Apakah mentaliti orang kaya

Setiap orang yang hidupkan kekayaan hendaklah mempunyai mentaliti orang kaya.  Mereka mengolah aktiviti hidup dengan cara yang membawa rezeki yang besar untuk melayakkan mereka dengan corak hidup yang mewah.  Mereka mengasingkan diri dari budaya hidup orang biasa, kerana mereka mempunyai kemahuan yang kuat untuk menjadi kaya-raya.

Ruangan ini mendedahkan pendekatan yang diamalkan oleh orang yang telah mencapai kemewahan.  Bukan semua orang dapat menerima pendekatan berikut kerana ia adalah suatu yang sukar dihidupkan. Tanpa pegangan hidup dan pendirian yang kuat , pendekatan yang disenaraikan ini tidaklah memainkan apa-apa peranan dalam hidup seseorang.

 

Pertama : Meneroka peluang yang terpendam

Orang-orang kaya tidak minat dengan peluang yang terbuka.  Mereka hanya melihat sesuatu yang tersirat.  Mereka dapat mengesan setiap kemungkinan yang gagal dikesan oleh orang lain.  Bila orang lain kata tidak boleh, mereka akan katakan boleh.  Jika orang lain katakan tidak minat, mereka akan katakan minat.  Keupayaan melibatkan diri dalam sesuatu kegiatan yang membawa masa depan yang cerah biar pun keadaan sekarang tidak menampakkan apa-apa kebaikan.  Dengan erti kata lain, mereka dapat melihat lebih jauh dari orang-orang lain.

 

Ke dua : Hidup mengikut tahap pendapatan

Mereka tidak belanja lebih dari apa yang mereka mampu.  Mereka tahu menabung wang untuk persiapan masa depan.  Mereka tahu kejayaan perlukan modal.  Mereka tahu apa yang perlu dibeli dan apa yang perlu dikemudiankan.  Mereka mempunyai kawalan kewangan yang ketat dan mereka tahu mengelakkan diri dari pembaziran biar pun betapa kecil nilainya.  Mereka tidak mudah dipengaruhi orang lain bila berhadapan dengan perbelanjaan yang boleh dielakkan atau dikurangkan.

 

Ke tiga : Tidak minat dengan belas kasihan

Mereka mendapat setiap hasil dengan usaha gigih dan mereka tidak perlukan simpati orang lain.  Dalam saat berhadapan dengan masalah , mereka mencari jalan dan tidak mengalah.  Mereka tahu, tanggung jawab dirinya adalah jauh lebih penting dari mengeluh atau merungut. Akibatnya, mereka terus bergelut dengan setiap masalah dan mereka sanggup bertahan dalam setiap keadaan. Mereka percaya , selagi dirinya bertindak dengan penuh kegigihan , dirinya pasti akan dapat membina masa sendiri mengikut caranya yang unik (My Way).

 

Ke empat : Suka merancang dan memikirkan idea baru

Mereka melibatkan diri dalam berbagai aktiviti yang boleh mencetuskan berbagai inspirasi.  Mereka juga suka berseorangan.  Dengan ini, mereka mempunyai ruang masa untuk mencari dan memikirkan sebarang kemungkinan untuk menjadikan meningkatkan kualiti dan kreativiti perniagaan mereka.  Bila sesuatu idea menampakkan suatu kemungkinan , mereka akan terus bertindak biar pun melibatkan modal yang besar.  Mereka tahu, risiko di sebaliknya akan juga menjana keuntungan yang sejajar.

 

Ke lima : Mempunyai pegangan hidup yang kuat

Mereka mempunyai nilai hidup yang tinggi dan tidak sudi menundukkan diri dengan corak kehidupan yang tidak sejajar dengan nilai hidup dirinya.  Mereka tahu apa yang penting dalam hidup dan mereka tidak mahu mengikut rentak hidup yang tidak menyumbang kepada kepentingan tersebut.  Ini bermaksud mereka mempunyai pendirian yang kental. Hidup mereka sentiasa diolah mengikut peraturan yang telah ditetapkan oleh diri mereka sendiri.

 

Ke enam : Mementingkan masa

Mereka tahu nilai setiap detik masa dalam hidup.  Mereka mengatur masa mengikut keperluan setiap kategori hidup , baik untuk keluarga , kesihatan , mental atau kerjaya .  Mereka tidak mahu membuang masa biar pun satu minit dengan sesuatu yang tidak membawa kebaikan.  Bila seseorang dengan mengganggu masa hidupnya, dirinya akan sentiasa memikir – wajarkah saya melakukannya. Disebabkan dirinya telah mempunyai sistem hidup dan aktiviti yang terancang, tidak ramai orang dapat mencuri masanya dengan meminta dirinya lakukan sesuatu yang tidak seiras dengan hasratnya.

 

Ke tujuh : Sanggup berhadapan dengan tekanan dan masalah

Untuk berjaya , orang-orang kaya telah bergelut dengan berbagai masalah dan cabaran.  Mereka tahu, tanpa resepi ini , kejayaan tidak akan datang. Dengan itu, mereka sudi melibatkan diri dalam aktiviti yang rumit dan menyusahkan. Hidup mereka penuh dengan dugaan.  Saat tertentu, mereka mungkin akan takut kerana memikirkan sesuatu risiko yang bakal menimpa. Mereka juga sering risau kerana ada sesuatu yang perlukan penyelesaian. Ini bermaksud , hidup mereka tidaklah tenang selalu.

 

Ke lapan : Sudi melabur wang untuk masa depan

Mereka sudi memperuntukkan kewangan untuk membina masa depan sendiri. orang-orang kaya tidak minat dengan keuntungan kecil hasil dari nasib atau belas kasihan orang lain.  Mereka tahu, setiap keuntungan yang mereka dapat adalah hasil dari pelaburan diri baik melalui usaha atau modal sendiri.  Setiap kali mereka dapat sesuatu ganjaran , mereka akan melabur balik untuk membina keuntungan yang lebih besar.  Tidak ada sesuatu yang datang secara percuma.

 

Kesimpulan

Sememangnya , kekayaan adalah hak untuk mereka yang bersedia sahaja.  Jika kita gagal hidupkan corak mentaliti orang-orang kaya , kekayaan yang kita harapkan tidaklah akan mendatang.

Orang-orang kaya mempunyai corak mentaliti yang unik.  Jika selama ini , kita telah biasa dengan corak mentaliti dan tabiat yang tidak menyumbang kepada kekayaan , kita perlukan disiplin yang kuat untuk mengubah corak hidup tersebut.