Motivasi menurun kerana kekurangan diri

Pertanyaan dari pembaca: Saya berhadapan dengan kerjaya yang penuh mencabar – seorang jurujual.  Saya dapati sukar melafazkan percakapan saya depan pelanggan.  Saya rasa usaha untuk mengingati skrip percakapan tidak dapat membantu diri saya.  Setelah hampir tiga bulan saya dalam kerjaya saya, saya masih belum dapat menonjolkan prestasi yang cemerlang.  Saya ingin mengundurkan diri dan cari kerja yang tidak begitu mencabar.

Jawapan

Soalan di atas membawa punca yang sama.  Dirinya mempunyai kekurangan tertentu dan rasa hendak mengundurkan diri kerana usaha yang dicurahkan tidak setimpal dengan hasil yang diperolehi.  Apakah ini bermaksud dirinya tidakboleh berjaya?

 

Dalam konteks dunia kerja, ramai individu tidak bersedia untuk memijak kaki ke arena kerja yang mencabar kerana kurang yakin diri.  Mereka bukan jadikan kerja susah sebagai cabaran tetapi mereka hanya merungut.  Individu sebegini susah mahu maju dalam hidup. Sebaliknya , individu yang berdaya maju menjadikan kerja yang susah sebagai sebab untuk mereka belajar dan melengkapkan diri.  Mereka berusaha mengatasi setiap kelemahan dan akhirnya mereka dapat menguasai bidang yang mereka rasa susah.

 

Dalam konteks pelajaran pula, setiap pelajar yang mahu berjaya dengan peperiksaan pasti akan berhadapan dengan masalah susah menginagti fakta sesuatu mata pelajaran.  Tetapi ini bukan bermaksud anda tidak boleh mengingati apa yang telah anda baca. Jangan sekali-kali menjadikan lemah ingatan sebagai suatu alasan untuk mengundurkan diri. Sebaliknya , ia menunjukkan anda perlu belajar lebih rajin dari orang lain.

 

Setiap orang mempunyai daya memori dan tahap kepintaran (IQ) yang berbeza. Jika kita memahami diri kita mempunyai kelemahan dari aspek tertentu, kita perlu mengatasinya dengan berusaha lebih kuat dan tidak terus merungut tentang kelemahan kita.  Perhatikan mereka yang telah berjaya dalam sesuatu bidang dan dapat anugerah dalam sesuatu bidang.  Apakah mereka lebih bernasib baik dari orang lain? Ramai dari mereka mempunyai kelemahan yang tersendiri.  Beethoven, seorang pakar musik yang pekak telah mencipta musik yang mengasyikkan. Hellen Keller, seorang gadis yang pekak dan buta telah berjaya melayakkan diri ke universiti.  Mereka telah mencurahkan sepenuh jiwa raga dalam perjuangan dan akhirnya meraih keagungan.

 

Sering kali  ,kita perhatikan kejayaan seseorang dari apa yang telah mereka perolehi; tetapi jarang kita menghayati pengorbanan dan kesakitan yang telah mereka tempuh sepanjang pelayaran hidup mereka. Kita anggapkan mereka ada keupayaan dan ketrampilan yang luar biasa.  Kita anggap nasib berpihak dengan mereka. Ada yang anggap mereka bermain muslihat dan memerolehi kejayaan dengan cara yang tidak halal.  Tanggapan sedemikian hanya menunjukkan kita memikir secara negatif terhadap kejayaan orang lain .  Orang seperti ini gagal menghayati makna kejayaan dan seterusnya menjadi gagal menghidupkan kualiti seorang yang berjaya.

 

Ingatlah , kejayaan bukan sesuatu yang berpihak kepada golongan yang istimewa sahaja. Ia adalah hak untuk semua orang yang sanggup mengorbankan apa sahaja demi cita-cita hidupnya. Kata pepatah, keagungan dunia sering dicatat oleh orang yang serba biasa dan melakukan sesuatu dalam cara yang istimewa.  Anda akan dapati banyak riwayat kejayaan bukan berpihak kepada individu yang handal, yang  kuat  atau yang cekap; tetapi adalah berpihak kepada individu yang mempunyai kemahuan yang kental dan berani meneroka sesuatu tanpa mengenal makna “putus asa”.

 

Bila anda menilai kembali saat kegemilangan seseorang yang banyak mencatat nama dalam sejarah dunia , anda akan dapati hidupnya penuh dengan air mata dan keresahan.  Dirinya pasti berhadapan dengan dilemma dan menghendakkan dirinya membuat keputusan; samada teruskan atau berhenti.  Saat tersebut, dirinya merasa kurang kemampuan untuk meneruskan perjuangan.   Begitu juga pelajar yang berhadapan dengan masalah mengingati sesuatu mata pelajaran, dirinya akan menanya “apakah usahanya disia-sia begitu sahaja?” “apakah dia ada bakat belajar?” “Apakah dia akan lulus dengan cemerlang?”

 

Saat kita berhadapan dengan dilemma, saat inilah kita menjadi lemah.  Kita sering memilih jalan yang senang.  Kita mahu mengundurkan diri.  Kita mahu berehat.  Akibatnya , kita kehilangan kuasa untuk meneroka.  Berikut ini disampaikan tiga pendekatan yang dapat membantu seseorang yang mempunyai sesuatu kelemahan diri memperjuangkan masa depannya.

 

Pendekatan pertama : Kelemahan boleh diatasi

Tanamkan dalam hati anda , apa sahaja kelemahan , ia boleh diatasi.  Yang penting , anda tahu cara mengatasinya.  Contohnya,  orang buta boleh mengatasi masalah membaca dengan merasa tulisan “braille”.  Orang cacat anggota berjalan dengan menggunakan tongkat.  Jangan sekali-kali mengaku kelemahan sebagai jalan buntu kejayaan diri.  Sebaliknya , anda perlu memikirkan cara yang terbaik untuk mengatasi kelemahan anda.

Pelajar yang lemah ingatan hendaklah membaca berulang kali sehingga dirinya dapat ingat.  Jurujual yang gagal berkomunikasi dengan pelanggan perlu menghafal skrip komunikasi. Yang penting , kita curahkan usaha untuk mengatasi kelemahan kita.

 

Pendekatan kedua : Jangan ikut rentak orang yang kuat

Setiap orang mempunyai jejak kejayaan yang tersendiri. Jangan sekali-kali bandingkan diri anda dengan orang lain. Anggapkan diri anda istimewa dan harungi perjuangan anda dengan cara yang bersesuaian dengan diri anda.  Anda mungkin perlukan jadual kerja yang lebih ketat.  Masa tidur anda mungkin tidak sebanyak orang lain.  Masa bermain anda mungkin perlu digadaikan. Sedarilah, anda perlu mempunyai cara yang tersendiri bersesuaian dengan sifat dan keperibadian sendiri.

 

Pendekatan ketiga : Jadikan kelemahan sebagai alasan untuk terus berusaha

Selagi anda belum mencapai hasrat anda , selagi itulah anda akan terus berperang dengan kelemahan anda.  Jangan mengalah dengan kelemahan diri. Anggapkan itulah misi dan tanggung-jawab anda. Tidak ada orang boleh menolong anda jika anda sendiri tidak sudi menolong diri sendiri.

 

Kesimpulan

Apa sahaja yang anda lakukan , anda pasti berhadapan dengan sesuatu kekurangan.  Perjuangan yang tidak mempunyai kekurangan tidaklah dianggap sebagai perjuangan.  Amalkan sikap yang positif dan jangan sekali-kali mengalah.  Sebenarnya, anda boleh buat jika anda benar-benar mahu melakukannya.  Kata pepatah, azam yang kuat lebih penting dari kepakaran anda.  Dengan adanya azam dan semangat perjuangan yang kental, anda dapat perolehi apa sahaja kepakaran yang anda hajatkan. Kelemahan hanyalah sementara dalam hidup orang yang bercita-cita besar, kerana mereka terus memajukan diri dalam bidang yang mereka anggap lemah.