Tag Archives: Membina motivasi yang abadi

Membina Motivasi Yang Abadi

Motivasi diri tidak akan berkekalan pada jiwa seseorang yang belum menguasai makna kejayaan secara menyeluruh. Motivasi diri bukannya suatu ilmu semata-mata, ia adalah suatu aplikasi sistem kejayaan yang meliputi perasaan dan kesungguhan.  Ilmu lebih bersifat abadi, tetapi perasaan boleh berubah mengikut suasana persekitaran dan pengalaman hidup seseorang . Itulah sebabnya seminar motivasi diri tidak menjamin kesan motivasi diri yang berkekalan.

Sekadar membaca buku motivasi atau mendengar kaset motivasi tidaklah mencukupi . Untuk menjamin keberkesanan ilmu motivasi diri yang diperolehi, seseorang  hendaklah sentiasa mengemaskini rancangan hidupnya dan mengolah segala aktiviti harian agar sehaluan dengan apa yang hendak diperjuangkan. Tanpa perancangan hidup yang berkesan, segala  motivasi diri hanya diibaratkan sebagai guruh dan kilat yang datang dan pergi begitu sahaja.

Motivasi diri ialah suatu cara hidup.  Jika hidup tidak diolah secara bersistem, motivasi diri juga tidak akan berkekalan. Itulah pentingnya bagi kita mengelola semua aspek hidup dengan baik dan seimbang, ini termasuklah bidang kerjaya, kesihatan, keluarga, mental , kemasyarakatan dan kerohanian.  Kegagalan dalam suatu aspek kehidupan akan menjejas prestasi dalam aspek yang yang lain. Tanpa penyeliaan rapi setiap aspek hidup, motivasi diri akan tergugat.  Sistem penyeliaan hidup yang dimaksudkan melibatkan tigas fasa iaitu peringkat penilaian, peringkat pembetulan dan peringkat penerokaan.

Di samping itu, seseorang  juga perlu menyemarakkan jiwa motivasi diri dengan mengulas kembali peringatan diri terhadap nilai kejayaan yang belum tersemat dalam dirinya.  Ini boleh dilakukan dengan menggunakan kad peringatan.  Tuliskan nilai hidup yang anda hendakkan dan ulas kembali setiap masa.  Sesuatu yang kita baca secara berulang-kali akan mengukuhkan motivasi diri.

Perasaan motivasi diri boleh dikekalkan dengan merenung sebab kita hendak berjaya.  Jika anda pernah dihina atau disakiti seseorang, ia boleh menjadi suatu kekuatan untuk anda menebus maruah diri.  Jika hidup anda susah dan miskin, ia menjadi sebab untuk masuk universiti dan balik mengubah wajah hidup keluarga tersayang. Apa sahaja sebab anda mengejar kejayaan, kekalkannya sebagai imej minda.

Pada peringkat pertama, kaji apa yang telah anda buat, adalah ia suatu yang penting terhadap misi hidup anda.  Seterusnya betulkan perbuatan yang bercanggahan dengan kebenaran , dan tukarkannya kepada suatu yang lebih positif. Akhirnya, terokai bakat dan kemampuan yang masih belum diketengahkan.  Dengan ini, kita akan membentuk sistem hidup yang lebih berkualiti.

Motivasi diri akan menjadi pudar jika ia bukan berdasarkan kemahuan intrinsik seseorang.  Dorongan luar dan ganjaran bukannya daya motivasi yang berabadi. Seseorang yang hendak berjaya perlu mencari kekuatan dalaman tanpa tercamar oleh sebarang unsur luaran.  Ini boleh dilakukan dengan bersaing dengan diri sendiri, dan berani mencuba sesuatu yang baru. Tanpa keberanian, kita akan terus lena di zon keselesaan.  Selagi kita terus lena, kita tidak akan maju.

Motivasi diri yang abadi memerlukan kekuatan dalaman. Kekuatan ini hendaklah bebas dari sebarang bentuk ganjaran, niat hendak menjadi terkenal atau sanjungan orang.  Kekuatan dalaman adalah suatu sistem nilai hidup yang menjelaskan sebab kita hidup di dunia ini.  Apakah yang hendak orang lain perkatakan tentang kita setelah meninggal dunia. Semakin tinggi kesedaran kita terhadap makna hidup, semakin kuatlah motivasi diri. Kesedaran tersebut boleh kita perolehi dari agama, pengalaman dan renungan diri.

Motivasi diri akan menurun pada orang yang mengharapkan jalan singkat untuk berjaya. Ramai insan yang malas mengharapkan kejayaan datang dengan senang.  Mereka mengelakkan diri dari persaingan, dan pertandingan.  Mereka tidak sedia berkorban wang atau masa untuk kejayaan.  Akibatnya, mereka kehilangan motivasi diri bila cabaran semakin sengit. Golongan ini selalunya datang dari keluarga yang berada dan sering dimanjakan ibu bapa.  Mereka leka dengan “Rukun Bayar Dan Dapat”.  Motivasi diri juga tidak akan berkekalan dalam jiwa mereka.

Pedek kata, untuk kita memiliki motivasi diri yang berterusan – Kita hendaklah mempunyai sistem hidup yang seimbang, teratur dan terancang, kita juga mesti berani menanggung risiko dan sedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan hidup dan kesediaan berkorban apa sahaja demi kejayaan.