Tag Archives: membantu anak berjaya

Jom Kita Berjaya

Kebelakangan ini, datangnya suatu seruan hati saya untuk membantu seramai anak-anak Malaysia mencapai impian dan cita-cita hidup dengan menawarkan mentoring (bimbingan kerjaya) kepada mereka secara mingguan. Saya jadikan aktiviti “Jom Kita Berjaya” sebagai suatu tanggungjawab sosial dan tidak mengharapkan sebarang ganjaran. Ramai ibu bapa menghantar anak mereka kepada saya dan meminta saya untuk memberi bimbingan peribadi untuk menghidupkan jiwa “achiever” dalam hati anak-anak mereka.

Ramai kawan saya bertanya , “Mengapa anda melakukan semua ini sedangkan anda sepatutnya fokus pada tugas ceramah motivasi yang membawa pendapatan yang lumayan.” Saya menjawab,  “Saya sudi meruangkan masa untuk tugas bimbingan kerjaya kepada belia-belia kita kerana saya dapat rasakan kepuasan yang tidak terhingga , khasnya bila saya melihat anak-anak muda kita mencapai kemajuan dan kejayaan dalam hidup mereka. Bagi saya , kepuasan memberi bimbingan peribadi  adalah jauh  lebih dari mengendalikan seminar motivasi atau berkongsi ilmu kejayaan di kaca TV “

Sejak dari dulu, melihat kejayaan orang lain adalah suatu nikmat hidup saya.

Setiap kali saya menonton seseorang juara Olimpik mendapat pingatnya, saya dapat rasakan kemenangannya dengan air mata keriangan. Sentuhan hati ini hadir kerana saya merasa empati dengan kejayaan mereka. Saya sendiri pernah merasa liku-liku perjuangan untuk mencapai impian saya dan saya tahu, ia bukan suatu yang mudah dan seseorang yang berjaya  perlu  mengharungi berbagai dugaan dengan pengorbanan dan titik peluh. Begitu juga bila saya nampak seseorang berjaya mendirikan rumah tangga di majlis perkhawinan , saya dapat rasakan kemanisan dalam hati kerana kejayaan mereka memikat hati jodoh yang mereka sayangi.  Atsa seruan ini, saya sering meminta peserta kursus saya menyemat hajat untuk membina hidup yang berjaya dan bahagia dalam jiwa mereka.

Saya masih teringat saat saya mengucapkan selamat bercuti kepada seorang agen insuran MNI di lapangan terbang KK waktu dirinya berlepas ke Van Couver untuk menghadiri konvensyen syarikat. Beliau adalah salah seorang qualifier yang menerima pakej percutian tajaan kerana berjaya mencapai kuota pemasaran yang telah ditetapkan.  Saya dapat rasakan suatu kemenangan kerana agen tersebut mendapat didikan dari saya sejak hari pertama dia mengikut kursus PCE.  Kini , beliau telah menjadi seorang pengurus agensi dan mendapat hidup yang mewah dan pendapatan yang lumayan. Keupayaan beliau melepaskan kemiskinan adalah suatu nikmat dalam hati saya.

Saya juga teringat saat saya menghadiri Majlis Anugerah “The Top Ten Outstanding Youth Award” yang dianjurkan oleh Jaycees International  di Golden Horse Hotel, Serdang, saya dapat rasakan gemuruh hati sehingga mengalir air mata melihat kejayaan barisan penerima anugerah yang berdiri segak di atas pentas. Setiap kisah dan pengalaman yang pernah dijejaki oleh mereka menjadi suatu pujaan dalam hati saya.

 

Bagi saya, kemenangan setiap insan dunia tidak kira bangsa , agama atau kenegaraan memberi  sentuhan hati yang cukup manis dalam hidup saya, apa lagi kalau insan tersebut adalah anak murid saya sendiri.

 

Sejak 1992,  saya membawa misi untuk membina anak Malaysia dengan menawarkan berbagai program dan seminar motivasi, tetapi usaha ini gagal memberi kepuasan kerjaya yang saya hajatkan. Ini adalah kerana peserta kursus hanya “come and go” dan saya tidak tahu sejauh manakah mereka telah menerima manfaat dari seminar saya. Selepas tamatnya seminar, pelajar jarang berhubung dengan saya dan saya juga tidak dapat memberi bimbingan peribadi yang berterusan untuk mereka.

 

Pada usia 47 sekarang, saya ingin mencari kembali nikmat kerjaya saya dan  memulakan suatu misi BARU dalam hidup dengan memberi bimbingan peribadi kepada seramai insan di Malaysia untuk mengharumkan nama mereka dalam apa sahaja bidang yang mereka ingin ceburi. Saya hendak jadikan kejayaan anak murid saya  sebagai suatu “kenangan manis” bila saya bersara nanti

 

Saya percaya pada falsafah kejayaan yang berkata “ Buat apa yang anda suka dan rasakan nikmat kerjaya anda “ Berdasarkan falsafah ini, saya harap misi tersebut akan disahut oleh para pendidik / kaunselor bersara seluruh Malaysia dan sama-sama kita bangunkan “Pusat Bimbingan Biogenik Minda” di setiap bandar di Malaysia dan negara-negara jiran.

 

Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mempunyai  misi yang sama untuk sama-sama membina wira dan wirawati negara.  Marilah kita berganding bahu membina generasi Malaysia yang berdaya maju dan gilang gemilang.

 

Motto saya : Bangunkan akhlak, cetuskan aspirasi

 

Email: [email protected]

Website : hilteryew.com

Mengenal trend kejayaan anak anda

Setiap kali saya berjumpa dengan rakan saya yang telah berumah tangga, saya akan bertanya ”Apakah minat anda”. Saya dapati ramai ibu bapa masih tidak mengenal naluri dan citarasa anak mereka dan mengakibatkan bakat dan potensi anak terus terpendam. Mengikut strata tujuh potensi bakat manusia (Seven Multiple Inteligent), bakat yang terbawa secara lahiriah dari waktu lahir adalah suatu intipati kerjaya yang boleh menjadikan anak anda seorang yang luarbiasa.

Jika anda meneliti kebolehan yang ditonjolkan oleh wira dan wirawati negara, anda akan dapati mereka telah membina minat serta bakat mereka sejak mereka masih muda. Datuk Siti Norhaliza adalah seorang penyanyi nombor satu Malaysia , Datuk Lee Chong Wei adalah pemain badminton nombor satu di dunia. Jika hendak di senaraikan, memang ramai sekali.  Insan luar biasa ini telah mengharumkan namanya di persada dunia serta membina lagenda hidup yang dikenang abadi. Bakat dan ketrampilan mereka juga mengundang kualiti hidup yang mewah, gembira dan bahagia.

Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk anda mengenal dan mencambahkan benih kecemerlangan anak anda. Bila anda telah mengecam sesuatu kecenderungan pada anak anda, jangan biarkan ia layu tanpa disiram air. Berikan dorongan dan kata-kata positif dan terus menggalakkannya untuk membangunkan minatnya.  Jangan sekali-kali kita mengkuburkan harapan anak kita dengan berkata ”Bidang minat anda tidak baik” Sedih saya bila saya dapati ada ibu bapa yang mengkutuk minat anak melukis sebagai membuang masa. Sebenarnya, anak yang pandai melukis mungkin akan berakhir sebagai seorang kartunis, seorang arkitek , seorang software designer dan sebagainya.

Atas usaha untuk membantu anak-anak muda kita menonjolkan minatnya, saya telah mengambil inisiatif untuk berkomunikasi dengan bakal wira negara yang sedang berada di bangku sekolah dan membantu mereka merealisasikan impian masing-masing. Penemuan seperti ini telah membantu anak-anak semarakkan hajatnya dan  merancang kejayaan dengan lebih praktikal. Saya juga berkongsi ilmu penetapan matlamat hidup sebagai suatu bekalan kejayaan hidup mereka.

Dari pergaulan saya dengan pelajar sekolah sejak saya seorang guru di KK High School, saya dapati mereka terlalu terikat dengan tugasan sekolah dan peperiksaan sehingga mereka gagal meneroka hidup secara holistik. Erti holistik merujuk pada keseimbangan serta kepelbagaian hidup. Bila ini berlaku, anak kita akan tamat pengajian sebagai seorang robot pendidikan yang kehilangan bakat semulajadinya. Mereka lupa bahawa mereka mempunyai bakat untuk melakukan sesuatu yang lebih dari apa yang mereka belajari dari buku. Mereka juga terlupa dengan keupayaan mereka untuk membina sesuatu keunikan mengikut hajat mereka secara bebas.

Jika kita bandingan corak pendidikan di Malaysia dengan corak pendidikan di Amerika, kita dapati warga Malaysia boleh menjadi  seorang pelajar yang sejati tetapi tidak boleh menjadi pereka cipta yang dinamik. Daya fikir anak kita telah dikongkong oleh corak sukatan dan garis panduan peperiksaan. Akibatnya, bilangan produk rekaan Malaysia boleh dipertingkatkan jika kita memberi asuahan minda kreatif kepada anak-anak kita.

 

Foo Chang (Cikgu Yew)

Mentor Anak Sejak 1992

Apakah ramuan kejayaan anak anda?

Bila saya meneman insan yang lemah dan dicop sebagai “pelajar bermasalah”, saya dapat rasakan dirinya seorang Wira yang mempunyai masa depan yang cerah. Hanya dengan olahan beberapa kod minda dengan menggunakan model kejayaan yang termaktub dalam program Mutiara Kejayaan, pelajar yang tenggelam dalam hidup akan timbul kembali sebagai seekor ikan yang segar bugar.

Menurut Dr. Sham , kegagalan bukanlah suatu yang muktamd, kerana setiap insan diberi hak membuat pilihan untuk melepaskan dirinya dari belenggu kesusahan hidup. Sayangnya, ramai insan enggan membuat pilihan untuk keluar dari kancah kesusahan dan membiarkan kemiskinan terus menjajah hidup mereka.

Salah satu ramuan penting untuk mencelikkan minda kejayaan anak-anak kita adalah dengan menyuntik keyakinan diri bahawa mereka boleh mengubah nasib hidup mereka. Bila mereka memegang tampuk perubahan hidup , mereka tidak akan salahkan orang lain terhadap sebarang kecacatan mahupun kekurangan dalam hidup mereka. Ini sejajar dengan seruan “Tuhan tidak akan menolong seseorang yang tidak sudi menolong dirinya sendiri.”

Fasa pertama kursus Mutiara Kejayaan adalah berfokuskan pada tanggungjawab diri seseorang terhadap masa depannya sendiri. Peserta akan perlu menguatkan azamnya dengan menghayati misi hidup secara berulangan sehingga hajatnya menjadi suatu seruan automatic yang tidak perlu diingatkan. Ini bermaksud, hajatnya telah menjadi suatu tabiat minda (Mental habit). Bila misinya telah jelas, proses perancangan dan perlaksanaan misi akan menjadi suatu proses yang automatik bagaikan « auto-pilot » dalam sebuah kepalterbang.

Proses ini menjadi suatu landasan kejayaan yang membezakan modul mentoring Mutiara Kejayaan dengan pembelajaran yang lain. Sudah pasti, sesiapa yang dapat menyempurnakan modul kejayaan ini akan dapat mengenal potensi diri secara holistik ; iaitu suatu proses pengukuhan makna hidup dan bukan hanya bertujuan mengejar kekayaan semata-mata.

Fasa-fasa pembelajaran seterusnya dalam modul Mutiara Kejayaan adalah berteraskan prinsip kejayaan untuk mencapai impian dan cita-cita. Antaranya, pelajar akan menguasai ilmu perancangan yang berteraskan prinsip SMART, ilmu pengurusan hidup yang seimbang, ilmu pembangunan nilai hidup, ilmu pemantapan nilai hidup, ilmu motivasi dan sebagainya.

Sudah pasti, insan yang berbekal ilmu kejayaan duniawi akan membolehkan dirinya mencapai keseimbangan dengan keperluan akhirat. Dalam ilmu kejayaan, setiap anak perlu menyelami keperluan kerohanian mengikut agama masing-masing. Tanpa keseimbangan ini, kejayaan duniawi akan menjadi suatu beban yang boleh merobohkan hidup yang mewah dan bahagia. Dalam rekod kejayaan insan sedunia, ramai jutawan dan selibriti mendapati hidupnya masih kosong dan tidak bermakna kerana mereka gagal mencapai kejayaan yang dikatakan holistik.

Adalah menjadi harapan Dr. Sham untuk terus melahirkan insan Malaysia sebagai seorang pejuang kejayaan yang berjiwa holistik. Jika anda juga mempunyai seruan yang sama, kami mengundang anda untuk tampil ke depan dan bersama-sama kita membina wira dan wirawati negara yang berjiwa luhur dan terpuji.

 

Foo Chang

Mentor Kejayaan