Menangkis sikap cepat marah

Setiap orang boleh marah, tetapi tahap kemarahan adalah berbeza mengikut individu. Jika kita gagal mengawal emosi negatif tersebut , akibat mungkin merugikan diri sendiri dan keluarga tersayang. Kemarahan boleh menjadi punca membalas-dendam, mengfitnah, membunuh, bercerai atau peperangan. Keupayaan mengawal emosi negatif adalah suatu seni hidup yang sangat berharga dan ia membolehkan seseorang  memegang tugas yang lebih mencabar.  Sebaliknya,  seseorang  yang cepat marah sering menjadi mangsa pada persekitaran dan gagal meneroka bidang kerja yang lebih tinggi.

 

Untuk membolehkan seseorang  meningkat daya tahan kemarahan ,  jiwa seseorang  perlu ditenangkan terlebih dahulu.  Fikiran yang kusut dan kerunsingan serta ketegangan emosi adalah punca cepat marah.  Bila emosi telah menjajah pemikirannya, kewarasan menilai dan membuat keputusan pun hilang. Tidak ada sesiapa yang boleh membantu anda mencari ketenangan iwa jika diri anda tidak berusaha untuknya.

 

Berikut ini disenaraikan rukun-rukun ketenangan jiwa. Ia membantu kita melegakan jiwa yang bergelora dan bertindak dengan penuh kematangan.

 

Pertama : Mengenal setiap cetusan emosi diri

Ini bermaksud anda boleh membaca emosi sendiri pada setiap masa.  Bila masa anda marah, anda berkata “saya sedang marah”.  Bila anda takut, “Anda berkata saya takut”.  Bila anda boleh menangkap setiap perasaan anda , anda akan dapat mengawalnya dengan baik.  Sering-kali emosi negatif timbul tanpa kita sedari.  Akibatnya, kita mungkin melakukan sesuatu yang melulu dan menyesal kemudian.  Kita mungkin berkata “Mengapalah saya tidak tahan sahaja emosi saya?” Kata pepatah ” Menyesal kemudian tidak berguna”.

 

Kedua : Memberi masa bertenang

Setiap pergolakan emosi biasanya reda dalam masa dua jam ke tiga jam.  Ada juga individu yang dapat meredakan emosinya dalam masa beberapa hari.  Bila anda merasa panas darah dan hendak marah, alihkan diri dari situasi tersebut dan berikan diri anda beberapa jam untuk bertenang. Ini akan membolehkan anda memikirkan kejadian tersebut dengan lebih menyeluruh.  Masa bertenang akan membolehkan anda memikirkan punca kemarahan serta mencari jalan untuk menyelesaikannya.

 

Ketiga : Saya juga bersalah

Kemarahan biasanya memuncak bila kita memikirkan kesilapan orang lain.  Tetapi , jika kita dapat menerima hakikat bahawa diri anda juga perlu memikir tanggungjawab dalam kejadian tersebut , kita tidak akan terlalu menyalahkan orang lain.  Katakan dengan diri sendiri , “Saya juga bersalah dalam hal ini.  Kalaulah saya ……. kejadian ini tidak akan terjadi.”  Bila anda mula sedar dengan peranan dan tanggungjawab anda , kemarahan dapat dikurangkan.

 

Keempat : Bukan serangan peribadi

Bila anda menerima tekanan atau teguran dari orang lain, jadikan itu sebagai suatu pesanan yang membawa kebaikan kepada diri sendiri.  Beritahu diri anda ,” Syukurkan kerana dia beritahu saya tentang kesilapan saya” “Majukan saya amat mengambil berat dengan prestasi diri saya, itulah sebabnya dia memberitahu saya supaya jangan buat negini.” “Saya gembira dengan pesanan anda, saya tahu anda mahu saya menjadi seorang yang baik.”  Semakin anda menghargai sesuatu kejadian, perasaan negatif akan mula hilang.

 

Kelima : Mengenal perasaan orang lain

Bila anda mempertahankan pendirian diri, anda akan gagal memahami mengapa orang lain berbuat sesuatu yang menyakitkan anda.  Setiap individu mempunyai sebab yang tersendiri waktu dirinya melakukan sesuatu.  Jika kita gagal menilai makna di sebalik perbuatannya, kita akan terus menuduh dan menyalahkan orang lain.  Dalam hal ini, masalah bukan sahaja tidak diselesaikan; sebaliknya permusuhan dan rasa tidak puas hati akan berlarutan. Bila anda tahu masalah yang melanda dirinya, anda akan berkata “tidak apa, saya maafkan anda”.  Saya tahu anda buat begini dalam keadaaa yang terpaksa dan saya faham diri saya juga mungkin akan melakukan perkara yang sama jika diri saya terjebak dalam keadaan yang sama.”

 

Keenam : Mendekatkan diri anda dengan agama

Setiap agama menyeru umatnya untuk berdamai dan bersahabatan antara satu sama lain.  Jika diri kita mengenang kembali setiap seruan agama, kita akan lebih mudah menerima sikap individu yang kurang menyenangkan.  Sebenarnya, tiada manusia yang dikatakan sempurna.  Kalau diri kita hendakkan insan yang memuaskan emosi dan hasrat kita sahaja, kita tidak akan mempunyai kawan.  Yang penting , kita mencari kelebihan dan kesamaan setiap insan dunia.  Akhirnya, dirina juga akan terpedaya oleh kesopanan dan kemuliaan anda.  Kata pepatah ” Setiap corak komunikasi yang anda dapat adalah suatu gambaran dari komunikasi diri sendiri.”  Bagaimana kita melayan orang , begitu jugalah orang lain akan melayan dengan diri kita.

 

Ketujuh : Kemarahan membawa restu

Sebenarnya kemarahan mempunyai kebaikan jika kita mengolahkan dengan nilai-nilai yang mulia.  Contohnya,  guru memarah pelajar dengan tujuan untuk menyedarkan dirinya dari kesilapan.  Guru akan selitkan unsur-unsur pendidikan yang membawa kebaikan kepada masa depan anak.  Sebaliknya,  kemarahan yang hanya dengan tujuan untuk mengoyakkan air muka kawan tanpa sebarang unsur pendidikan adalah suatu yang membawa keruntuhan.  Cuba arahkan kemarahan anda kepada jenis yang positif dan elakkan sama sekali corak kemarahan negatif.  Bila anda dapat mengenal makna disebalik kemarahan, anda akan mula menghargainya.  Sememangnya, kemarahan bukannya satu cara yang wajib dalam pendidikan , tetapi ia merupakan salah satu pendekatan yang boleh diamalkan bila keadaan mengizinkan.

 

Kelapan : Elakkan individu yang bermasalah

Cara terbaik untuk mengelakkan diri anda dari kemarahan ialah dengan mengasingkan diri anda dari individu yang tidak seiras dengan perjuangan anda.  Contohnya,  jika anda merasai seseorang  mempunyai nilai hidup dan sikap yang memang bercanggahan dengan citarasa anda, elakkan sahaja. Jangan rosakkan perasaan anda.  Jika diri anda masih kecil dan anda tidak dapat melarikan diri dari sikap ibu bapa yang bermasalah, belajar memaafkan mereka.  Ingat, setiap individu yang bermasalah adalah cermin kepada hidup anda sendiri.  Katakan dengan diri sendiri , saya tidak mahu menjadi orang sepertinya.  Anda jug aboleh berdoa, “Semoga orang yang ebrmasalah ini akan sedarkan diri suatu hari.  Kalau tidak, hidup dirinya juga tidak akan sampai ke mana.”  Rasakan bangga kerana anda mempunyai keperibadian yang jauh lebih mulia darinya.

 

Kesimpulan

Jadikan kemarahan sebagai punca kesedaran diri.  Belajar dari emosi diri anda dan berusaha mendapat ajaran dari setiap pergolakan emosi.  Kata pepatah ” Emosi anda adalah guru yang paling baik’. Setiap perasaan memberitahu anda tentang kualiti hidup anda sendiri, samada yang baik atau yang jahat.  Amalkan semua pendekatan diatas dan anda akandapat mengawal hidup lebih lebih berkesan.  Dengan erti kata lain, , anda adalah tuan pada hidup sendiri.  Ilmu pengawalan emosi juga dikenal sebagai Ilmu Penguasaan Diri (Self Mastery).  Semakin anda dapat mengawal diri sendiri, semakin tinggilah kualiti motivasi hidup anda.