Mengatasi lurah kemiskinan

 

Masalah wang telah menjadi suatu kerisauan yang berterusan untuk individu yang gagal mengawal kekayaan sendiri.  Kita akan terus mengira dengan jari berapa yang ada untuk dibelanja untuk setiap bulan dan kadang-kadang kita perlu pinjam dari orang lain untuk mengatasi kesempitan hidup yang tidak terancang. Apakah penyelesaiannya? Adakah cara yang menjamin anda dapat melepaskan diri dari kemiskinan dan menikmati hidup yang mewah?

Ruangan ini memaparkan cara mencari kekayaan yang abadi.  Anda akan dapati tidak ada jualan pintas kekayaan.  Anda perlukan masa beberapa tahun untuk membina landasan kekayaan anda. Jika anda terburu-buru mahu mengecapi kemewahan , anda mungkin juga akan kecundang dengan cepat dan berakhir dengan kekecewaan.

 

Sebelum kita mengimbas rahsia kekayaan , kita perlulah faham erti kekayaan. Kekayaan material atau kewangan perlu disebati dengan cara mengumpul wang yang mulia dan terpuji. Semakin tinggi nilai sumbangan kepada dunia, semakin tinggilah ganjaran kewangan yang akan dibalas kepada anda.  Jangan tanya apa yang dunia dapat berikan kepada anda sebelum anda tahu apa yang dapat anda berikan kepada setiap individu yang ada disekitar anda.

 

Ramai individu terus mengejar kewangan semata-mata tanpa menilai diri sendiri. Akibatnya, mereka terus mengejar impian kosong kerana perkhidmatan dan produk yang ditawarkan masih belum dapat mencapai kualiti yang terbaik. Mereka lalai dengan usaha diri sendiri untuk memajukan kemahiran dan keperibadian diri dan terus menyalahkan orang lain tidak adil kepada hidupnya.

 

Sebenarnya , jika anda seorang yang benar-benar berkebolehan.  Anda tidak perlu hidup dibawah telunjuk dan melihat air muka orang lain. Anda boleh mengolah hidup sejajar dengan harapan diri sendiri. Individu sebegini mempunyai peluang yang lebih besar mengumpul kekayaan kerana mereka boleh memulakan perniagaan sendiri.

 

Apakah cara untuk mencari wang? Berikut ini disampaikan beberapa pendekatan untuk anda lakukan sesuatu dalam saat yang paling pahit.

 

Pertama : Jangan terpedaya oleh ego

Anda boleh jadi jurujual rumah ke rumah, anda juga boleh menjual kuih pisang tepi jalan.  Anda boleh buat apa sahaja untuk menyara hidup.  Biar pun anda masih gagal menjelaskan hutang yang masih keliling pinggang, janganlah risau. Dengan usaha yang gigih dan berterusan , anda akan dapat mengumpulkan wang untuk tujuan tersebut. Biar pun diri anda sebelum ini mempunyai hidup yang mewah, hidup yang selesa dan dipandang tinggi oleh orang lain, kini anda perlu mula belajar hidup dalam kesedarhanaan dan tidak terlalu menuntut cara orang lain melihat pada anda. Yang penting , anda tahu segala yang anda usahakan adalah suatu yang mulia dan tidak menyalahi undang-undang negara.

 

Ke dua : Belajar bersendirian

Gunakan masa untuk meneroka sesuatu bidang yang anda minati dan curahkan wang dan tenaga untuk menjadikan ia suatu peluang perniagaan untuk diri sendiri.  Biar pun anda mungkin rasa sunyi dan terpencil kerana kawan-kawan yang anda dapat layan sebelum ini mungkin telah mula menyisihkan diri.  Tetapi janganlah risau, anda masih boleh berdikari sendiri. Pada saat yang penuh dengan ujian ini, dapatkan restu dan sokongan emosi dari pasangan hidup anda.  Janganlah kerana miskin, hidup keluarga berpecah belah.  Buktikan kepada pasangan anda bahawa anda benar-benar mengambil berat terhadap tanggung jawab untuk memulihkan kewangan keluarga tersayang.

 

Ke tiga : Cari orang yang mahukan produk dan perkhidmatan anda

Jangan kita fikir semua orang mesti mahu beli dari kita.  Janganlah terluka kalau ada individu yang gagal memberi simpati kepada anda dalam saat yang penuh dugaan ini. Terus sebarkan berita tentang perkhidmatan dan produk anda, pasti anda orang yang berkenan untuk membeli. Kata pepatah,  dunia tidak akan begitu kejam sehingga mematikan seseorang individu yang bertekad untuk terus hidup. Percayalah, jalan keluar dari kemiskinan adalah kesungguhan untuk anda mencari rezeki sendiri dan bukan mengharapkan orang lain.

 

Kesimpulan

Kekayaan bukan suatu misteri. Ia bukan hak untuk orang tertentu. Jika anda bersedia untuk mengatur semula hidup anda dan mahukan kekayaan , anda boleh dapatkan dengan usaha diri sendiri. Cara yang paling baik ialah melakukan perniagaan sendiri.  Jika anda masih belum ada keupayaan untuk mendirikan perniagaan sendiri, jalankanlah perniagaan jualan langsung  atau gerai kecil-kecilan. Anda akan dapati, jalan ke arah kekayaan akan semakin dekat bila anda dapat mulakan sesuatu sendiri.