Prinsip Kejayaan : Kualiti kerja perlu ditingkatkan

Sebagai seorang anggota pasukan dalam sesebuah syarikat atau organisasi, kita hendaklah membentuk budaya kerja yang unggul dan cemerlang.  Ramai majikan tidak suka dengan ahli pasukan yang sekadar melepaskan batuk di tangga dan tidak buat kerja bersungguh-sungguh.  Ruangan ini memaparkan beberapa budaya kerja yang pasti menjadi tuntutan semua syarikat yang mementingkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan.  Jika masa-mana syarat yang disenaraikan berikut belum menjadi amalan anda , janganlah kita terlalu menyalahkan majikan kerana layanannya tidak baik, gaji tidak naik, tekanan emosi dan dan teguran berterusan yang terus mencucuk telinga anda.

Pertama : Berdisiplin

Tidak ada majikan yang suka pada pekerja yang bertindak mengikut kesukaan dan enggan mematuhi peraturan dan tata tertib syarikat.  Ini termasuk masa kerja, masa berehat dan bercuti.  Pastikan diri anda melakukan sesuatu yang perlu dan tidak sekali-kali mencari alasan untuk melindung diri akibat gagal mematuhi apa yang telah diberitahu.  Disiplin adalah suatu amalan yang perlu dilaksanakan biarpun anda tidak suka demi imej dan perkembangan pasukan.  Ramai orang tidak suka disiplin kerana mereka tidak mahu dikongkong.  Mereka mahu kebebasan.  Akibatnya, mereka gagal membina jiwa berpasukan.

 

Kedua : Sikap berterus-terang

Sentiasa berterus-terang dan meminta maaf jika benarnya anda belum menjalankan tanggungjawab sebagaimana yang telah dimandatkan.  Jangan selindungkan kelemahan diri.  Yang penting buktikan anda tidak mengulangi kesilapan yang sama.  Pekerja yang cuba menipu majikan atas kesilapan dan kelemahan diri adalah suatu yang boleh merosakkan penghormatan dari atasan.  Tidak ada orang yang bebas dari kesilapan, yang penting kita perlu mencari penyelesaian.

 

Ketiga : Memaklumkan perkembangan anda

Majikan tidak akan tahu perkembangan dan masalah anda jika diri anda tidak memaklumkan perkembangan dari masa ke semasa baik secara bermesyuarat atau secara bertulis.  Biarpun anda telah buat yang terbaik, anda masih mungkin tidak dapat perhatian yang sewajarnya. Ini kerana majikan tidak berada di sisi anda dan dirinya tidak tahu apa yang anda mahu dalam usaha meningkatkan prestasi kerja anda.  Jika diri anda tidak boleh menjalankan sesuatu kerja, maklumkan dengan awal kepada majikan supaya dirinya dapat mencari seseorang  untuk mengganti kedudukan anda.

 

Keempat :  Sedia berbincang

Tidak ada idea yang dikatakan terbaik.  Biar baik macam mana pun cadangan anda masih tidak semestinya sesuai untuk organisasi anda.  Setiap orang mempunyai pendirian yang tersendiri.  Amalkan budaya kerja yang bertolak-ansur dan sanggup bertindak sebagai satu pasukan.  Ini bermaksud kita perlu sentiasa berbincang  dan tidak sekali-kali menyalahkan orang lain biarpun idea atau cadangan anda tidak diterima.  Majikan tidak suka kepada pekerja yang degil.   Mereka suka kepada pekerja yang setia dan sanggup berkorban kepentingan diri untuk kejayaan pasukan.

 

Kelima : Suka menerima nasihat

Majikan suka kepada pekerja yang berdaya maju.  Layankan semua nasihat sebagai niat murni dari pihak atasan untuk memajukan diri anda dan syarikat anda.  Bila syarikat maju, pasti semua ahli pasukan juga merasai buahnya.  Jangan sekali-kali menunjukkan air muka yang masam atau sakit hati bila anda menerima sesuatu nasihat yang mengancam keperibadian anda.  Sentiasa memberitahu diri sendiri , bertuah saya dapat menerima pesanan yang sebegitu berharga.  Saya pasti pengalaman ini dapat membina masa depan saya.  Sebaliknya,  individu yang bersikap bongkak dan tidak suka dibimbing atau diberi tunjuk- ajar akhirnya menjadi mangsa pada masalah yang sama kelak.  Bila seseorang  gagal mengubah dirinya, prestasi pasukan tidak akan maju.  Jika betulnya ahli pasukan sebegini wujud dan seseorang  majikan tidak mahu racunnya merebak ke ahli pasukan lain; cara yang terbaik ialah menggantikan orang sebegini dengan seseorang  yang lebih berkualiti.

 

Keenam : Sikap cepat marah dan emosi yang tidak stabil

Biarpun betapa cekapnya seseorang  dalam tugasannya, jika dirinya tidak dapat mengawal emosi dan sering meledak dan menimbulkan ketegangan dalam pasukan, sudah pasti berbagai masalah akan wujud.  Ia bukan sahaja memberi tekanan emosi kepada rakan seperjuangan, kemungkinan juga merosakkan perhubungan dengan pelanggan-pelanggan.  Setiap orang mempunyai maruah dan harga diri yang perlu dijunjung dan dihormati.  Bila seseorang  cuba mencetuskan perbalahan atas sebab ketidakpuasannya terhadap seseorang  dalam organisasi, maka perpaduan pasukan akan tercemar.  Tidak anda seseorang  yang suka bekerja dalam suasana kerja yang sering menimbulkan berbagai kekecohan dan permusuhan.

 

Ketujuh : Tidak hanya memperkatakan orang lain

Seseorang  pekerja yang suka mempertikaikan kesilapan orang lain seolah-olahnya diri tidak bersalah adalah suatu sikap yang boleh menimbulkan ketegangan dalam organisasi.  Majikan hendaklah bijak menilai dan membuat keputusan.  Mereka perlulah tahu, yang benar itu tetap benar. Sikap mengfitnah dan merosakkan imej dan keperibadian orang lain akan membentuk suatu suasana kerja yang saling menuduh dan akhirnya masing-masing cuba meletakkan kesilapan pada bahu orang lain.  Sikap ini adalah suatu petanda tidak bertanggungjawab dan boleh menjatuhkan semangat dan perjuangan orang lain.  Yang penting, kita membantu orang yang bersalah menyedari kesilapannya dan cuba membantunya untuk maju.  Sikap memperkatakan orang lain hanya menunjukkan diri seseorang  yang tidak matang dalam pergaulan.  Jika seseorang  sering menaburkan racun dalam pasukan , dirinya hendaklah dihentikan segera sebelum racun tersebut menimbulkan masalah yang lebih besar. Seseorang  hendaklah faham, cara memperkatakan orang lain di belakang adalah suatu sikap yang negatif dan kurang membina.  Jika pasukan penuh dengan orang sebegini, maka kemajuan pasukan juga akan terbantut.  Kata pepatah, orang berjaya sering berkata tentang idea, orang biasa sering berkata tentang orang lain dan orang yang gagal pula sering memperkatakan tentang betapa malangnya hidupnya.

 

Kelapan : Bertindak cepat dan kerjanya berkualiti

Seseorang  majikan pasti tidak boleh bersabar dengan kaki-tangan yang malas dan tidak bermaya.  Mereka suka kepada pekerja yang cekap dan pantas. Bila sesuatu arahan diberi, beliau dapat menyiapkan kerja pada kadar yang cepat.  Sebaliknya,  seseorang  orang pekerja yang menganggap kerja sebagai suatu selingan dan tidak buat sepenuh hati akan menjadikan kerjanya lambat dan tidak berkesan.  Jika majoriti pekerja sesebuah syarikat adalah lambat dan malas, sudah pasti kemajuan syarikat juga akan menjadi perlahan.  Sebaliknya,  jika sesebuah syarikat mempunyai pekerja yang rajin dan pantas bertindak, syarikat tersebut akan dapat mengurangkan kos pengurusan dan kerja yang boleh disiapkan oleh beberapa orang dapat diuruskan oleh seorang sahaja.  Bila ini berlaku, syarikat akan meningkatkan keuntungan dan pekerja yang berkenaan juga berpeluang dinaikkan gaji dan pangkatnya sekali.

 

Kesimpulan

Pekerja sesebuah syarikat adalah diibaratkan sebagai nadi syarikat. Betapa moden dan canggihnya mesin dan komputer sesebuah syarikat, prestasi dan kecekapannya masih dikawal oleh kualiti pekerja yang mengawal operasi mesin-mesin berkenaan.  Begitu juga status ISO 9000 , kualiti perlaksanaan masih bergantung kepada sikap dan keperibadian ahli pasukan.   Jika sesebuah syarikat mendapati seseorang  kaki-tangan bertindak di luar kawalan dan tidak bertanggungjawab, maka tindakan segera hendaklah diambil untuk mengenepikan individu yang bermasalah.