu bapa boleh menjaga kita? Suatu hari kita juga akan mencari kerja dan berdikari.  Kalaulah usia remaja dibuang tanpa kejayaan akademik dan ko-korikulum, kita tidak akan menikmati tahap kerja yang tinggi.  Maklumlah, dalam dunia yang sengit bersaing hari ini, hanya mereka yang betul-betul bersedia dan berkelayakan yang akan mendapat tempat yang tinggi dan pulangan yang baik.

Sememangnya, ibu bapa tidak memahami kawan anda. Mereka mungkin menggambarkan kawan anda sebagai samseng.  Ini kerana mereka tidak pernah jumpa atau bercakap dengan kawan anda.  Tetapi diri anda tahu, apakah kawan anda sekarang boleh membawa anda ke puncak jaya.  Apakah keputusan peperiksaan anda. Apakah prestasi aktiviti luar darjah anda.  Bolehkah kita menggantikan masa bersama kawan sekarang dengan aktiviti sukan , riadah atau persatuan.

Fikirkan,  apakah jenis masa depan yang anda mahukan.  Apakah masa depan kawan anda ?  Adakah kita mahu jadi seperti mereka yang hanya mahukan hidup sekadar dengan gaji yang hanya cukup untuk mengisi perut. Apakah kita mempunyai modal untuk membeli kereta, rumah atau belanja untuk anak kelak? Kesedaran ini amatlah penting, kerana ia membantu anda berfikir ke depan. Mentaliti hendak maju dan berjaya hendaklah ditanam seawal-awalnya waktu remaja.  Janganlah tunggu sampai waktu kerja kelak baru kata, saya mahu berjaya – sudah terlambat.  Lengkapkan diri anda dengan segala ketrampilan sekarang agar kita tidak hidup dibawah garis kemiskinan.

Kalau kita gagal membantu dan menolong kawan untuk sedar dan kembali ke jalan yang benar. Tinggalkan mereka dahulu.  Jaga diri dengan baik-baik.  Masa depan anda adalah jauh lebih penting dari melayan kawan anda . Biarpun hidup tanpa kawan dan berseorangan, isikannya dengan tanggungjawab belajar atau membantu keluarga. Masa depan anda pasti cerah.

Hidup ini bukannya suatu proses yang senang (Problem free). Biapun kita berhadapan dengan tekanan dan masalah di rumah, janganlah kita lari.  Yang penting, kita melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Pepatah berkata, ” Masalah adalah pencetus idea”, ini bermaksud setiap masalah dan kesakitan boleh memberi inspirasi untuk kita maju dan berjaya  – kalaulah kita sedia berfikir dan berhadapan dengannya .  Tetapi, kalau kita melarikan diri dari masalah dan mencari berseronok atau bergembira dengan kawan di tempat-tempat hiburan, akhirnya masalah akan terus berlarutan.

Kesimpulan, pilihlah kawan yang positif dan berkualiti.   Gunakan akal untuk memilih kawan, jangan hanya berpandukan perasaan dan emosi.  Ramai yang bercerai atau sakit dalam percintaan kerana salah memilih kawan.  Mereka gagal mengenal isi hati kawannya ,akhirnya diri juga yang merasa.