Tag Archives: Memandang rendah pada diri sendiri

Memandang rendah pada diri sendiri

 

Rasa rendah diri sering dianggap sebagai suatu keperibadian yang  mulia.  Ini bermaksud kita melepaskan ego dan kebongkakan diri, tidak menjunjung kejayaan sendiri sebegitu tinggi sehingga membawa unsur memandang rendah pada orang lain yang tidak setanding dengan status diri anda. Dalam pergaulan seharian, rendah diri adalah suatu sifat yang mulia. Mereka bukan sahaja mudah mendapat kawan, malah senang bergaul dengan sesiapa sahaja.

Sebaliknya, rendah diri juga boleh membawa gejala negatif pada masa depan seseorang. Seseorang  yang tidak menghargai kewujudan diri akan terus memandang dirinya tidak sebaik orang lain.  Mereka merasa serba kekurangan dan sering mengkutuk dirinya lemah, tidak boleh atau bermasalah.  Orang yang tidak menghargai nilai diri sendiri sering merasa kerdil bila berhadapan dengan orang lain yang lebih handal.  Contohnya,  orang yang kelulusan sekolah rendah merasa serba tidak senang bila bergaul dengan orang yang kelulusan universiti.  Orang yang memegang tugas sebagai kerani merasa gugup bila berhadapan dengan majikan atau seseorang  yang berpangkat tinggi.  Jika fenomena ini berlanjutan, seseorang  akan cenderung menutup skop pergaulan diri pada orang yang selesa dengan dirinya.  Mereka menutup peluang yang lebih mencabar kerana mereka fikirkan dirinya tidak layak.

 

Mengapa seseorang  memandang rendah pada diri sendiri?  Berikut ini disenaraikan beberapa strategi untuk memulihkan harga diri seseorang.

 

Punca pertama : Hargai nilai keperibadian sendiri

Seseorang  yang berpangkat dan berstatus tinggi tidak semestinya menggambarkan kualiti keperibadian dirinya.  Orang yang mulia adalah digambarkan oleh kualiti dalaman dan bukan kualiti luaran.  Hayatilah sifat keperibadian sendiri.  Jika diri anda mempunyai ciri-ciri yang unik dan terpuji, bersyukurlah.  Cara mengukur ilai diri bukan berdasarkan pada kejayaan duniawi sahaja, tetapi tahap kesabaran anda, keberanian dan keyakinan diri sendiri. Bandingkan diri anda dengan orang yang membuat anda merasa rendah diri. Apakah kualiti yang anda miliki tetapi tidak dipunyai olehnya. Anda akan mula menjunjung kebaikan yang telah dimiliki oleh diri anda. Ini bukan bermaksud anda memandang rendah padanya, hanya anda akan mengenal diri sendiri tidaklah seteruk yang anda fikirkan.

 

Punca kedua : kejayaan belum sampai

Individu yang mengejar kejayaan secara terburu-buru sering merasa rendah diri bila melihat orang lain telah memerolehi apa yang anda hajatkan.  Contohnya,  seseorang  yang putus cinta atau belum menjumpai jodoh akan merasa rendah diri bila melihat rakan-rakan yang seusia dengannya telah bercinta atau berumahtangga.  Sememangnya, kegagalan atau kehilangan sesuatu bukan bermaksud anda lemah atau tidak berguna. Sebenarnya, ramai individu yang berjaya dalam dunia memperolehi kejayaan pada usia yang agak tua.  Ada yang masih mengejar impiannya biarpun usianya menjangaui enam puluhan.  Individu sedemikian tidak pernah merasa dirinya tidak sebaik orang lain, sebaliknya mereka berkata “Suatu hari, saya akan mencapainya dan membuahkan kejayaan yang lebih menakjubkan.” Berikan masa untuk diri sendiri.  Yang penting , anda teruskan perjuangan mengejar impian yang anda hajatkan.

 

Punca ketiga : Setiap orang mempunyai kelemahan dan kesilapan

Bila emosi kita dijajah oleh orang yang lebih handal, kita akan terbayang kehebatan mereka.  Kita mungkin tidak sedar, sebenarnya mereka juga mempunyai berbagai rungutan dan kesakitan dalam hidup.  Kekayaan dan pangkat tidak menggambarkan kebahagiaan dan kegembiraan.  Ramai individu yang memiliki hidup yang selesa dan serba mencukupi juga membunuh diri. Kejayaan duniawi mungkin melalaikan k dengan tugasan agama dan keharmonian keluarga.  Bagaimana pula dengan keseimbangan hidup dalam aspek yang lain.  Selalunya, kita menjadikan status masyarakat sebagai pengukur kejayaan seseorang.  Kita tidak sedar, banyak aspek yang telah anda miliki adalah jauh lebih bermakna kepada hidup.  Janganlah kita menjadi hamba kepada kejayaan sekular sehingga kita kelhilangan sesuatu yang lebih berharga.

 

Punca keempat : Tidak  manusia yang dikatakan serupa

Bila kita membandingkan kedudukan kita dengan orang lain , ini juga bermaksud kita hendak menyamakan kualiti diri anda dengan orang lain sebelum dianggap berjaya dalam hidup.  Pada hakikatnya , seseorang  yang berjaya boleh menceburkan diri dalam apa bidang sekalipun.  Kita tidak perlu menjadi menteri untuk menganggap diri kita hebat.  Biarpun diri kita seorang kerani, kita boleh buat yang terbaik untuk hidup dengan menjalankan tugasan yang diserahdg bersungguh-sungguh. Kata pepatah ” Anda tidak perlu menjadi pokok yang besar untuk merasa kegagahan diri, anda boleh menjadi rumput yang menghijaukan gunung dan tetap menerima pujaan orang ramai.”  Terimalah keunikan diri dan buat yang terbaik dalam skop tanggungjawab yang telah dimandatkan.  Yang penting , sumbangan anda dapat membawa kebaikan kepada dunia.  Anda akan tetap bersyukur dengan apa yang telah anda capai.

 

Kelima : Meneroka cabaran hidup yang lebih menyukarkan

Seseorang  yang berpuas hati dengan apa yang telah dicapai sekarang akan mudah merasa rendah diri bila melihat seseorang  mencapai kejayaan yang lebih baik darinya.  Sebaliknya, jika diri terus mengejar kejayaan dan kemajuan, perasaan rendah diri akan terhapus.  Kita tahu, setiap orang mempunyai permulaan dalam perjuangan.  Mereka yang berjaya sekarang juga adalah seorang yang serba biasa suatu masa dahulu.  Anda yakinkan diri bahawa masa akan sampai untuk anda menuntut kejayaan yang jauh lebih baik dari mereka. Maka dengan ini, anda jadikan perasaan rendah diri sebagai suatu pendorong untuk meneroka kerjaya yang lebih tinggi.   Anda tidak lagi bersimpati dengan keadaan sekarang yang tidak seberapa.  Dengan jiwa ini, anda akan terus melibatkan diri dalam cabaran dan pertandingan.  Anda akan mula mengenal potensi diri yang selama ini terpendam dalam jiwa.  Anda mula menjunjung keupayaan diri untuk setanding dengan orang-orang yang anda banggakan. Hati anda akan berkata , “Apa yang mereka lakukan dan capai , saya juga boleh buat.”  Dengan ini , rasa rendah diri akan terus terhapus dari jiwa anda.

 

Punca keenam : Kesilapan dan kekurangan diri bukan semestinya kelemahan

Orang yang merasa rendah diri sering menjadikan kekurangan diri sebagai suatu faktor yang meruntuhkan semangat diri.  Mungkin anda mempunyai masalah dalam percakapan, mungkin anda cacat atau mempunyai wajah yang hodoh.  Kelemahan dan kekurangan ini bukan menggambarkan diri anda tidak berguna.   Jangan memandang rendah pada diri sendiri hanya kerana anda telah melakukan sesuatu yang salah.  Setiap manusia mempunyai kesilapan dan kelemahan yang tersendiri.  Belajar memaafkan diri sendiri dan mulakan sekali lagi dengan kematangan dan kejujuran.  Biarpun anda tidak mendapat penghormatan orang lain, yang penting anda menghormati diri sendiri.  Kata pepatah ” kesilapan sekali bukan bermaksud kita akan silap selama-lamanya.”  Sememangnya, ramai orang yang berjaya juga banyak melakukan kesilapan.  Tetapi yang penting sekali, mereka tidak menjadikannya sebagai suatu faktor yang menghalang kemajuan.  Mereka insaf dan terus membetulkan diri.  Ramai yang menjadikan kelemahan diri sebagai suatu peluang.  Contohnya,  individu yang gagal dalam percintaan menganggap kegagalan ini sebagai suatu peluang untuk dirinya mencari jodoh yang lebih baik.

 

Kesimpulan

Penerokaan diri bermula dari kesedaran bahawa diri anda seorang yang berguna dan unik.  Jangan sekali-kali memandang rendah pada keupayaan untuk maju.  Berikan peluang untuk diri anda bergaul dengan sesiapa sahaja dan meneroka apa sahaja peluang yang ada. Dengan kefahaman yang disebutkan di atas, anda pasti akan dapat memulihkan keyakinan , maruah dan penghormatan diri.