Tag Archives: membina kejayaan anak

Jom Kita Berjaya

Kebelakangan ini, datangnya suatu seruan hati saya untuk membantu seramai anak-anak Malaysia mencapai impian dan cita-cita hidup dengan menawarkan mentoring (bimbingan kerjaya) kepada mereka secara mingguan. Saya jadikan aktiviti “Jom Kita Berjaya” sebagai suatu tanggungjawab sosial dan tidak mengharapkan sebarang ganjaran. Ramai ibu bapa menghantar anak mereka kepada saya dan meminta saya untuk memberi bimbingan peribadi untuk menghidupkan jiwa “achiever” dalam hati anak-anak mereka.

Ramai kawan saya bertanya , “Mengapa anda melakukan semua ini sedangkan anda sepatutnya fokus pada tugas ceramah motivasi yang membawa pendapatan yang lumayan.” Saya menjawab,  “Saya sudi meruangkan masa untuk tugas bimbingan kerjaya kepada belia-belia kita kerana saya dapat rasakan kepuasan yang tidak terhingga , khasnya bila saya melihat anak-anak muda kita mencapai kemajuan dan kejayaan dalam hidup mereka. Bagi saya , kepuasan memberi bimbingan peribadi  adalah jauh  lebih dari mengendalikan seminar motivasi atau berkongsi ilmu kejayaan di kaca TV “

Sejak dari dulu, melihat kejayaan orang lain adalah suatu nikmat hidup saya.

Setiap kali saya menonton seseorang juara Olimpik mendapat pingatnya, saya dapat rasakan kemenangannya dengan air mata keriangan. Sentuhan hati ini hadir kerana saya merasa empati dengan kejayaan mereka. Saya sendiri pernah merasa liku-liku perjuangan untuk mencapai impian saya dan saya tahu, ia bukan suatu yang mudah dan seseorang yang berjaya  perlu  mengharungi berbagai dugaan dengan pengorbanan dan titik peluh. Begitu juga bila saya nampak seseorang berjaya mendirikan rumah tangga di majlis perkhawinan , saya dapat rasakan kemanisan dalam hati kerana kejayaan mereka memikat hati jodoh yang mereka sayangi.  Atsa seruan ini, saya sering meminta peserta kursus saya menyemat hajat untuk membina hidup yang berjaya dan bahagia dalam jiwa mereka.

Saya masih teringat saat saya mengucapkan selamat bercuti kepada seorang agen insuran MNI di lapangan terbang KK waktu dirinya berlepas ke Van Couver untuk menghadiri konvensyen syarikat. Beliau adalah salah seorang qualifier yang menerima pakej percutian tajaan kerana berjaya mencapai kuota pemasaran yang telah ditetapkan.  Saya dapat rasakan suatu kemenangan kerana agen tersebut mendapat didikan dari saya sejak hari pertama dia mengikut kursus PCE.  Kini , beliau telah menjadi seorang pengurus agensi dan mendapat hidup yang mewah dan pendapatan yang lumayan. Keupayaan beliau melepaskan kemiskinan adalah suatu nikmat dalam hati saya.

Saya juga teringat saat saya menghadiri Majlis Anugerah “The Top Ten Outstanding Youth Award” yang dianjurkan oleh Jaycees International  di Golden Horse Hotel, Serdang, saya dapat rasakan gemuruh hati sehingga mengalir air mata melihat kejayaan barisan penerima anugerah yang berdiri segak di atas pentas. Setiap kisah dan pengalaman yang pernah dijejaki oleh mereka menjadi suatu pujaan dalam hati saya.

 

Bagi saya, kemenangan setiap insan dunia tidak kira bangsa , agama atau kenegaraan memberi  sentuhan hati yang cukup manis dalam hidup saya, apa lagi kalau insan tersebut adalah anak murid saya sendiri.

 

Sejak 1992,  saya membawa misi untuk membina anak Malaysia dengan menawarkan berbagai program dan seminar motivasi, tetapi usaha ini gagal memberi kepuasan kerjaya yang saya hajatkan. Ini adalah kerana peserta kursus hanya “come and go” dan saya tidak tahu sejauh manakah mereka telah menerima manfaat dari seminar saya. Selepas tamatnya seminar, pelajar jarang berhubung dengan saya dan saya juga tidak dapat memberi bimbingan peribadi yang berterusan untuk mereka.

 

Pada usia 47 sekarang, saya ingin mencari kembali nikmat kerjaya saya dan  memulakan suatu misi BARU dalam hidup dengan memberi bimbingan peribadi kepada seramai insan di Malaysia untuk mengharumkan nama mereka dalam apa sahaja bidang yang mereka ingin ceburi. Saya hendak jadikan kejayaan anak murid saya  sebagai suatu “kenangan manis” bila saya bersara nanti

 

Saya percaya pada falsafah kejayaan yang berkata “ Buat apa yang anda suka dan rasakan nikmat kerjaya anda “ Berdasarkan falsafah ini, saya harap misi tersebut akan disahut oleh para pendidik / kaunselor bersara seluruh Malaysia dan sama-sama kita bangunkan “Pusat Bimbingan Biogenik Minda” di setiap bandar di Malaysia dan negara-negara jiran.

 

Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mempunyai  misi yang sama untuk sama-sama membina wira dan wirawati negara.  Marilah kita berganding bahu membina generasi Malaysia yang berdaya maju dan gilang gemilang.

 

Motto saya : Bangunkan akhlak, cetuskan aspirasi

 

Email: [email protected]

Website : hilteryew.com