Konsep motivasi dalam dunia kerja

 

Seseorang yang bermotivasi tinggi akan dapat memanjat tangga ke tahap yang lebih tinggi, malah ada yang mendirikan perniagaan sendiri. Terdapat beberapa konsep motivasi yang perlu di dokong oleh setiap warga kerja demi membolehkan syarikat maju dan mengaut keuntungan yang lebih besar.

Seseorang yang tidak bermotivasi akan mungkin disingkirkan oleh majikan kerana gagal meneroka peluang perniagaan untuk syarikatnya. Produktiviti yang rendah, gagal mengekalkan pelanggan lama atau sikap mengalah waktu berhadapan dengan kejurujualan adalah antara petanda kekurangan motivasi diri.

 

Konsep pertama : Menerima semua ragam pelanggan

Seseorang yang bermotivasi tinggi tidak memilih pelanggan.  Selagi mereka dapat membawa keuntungan kepada syarikat , kita hendaklah menjaga mereka dengan sikap yang positif.  Biar pun adanya pelanggan yang kurang bertimbang rasa dan menimbulkan berbagai masalah yang sukar ditangani, ada kalanya mereka meminta sesuatu yang luar dari keupayaan anda; janganlah kita terluka secara emosi dan akhirnya menimbulkan blok komunikasi yang menggagalkan urus niaga tersebut.  Terima semua cabaran kerja dan layan semua pelanggan dengan baik.

 

Konsep ke dua : Memberi khidmat lebih dari apa yang sepatutnya

Persaingan dunia perniagaan sekarang semakin tinggi.  Setiap syarikat cuba beri perkhidmatan yang lebih baik berbanding dengan apa yang pelanggan jangkakan.  Ini bermaksud kita sudi kurangkan keuntungan dan melabur kembali kepada pelanggan.  Mereka yang tidak sudi berkorban dan hanya hendak mengaut keuntungan yang besar dari pelanggan akan mula kehilangan tempat dalam dunia perniagaan yang mengutamakan kualiti dan kuantiti. Individu yang bermotivasi tinggi mempunyai semangat untuk bersaing dan merebut peluang perniagaan yang lebih besar.

 

Konsep ke tiga : Meneroka peluang yang hampir malap

Seseorang yang berjaya dalam dunia perniagaan sanggup meneroka sesuatu perniagaan yang dikatakan sukar oleh orang lain.  Mereka mendirikan perniagaan biar pun berhadapan dengan risiko tertentu.  Kemungkinan mereka tidak mempunyai pelanggan yang cukup untuk menampung perbelanjaan perniagaannya.  Kemungkinan jumlah pelanggan pada peringkat awal perniagaan tidak ramai, kemungkinan perubahan undang-undang negara yang menjejaskan prestasi perniagaannya, tetapi mereka masih terus meneroka peluang yang terselindung.

 

Konsep ke empat : Mendirikan rangkaian yang besar

Seseorang yang mahu meneroka perniagaan tidak hanya berpuas dengan apa yang mereka capai selama ini.  Mereka terus mencari jalan untuk meneroka perniagaan di peringkat yang lebih tinggi. Mereka percaya dengan usaha yang lebih gigih, mereka akan memanjat  ke tangga kejayaan yang lebih tinggi. Mereka mencari rakan kongsi perniagaan , mereka mencari modal yang lebih besar. Hidup mereka bertambah sibuk dan keuntungan juga semakin meningkat.

 

Konsep ke lima : Sentiasa menghargai prospek perniagaan

Apa sahaja yang anda niagakan, anda perlu pelanggan. Seseorang yang berjaya dalam perniagaan sentiasa merebut pelanggan dari apa sumber sekali pun.  Mereka menjaga pelanggan bagaikan menjaga anak sendiri.  Untuk mengekalkan perhubungan yang positif dengan semua pelanggan , mereka akan memastikan perhatian yang berterusan baik secara menelipon atau secara pos. Mereka tidak sudi membiarkan pelanggan mereka direbut oleh pengusaha lain.

 

Konsep ke enam : Tidak memperjudikan masa depan perniagaan

Perancangan strategik merupakan suatu pendekatan yang dapat membawa sebuah perniagaan ke puncak jaya.  Individu yang bermotivasi tidak membiarkan perniagaan berkembang mengikut keadaan dan terbuka dengan berbagai risiko yang tidak menentu. Sebaliknya mereka terus membina pelan tindakan yang berteraskan misi syarikat serta nilai-nilai yang unggul. Dengan ini, syarikat tidak tergolong dalam kategori “cuba dan betulkan”. Syarikat sentiasa menghala ke arah sebagai mana yang telah dirancangkan.

 

Konsep ke tujuh : Waras menguruskan semua cabaran dan ujian

Dalam usaha membina perniagaan , tidak dapat kita elakkan masalah dan cabaran yang bakal menghalang perjuangan kita. Seseorang yang bermotivasi tidak mudah luntur semangat atas masalah yang timbul.  Setiap masalah menjadi landasan perkembangan syarikat.  Setiap dugaan menjadi kekuatan untuk membuktikan kehandalan anda.