Prinsip Kejayaan : Kuasa Diri

Kuasa Diri (Personal Power) ialah suatu aset yang boleh membawa seseorang  ke arah kecemerlangan.  Kuasa diri bersifat sebagai magnet. Ia menarik dan mencetuskan sesuatu kejadian yang kita harapkan. Tanpa kuasa diri, seseorang  yang bertungkus lumus siang malam belum pasti akan mencapai impiannya.  Kita mungkin bertanya, apakah yang membezakan diri seseorang  yang dianggap “bernasib baik” di mana segala kekayaan terus mendatang kepadanya. Ini merupakan suatu rahsia yang masih-masih tertanya-tanya oleh ramai insan dunia yang mengharapkan kejayaan.

Terdapat 10 faktor yang boleh membawa kuasa diri pada seseorang  yang hendakkan kejayaan .

Pertama : Niat untuk berdikari.  Selagi diri seseorang  masih tunduk pada suruhan atasan, dirinya tidak akan dapat menggunakan kreativiti diri untuk mencapai potensi diri yang optima.  Niat membina masa depan sendiri adalah suatu bentuk jiwa yang berdikari.  Kita berjaya bukan dengan mengharapkan kurniaan atau simpati orang lain, tetapi atas kehebatan dan ketrampilan diri.  Usahawan mempunyai kuasa diri yang tinggi untuk membina destinasi hidup yang mereka idamkan. Mereka tidak terkonggong oleh politik pejabat atau peraturan organisasi.  Mereka bebas menerokai bakat dan impian diri.

Kedua : Karismatik.  Insan berkarisma memberi kesan impresif pada seseorang  yang menemuinya.  Mereka mempunyai kuasa mempengaruhi ahli pasukan.  Mereka juga berkeupayaan menjana ramai pengikut yang seiras dengan aliran pemikiran serta haluan perjuangannya.  Dengan erti kata lain, mereka adalah pemimpin yang berkaliber.  Ciri karisma boleh dibentuk dengan sifat  Perhubungan Manusia yang unggul, antaranya merangkupi keceriaan, keyakinan dan setia kawan.  Tidak ada sesiapa yang mahu mengikut pemimpin yang bersifat pasif dan negatif.  Di samping itu , insan berkarisma mengatur percakapannya dengan baik dan berkualiti.  Cara berjalan  dan duduk juga mempengaruhi kuasa karisma seseorang .

Ketiga : Sedia membantu.  Kuasa diri adalah suatu persepsi orang lain terhadap anda.  Sejauh manakah anda dialu-alukan oleh ahli pasukan anda adalah juga bergantung pada keikhlasan anda untuk membantu dan menyumbangkan sesuatu yang memberi manfaat kepada mereka.  Tiada pengikut yang sukakan pemimpin yang hanya tahu memberi arahan tetapi tidak sudi memberi bantuan baik memberi idea atau bantuan teknikal.  Jika kita hendak dapatkan penghormatan dan sanjungan orang lain, kita hendaklah terdahulu mendapat  kerjasama mereka.  Bila anda membantu ahli pasukan anda untuk mencapai hasrat dan impiannya, mereka juga akan memberi kerjasama dan bantuan kepada anda.  Dengan erti kata lain , mereka yang kedekut dan pentingkan diri tidak akan dapat meninjolkan kuasa diri.

Keempat : Terima risiko.  Setiap percubaan yang bermakna dan berganjaran tinggi juga membawa bersama risikonya yang seiras.  Kuasa diri hanya tertonjol pada seseorang  sedia menanggung risiko dan berhadapan dengan sesuatu yang merbahaya atau menyakitkan. Sebaliknya, mereka yang cuba mengelakkan diri dari tugasan susah atau menyerah tugas yang berisiko kepada orang lain akan kehilangan kepercayaan orang lain.  Pengikutnya mungkin berkata, “Pemimpin takut buat, itulah sebabnya kami disuruh.” Selagi keadaan ini berlaku, pemimpin tersebut akan hilang penghormatan dari ahli pasukannya.  Ini bukan bermaknsa seseorang  pemimpin tidak mengagih tugasan dan bertindak seorang diri.  Tetapi, sejauhmanakah dirinya boleh bersama-sama dengan ahli pasukan dalam usaha menyelesaikan sesuatu masalah yang berisiko .

Kelima : Kecergasan fizikal.  Insan yang lasak, dinamik dan kuat akan menampilkan suatu kuasa besar di mana-mana dia pergi.  Kecergasan ini ditunjukkan dari segi kepantasan bekerja dan menyelesaikan sesuatu masalah.  Sebaliknya, seseorang  yang berpenyakit dan lemah tidak akan berkeupayaan menjana kuasa diri.  Elakkan mengadu diri lemah atau sakit.  Bila kita tunjuk kelemahan fizikal  kepada orang lain , darjat  kuasa diri akan menurun. Sebaliknya, segakkan diri dengan gaya rupa yang gagah perkasa biarpun pada hakikatnya, diri kita tidak sihat.  Insan yang dinamik terus mengekalkan gerak badan dan cara penampilan diri yang dinamik di mana-mana dia berada.

Keenam : Penghormatan diri.  Insan yang berkuasa diri menghormati dirinya biarpun apa sekalipun yang berlaku.  Kita tidak perlulah sempurna untuk menjana perasaan penghormatan  diri. Tiada insan yang sempurna dalam dunia. Biarpun kita dikutuk, dihina atau dianiayi – jiwa menghormati diri perlu diteruskan.  Yang penting, kita mencari makna dari setiap kejadian dan jangan sampai kejadian itu meruntuhkan diri sendiri.  Keupayaan menghormati diri membolehkan diri kita mengembaikan moral perjuangan diri dalam apa jua keadaaan yang mencabar.  Kita masih memandang tinggi pada nilai kewujudan diri kerana kita tahu makna dan sumbangan kita terhadap sesuatu organisasi.  Dengan memandang tinggi pada kerjaya dan peranan diri anda terhadap masyarakat dan negara, kuasa diri akan dapat disemarakkan. Ia membolehkan kita menyesuaikan diri semula dalam krisis mahupun tergaedi dan terus mengiktiraf kepentingan diri.

Ketujuh : Kebenaran.  Jika seseorang  sentiasa memegang pada kebenaran, dirinya akan tetap gagah biarpun sengaja dicabar oleh orang lain.  Buat sesuatu mengikut lunas-lunas masyarakat dan peraturan sejagat amatlah penting dalam usaha menonjolkan kuasa diri.  Minda seseorang  yang berpegang pada kebenaran adalah bersih dan berani.  Mereka tahu mengelakkan diri dari terjebak dalam kehinaan dan kerosakan.  Insan sebegini tidak mudah terperangkap oleh godaan dan pujukan orang yang bersifat negatif.  Tiada sesuatu yang dapat  menghalang usaha dan niat murni seseorang  yang sentiasa menjunjung kebenaran.  Jiwanya murni, hatinya lurus.  Orang sebegini akan mendapat rahmat dan restu dari Tuhan.

Kelapan : Kecekapan.  Kuasa diri tertonjol bukan hanya pada nilai hati, tetapi bakat dan kemahiran.  Semakin tinggi kemahiran dan tahap ilmu, semakin kita diperlukan untuk pembangunan dan kemajuan. Penerapan orang terhadap diri anda akan berubah.  Anda berkeupayaan memberi komen yang membina demi kejayaan organisasi.  Anda semakin berdaya saing dan dapat merebut peluang yang lebih lumayan. Anda dapat memberi nasihat dan panduan yang menggerakkan tamadun manusia. Kemahiran dan bakat ini boleh ditajamkan dengan penglibatan anda dalam cabaran dan masalah.  Di samping pengalaman, kelas malam dan kursus juga akan meningkatkan kecekepan anda.

Kesembilan : Penyabar. Jiwa bersabar dalam kemarahan dan kesakitan dan terus mencari jalan penyelesaian merupakan suatu kuasa diri yang dimiliki oleh pemimpin yang agung.  Sekadarkan marah tidak akan membawa perubahan pada apa yang telah berlaku.  Tekanan emosi untuk membetulkan seseorang  tidak akan membawa perubahan yang hakiki kalau tidak disertai dengan penjelasan dan kefahaman.  Jiwa penyabar tahu mengolah kata-katanya dengan sopan dan berdiplomasi untk menyelesaikan sesuatu konflik dalam keadaan yang baik.  Pepatah berkata, ” Sampai ke tebing krisis dan tidak tertawan secara emosi adalah suatu kemenangan”.  Belajar menjadi seorang yang tahan lasak dan sanggup berhadapan dengan kesakitan dalam keadaaan yang tenang.

Kesepuluh : Rendah diri.  Pepatah berkata, ” Orang yang agung bagaikan padi yang berisi, semakin berisi semakin tunduk”.  Kuasa diri bukan ditonjol dengan kuasa menakluki atau mengalahkan orang lain tetapi keupayaan bekerjasama tanpa ego diri.  Seseorang  yang sedia merendahkan diri akan lebih dihormati orang.  Tetapi, seseorang  yang bongkak dan sombong hanya mencermin jiwa diri yang lemah.  Mereka perlukan sanjungan untuk menegakkan rasa kepentingan dalam organisasi.  Biar apa kejayaan yang lalu janganlah menjejas komunikasi dengan anggota bawahan yang tidak sehebat anda.  Seseorang  tidak akan tahu, ada antara ahli pasukan anda yang baru lebih handal dan lebih hebat darimu.  Mungkin anda akan perlukan pertolongan mereka suatu hari kelak.

Kesimpulan : Kuasa diri merupakan asas kepimpinan.  Seseorang  yang mempunyai kuaa diri akan berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai pemimpin yang berpengaruh dan mendapat penghormatan ramai.