Makna Mengejar Kemajuan

Insan yang mengekalkan hidup kesederhanaan tanpa hasrat untuk maju akan menimbulkan berbagai implikasi negatif.  Pertama , dirinya akan terus ketinggalan berbanding dengan peredaran zaman yang sentiasa maju ke depan.  Jika kita tidak bergerak seiring dengan perkembangan dunia atau lebih dengannya, kedudukan kita dalam sesuatu organisasi akan mula diambil alih oleh golongan yang lebih berkelayakan.

Negara maju memerlukan warga yang berterampilan dan dinamik.  Ilmu dan kepakaran merupakan aset kemajuan.  Ia adalah kemajuan lahiriah yang menentukan tahap kerjaya seseorang. Tetapi yang lebih penting, jiwa perlulah besar dan sedia menyahut cabaran yang lebih berat.  Kemajuan juga perlu dinilai dari dalam, iaitu ketahanan dan kekuatan mempertahakan keluhuran dan kemuliaan. Dalam era Wawasan 2020 , hanya mereka yang maju sahaja akan mendapat tempat yang tinggi dalam masyarakat .

Insan yang tidak mahu maju diibaratkan sebagai parasit.  Mereka menyusahkan orang di sekeliling kita. Ada yang rela tinggal di rumah ibu bapa dan mengharapkan segala jagaan dan layanan tanpa berikhtiar untuk maju. Mereka menganggap kerja dan pembelajaran mengejar kemajuan adalah suatu tekanan.  Mereka tidak sedar, tekanan hidup dalam bentuk kemiskinan dan kemunduran yang menimpa seseorang adalah jauh lebih teruk dan dasyat berbanding dengan tekanan mengejar kemajuan.

Insan yang tidak mahu maju akan mengadu dan merungut kononnya peluang baik dunia hanya direbut oleh mereka yang tamak.  Mereka berpendapat simpati haruslah diberi kepada insan yang lemah. Mereka tidak tahu, dirinya juga berhak untuk merebut peluang yang sama jika mereka sedia berusaha.

Insan yang tidak mahu maju menyerah pada takdir. Mereka menganggap keadaan dirinya sekarang adalah suatu yang tidak dapat diubah. Mereka menerima hakikat kemunduran sebagai nasib dan membiarkan dirinya merasa kesempitan seumur hidup.  Mereka tidak sedar, Tuhan hanya menolong orang yang telah lulus dengan ujian cabaran dan kegagalan. Insan sebegini sering gagal menukar cabaran dan tekanan kerja sebagai suatu kekuatan untuk mengejar kemajuan.  Akhirnya , mereka terus terbelenggu oleh keadaan yang susah.

Kemajuan adalah suatu tanggungjawab hidup.  Sejauh manakah kita puas dengan hidup akan menetukan sejauh manakah kita dapat maju.  Adakah kita menjadikan hidup suatu perjalanan yang menarik? Adakah kita berjaya menangkis hidup yang bermasalah? Adakah kita berikan layanan yang terbaik kepada orang yang bergantung dengan kita?  Semua jawapan di atas adalah berkait rapat dengan niat dan usaha anda untuk mengejar kemajuan.

Janganlah kita salahkan dunia tentang apa yang berlaku terhadap kita.  Sebaliknya, tanya diri kita apa yang sudah kita buat dalam usaha mengejar kemajuan diri.  Dunia kini seringkali kejam dengan insan yang lemah dan tidak berdaya juang.  Sebaliknya, dunia melayan mereka yang kuat dan maju dengan adil dan baik.  Hakikatnya, kita hanya layak menerima segala layanan terbaik dari dunia jika kita membina kelayakan diri terdahulu.

Insan yang bermotivasi tidak pernah menerima keadaan dirinya sekarang sebagai yang terbaik.  Mereka tahu , ada tempat yang lebih tinggi untuk mereka.  Itulah sebabnya mereka berusaha. Itulah sebabnya mereka mempunyai cita-cita.  Mereka mahu memanjat tangga kejayaan dan meninggalkan kedudukan sekarang yang tidak seberapa.  Ini sejajar dengan Hieraki Maslow untuk mengenal potensi diri yang terpendam, mengenal bakat dan kebolehan diri yang sebenar.

Sebaliknya, insan yang tidak mahu maju menganggap dirinya sudah cukup selesa dengan apa yang ada.  Mereka tidak tahu, sumbangan mereka kepada negara dan dunia amatlah terhad.  Sebenarnya, mereka boleh buat  lebih baik dan lebih cemerlang.  Jika setiap warga Malaysia adalah dikategorikan dalam golongan yang tidak mahu maju, bilakan Wawasan 2020 akan tercapai?

Kepada pelajar sekolah, andalah pewaris tampuk pentadbiran negara.  Jika kita mahukan negara kita maju, binakan diri anda dengan belajar bersungguh-sungguh.  Jika asas ilmu kuat, kemajuan akan menjadi utuh.  Bagaikan pokok yang kuat memerlukan akar yang kuat.

Marilah sama-sama kita berusaha membina dunia ini dan jadikannya suatu tempat yang lebih indah dan selesa didiami.  Hanya jika sedia maju ke depan sebagai seorang individu yang berkualiti, dunia akan merasa bertuah dengan kehadiran kita.