Tag Archives: asuhan anak

Jom Kita Berjaya

Kebelakangan ini, datangnya suatu seruan hati saya untuk membantu seramai anak-anak Malaysia mencapai impian dan cita-cita hidup dengan menawarkan mentoring (bimbingan kerjaya) kepada mereka secara mingguan. Saya jadikan aktiviti “Jom Kita Berjaya” sebagai suatu tanggungjawab sosial dan tidak mengharapkan sebarang ganjaran. Ramai ibu bapa menghantar anak mereka kepada saya dan meminta saya untuk memberi bimbingan peribadi untuk menghidupkan jiwa “achiever” dalam hati anak-anak mereka.

Ramai kawan saya bertanya , “Mengapa anda melakukan semua ini sedangkan anda sepatutnya fokus pada tugas ceramah motivasi yang membawa pendapatan yang lumayan.” Saya menjawab,  “Saya sudi meruangkan masa untuk tugas bimbingan kerjaya kepada belia-belia kita kerana saya dapat rasakan kepuasan yang tidak terhingga , khasnya bila saya melihat anak-anak muda kita mencapai kemajuan dan kejayaan dalam hidup mereka. Bagi saya , kepuasan memberi bimbingan peribadi  adalah jauh  lebih dari mengendalikan seminar motivasi atau berkongsi ilmu kejayaan di kaca TV “

Sejak dari dulu, melihat kejayaan orang lain adalah suatu nikmat hidup saya.

Setiap kali saya menonton seseorang juara Olimpik mendapat pingatnya, saya dapat rasakan kemenangannya dengan air mata keriangan. Sentuhan hati ini hadir kerana saya merasa empati dengan kejayaan mereka. Saya sendiri pernah merasa liku-liku perjuangan untuk mencapai impian saya dan saya tahu, ia bukan suatu yang mudah dan seseorang yang berjaya  perlu  mengharungi berbagai dugaan dengan pengorbanan dan titik peluh. Begitu juga bila saya nampak seseorang berjaya mendirikan rumah tangga di majlis perkhawinan , saya dapat rasakan kemanisan dalam hati kerana kejayaan mereka memikat hati jodoh yang mereka sayangi.  Atsa seruan ini, saya sering meminta peserta kursus saya menyemat hajat untuk membina hidup yang berjaya dan bahagia dalam jiwa mereka.

Saya masih teringat saat saya mengucapkan selamat bercuti kepada seorang agen insuran MNI di lapangan terbang KK waktu dirinya berlepas ke Van Couver untuk menghadiri konvensyen syarikat. Beliau adalah salah seorang qualifier yang menerima pakej percutian tajaan kerana berjaya mencapai kuota pemasaran yang telah ditetapkan.  Saya dapat rasakan suatu kemenangan kerana agen tersebut mendapat didikan dari saya sejak hari pertama dia mengikut kursus PCE.  Kini , beliau telah menjadi seorang pengurus agensi dan mendapat hidup yang mewah dan pendapatan yang lumayan. Keupayaan beliau melepaskan kemiskinan adalah suatu nikmat dalam hati saya.

Saya juga teringat saat saya menghadiri Majlis Anugerah “The Top Ten Outstanding Youth Award” yang dianjurkan oleh Jaycees International  di Golden Horse Hotel, Serdang, saya dapat rasakan gemuruh hati sehingga mengalir air mata melihat kejayaan barisan penerima anugerah yang berdiri segak di atas pentas. Setiap kisah dan pengalaman yang pernah dijejaki oleh mereka menjadi suatu pujaan dalam hati saya.

 

Bagi saya, kemenangan setiap insan dunia tidak kira bangsa , agama atau kenegaraan memberi  sentuhan hati yang cukup manis dalam hidup saya, apa lagi kalau insan tersebut adalah anak murid saya sendiri.

 

Sejak 1992,  saya membawa misi untuk membina anak Malaysia dengan menawarkan berbagai program dan seminar motivasi, tetapi usaha ini gagal memberi kepuasan kerjaya yang saya hajatkan. Ini adalah kerana peserta kursus hanya “come and go” dan saya tidak tahu sejauh manakah mereka telah menerima manfaat dari seminar saya. Selepas tamatnya seminar, pelajar jarang berhubung dengan saya dan saya juga tidak dapat memberi bimbingan peribadi yang berterusan untuk mereka.

 

Pada usia 47 sekarang, saya ingin mencari kembali nikmat kerjaya saya dan  memulakan suatu misi BARU dalam hidup dengan memberi bimbingan peribadi kepada seramai insan di Malaysia untuk mengharumkan nama mereka dalam apa sahaja bidang yang mereka ingin ceburi. Saya hendak jadikan kejayaan anak murid saya  sebagai suatu “kenangan manis” bila saya bersara nanti

 

Saya percaya pada falsafah kejayaan yang berkata “ Buat apa yang anda suka dan rasakan nikmat kerjaya anda “ Berdasarkan falsafah ini, saya harap misi tersebut akan disahut oleh para pendidik / kaunselor bersara seluruh Malaysia dan sama-sama kita bangunkan “Pusat Bimbingan Biogenik Minda” di setiap bandar di Malaysia dan negara-negara jiran.

 

Saya mengalu-alukan sesiapa sahaja yang mempunyai  misi yang sama untuk sama-sama membina wira dan wirawati negara.  Marilah kita berganding bahu membina generasi Malaysia yang berdaya maju dan gilang gemilang.

 

Motto saya : Bangunkan akhlak, cetuskan aspirasi

 

Email: [email protected]

Website : hilteryew.com

Bagaimana mengukur kejayaan anak anda?

Bila saya bertanya pada ibu bapa, « Anak mana yang anda rasa lebih berjaya dan kaya berbanding dengan anak-anak lain ? »Tidak ramai ibu bapa dapat menjawab persoalan ini. Ada yang mengguna keputusan sekolah sebagai pengukur kejayaan kerjaya, ada juga ibu bapa menilai anak mereka dari aspek kematangan berfikir dan bakat percakapan. Yang pastinya,  kejayaan dalam hidup tidak hanya bergantung pada prestasi akademik, mahupun bakat dan kemampuan anda. Sebenarnya , sikap dan prinsip hidup adalah suatu pengukur yang paling tepat terhadap masa depan anak-anak anda.

Secara amnya terdapat 49 sikap kecemerlangan dan 336 prinsip-prinsip kejayaan yang bakal memacu kejayaan anak anda. Sayangnya, ilmu sebegini tidak termaktub dalam sukatan persekolahan. Walaupun pelajar diberi peluang kokorikulum untuk menghidupkan kualiti kejayaan, tetapi proses asuhan tersebut tidaklah menyeluruh. Untuk itu, anak anda perlu mempunyai bimbingan kejayaan yang sistematik demi menghidupkan kualiti kejayaan dalam hidup mereka.

Sebagai seorang mentor anak, saya dapat mengesan masa depan mereka hanya dengan menanya beberapa soalan dan menganalisis maklum balas mereka. Sebenarnya, sikap dan pemikiran mereka adalah jauh lebih penting dari ilmu dan kemahiran. Hakikatnya, ramai graduan universiti yang hidup kais pagi makan pagi , kais petang makan petang walaupun dirinya mempunyai ilmu setinggi gunung. Begitu juga para mekanik dan juru teknik yang berkemahiran hidup dalam keadaan yang memilukan. Selagi corak pemikiran kita masih dikongkong minda kemiskinan, peluang kejayaan dan kekayaan tidak akan berpihak pada anda.

Sejak saya memberi bimbingan kejayaan kepada para anak , saya dapati ramai dari mereka tidak mempunyai sikap dan mentaliti kekayaan, khasnya golongan yang dilahirkan dalam keluarga berada. Jika blok minda kemiskinan tidak dibongkarkan, maka kekayaan yang diturunkan kepada anak akan hilang sekelip mata. Proses alihan minda seperti ini bukannya suatu proses yang mudah kerana dirinya akan kembali ke tabiat minda lama. Syukurlah , dengan adanya sistem kejayaan yang termaktub dalam Mutiara Kejayaan, semaian tabiat minda kejayaan menjadi mudah dan praktikal.

Bagi saya, tidak ada anak yang tidak boleh diselamatkan. Yang penting, anak tersebut sudi mengikut proses bimbingan yang ditawarkan secara sukarela.

 

Kesimpulan

Jika anda sudi memberi tuisyen akademik yang terbaik kepada anak anda, janganlah kita lalai dengan tuisyen minda untuk anak anda. Dalam konteks kejayaan, sikap dan minda anda adalah lebih penting berbanding dengan ilmu dan kemahiran. Bila landasan sikap dan kualiti minda anak anda sudah bersedia, sudah pasti masa depannya akan menjadi cerah dan terjamin.

 

Foo Chang

Kids Coach

 

Membina sikap anak

Ramai ibu bapa berusaha sedaya upaya untuk memberi kehidupan yang selesa untuk anak dari aspek pemakanan, tempat tinggal dan rekreasi. Kita mungkin membelanjakan wang ribuan ringgit untuk suatu percutian sekolah dan melancong ke tempat-tempat peranginan. Kita juga mungkin membawa anak kita menjamu selera di restoran yang terkemuka. Soalnya, tidak ramai ibu bapa yang berusaha membantu anak mereka untuk membina kecemerlangan sikap serta memberi makanan minda yang positif kepada anak-anaknya.

Sejak saya memulakan misi saya sebagai seorang mentor anak, saya telah berkesempatan berbual dan berbincang dengan ibu bapa tentang masa depan anak-anaknya. Ada ibu bapa yang sendiri tidak pasti apa yang anak-anak mereka minati selain dari bermain komputer game. Bagi saya, ibu bapa telah membutakan cita-cita anak dengan memberi berbagai hiburan dan keseronokan. Anak-anak lebih suka bercerita tentang Mickey Mouse atau spiderman berbanding dengan tajuk yang lebih praktikal tentang masa depannya. Tujuan saya bukan hendak menghapuskan kesemua kepuasan dan keseronokan anak untuk berjinak-jinak dengan idola mereka, tetapi janganlah mereka terbawa-bawa oleh idola tersebut sehingga mereka tidak mampu fokuskan pada keunikan dan kehebatan diri sendiri.

Setiap kali saya bercakap dengan pelajar sekolah, saya dapati mereka mempunyai berbagai kegemaran yang belum matang. Mereka minat bermain bola sepak, mereka minat menyanyi tetapi mereka gagal melihat keupayaan diri mereka untuk merealisasikan sesuatu kegemilangan di sebalik minat mereka. Hanya segelintir pemain bola sepak bermain dengan misi untuk mewakili sekolah atau menjadi seorang pemain piala dunia. Rata-rata pelajar hanya jadikan minat mereka sebagai suatu hobi masa lapang semata-mata. Akibatnya, penglibatan mereka tidak membuahkan sesuatu kecemerlangan yang dapat mengharumkan nama mereka dan nama negara tercinta.

Adalah menjadi harapan saya sebagai seorang Mentor Anak untuk melahirkan remaja dan belia yang berwawasan. Mereka boleh nampak kejayaan yang terselindung di sebalik minat mereka biarpun dirinya hanya seorang pemain kelas tiga atau penyanyi dalam tandas. Dengan memberi bimbingan peribadi kepada anak, kita dapat menyerlah bakat yang terpendam dan seterusnya mengharumkan nama mereka di persada dunia.

 

Kesimpulan

Hidup anak yang bermatlamat akan membantu mereka membina kejayaan dan bukan sekadar menyempurnakan tugasan semata-mata. Pelajar yang bermatlamat mahu mencapai Straight A atau masuk universiti , mereka tidak belajar hanya untuk memenuhi tugas kerja rumah atau lulus peperiksaan semata-mata. Pelajar yang bermatlamat dalam bidang sukan akan mengilhamkan hajatnya untuk mewakili negara dan bukan sekadar bersukan untuk tujuan kesihatan semata-mata. Marilah sama-sama kita menyemarakkan generasi muda yang bermatlamat dan berjiwa besar.