Prinsip kejayaan : Mencari Perubahan

Setiap orang mempunyai impian. Setiap orang mahu hidup yang lebih baik. Bagaimanakah kita boleh meningkatkan kualiti hidup keluarga. Salah satu dari syarat kejayaan ialah kita perlu melakukan sesuatu yang baru, sesuatu yang lebih baik, sesuatu yang membina. Ini bermaksud amalan yang selama ini tidak membawa hasil perlu diubah.

 

Ramai individu gagal menyahut perubahan kerana mereka mempunyai berbagai penghalang. Ada yang gagal berubah kerana ada masalah keluarga mahupun masalah kesihatan sehingga mereka tidak dapat melaksanakan aktiviti hidup yang dapat menyumbang kepada perubahan yang mereka hajati.

 

Jika penghalang yang dimaksudkan ini terus berabadi bertahun-tahun, ini hanya menunjukkan kita masih belum bersedia untuk berubah. Ini kerana seseorang individu yang berjaya tidak rela membiarkan penghalang menjajah hidupnya, sebaliknya dia akan berusaha untuk menangkis penghalang tersebut.

 

Hajat kejayaan adalah perintis perubahan. Jika kita rela, kita pasti akan lakukan apa sahaja demi kebaikan hidup sekeluarga. Jika kita tidak rela, apa sahaja akan menjadi penghalang.

 

Ruangan ini memaparkan beberapa idea yang boleh membantu anda melepasi penghalang dan seterusnya membantu anda mengerjakan perubahan yang anda hajatkan.

 

Pertama : Meminta bantuan

Jika anda gagal mengerjakan sesuatu yang mulia, dapatkan nasihat dan pendapat dari mereka yang arif dalam bidang ini. Jangan bercakap dengan orang yang negatif dan gagal dalam hidup.

 

Kedua : Merancang hidup

Sesuatu masalah yang menghantui anda sekarang tidak akan lama jika anda mempunyai rancangan untuk melepaskan diri darinya. Ini bermaksud anda merangka jadual tindakan yang praktikal demi membolehkan anda melakukan sesuatu untuk mengatasi penghalang tersebut. Jika anda mahu menjadi pengurus tetapi anda tidak mempunyai kualiti pengurus, aturkan masa untuk membaca buku yang berkaitan dengannya.

 

Ketiga: Cetusan fikiran

Gunakan ilham anda. Sentiasa bertanya pada diri sendiri, bagaimanakah saya boleh berubah dan menjadi seorang yang anda ingin jadi. Cetusan ilham akan membantu anda mencari idea dan bila ia sampai, lakukan dengan segera dengan sepenuh hati.

 

Keempat : Aktifkan hidup

Ikutilah persidangan, seminar, kursus kemahiran dan sebagainya. Ini membolehkan anda meningkatkan kredibiliti diri untuk mencari harapan yang anda hajati.

 

Kesimpulan: Perubahan adalah suatu tanggungjawab yang perlu dikerjakan demi kebaikan keluarga tersayang. Jangan biarkan keluarga anda susah seumur hidup.

Jadikanlah ibu bapa yang bertanggungjawab.