Prinsip Kejayaan : Persabahatan Positif Membina Motivasi

Jenis pergaulan akan mempengaruhi motivasi seseorang .  Untuk mereka yang mahukan kejayaan, pilihlah rakan yang boleh memberi tenaga positif dan kekuatan. Mereka yang tidak waras memilih kawan akan mudah terjebak dengan pergaulan bebas yang bukan sahaja membuang masa, tetapi merugikan masa depan sendiri.

Bagaimana hendak memilih kawan yang positif .  Ini merupakan suatu ilmu hidup yang penting khususnya kepada muda-mudi yang baru menceburkan diri dalam dunia kerja. Ramai belia masih mentah dalam dunia kerja mudah menjadi mangsa kepada golongan rakan sebaya yang indah di mulut tetapi berbisa di hati.  Mereka terikut-ikut suatu yang nampaknnya membawa keuntungan dan kebaikan secara lahiriah tetapi akhirnya meruntuhkan.  Ramai yang masih bertanggapan kawan mereka baik.  Bila ibu bapa memberi komen dan pandangan untuk memisahkan anaknya dengan rakan baiknya, mereka(anak) marah.  Ada belia yang cuba melarikan diri dari rumah dengan kawan.  Bila tragedi berlaku – baru mereka balik rumah.

Napoleon Hill dalam bukunya “Think and Grow Rich” membentangkan konsep motivasi dengan sistem pergaulan induk (Master Mind Meeting ). Seseorang  yang mahu berjaya hendaklah sering bergaul dengan rakan yang membina. Untuk membolehkan kita membina skop pergaulan yang positif , terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian.

Pertama : Pergaulan yang membawa matlamat.  Pilih rakan yang dapat membina cita-cita serta menyuburkan minat anda. Contohnya, jika cita-cita anda ialah untuk menjadi seorang juara Thomas Cup; cari rakan yang sehaluan dan dapat berlatih sama-sama.  Jika diri anda hendak menjadi seorang pelajar cemerlang , sering belajar bersama kawan yang  berdaya maju di perpusatakaan. Terdapat banyak persatuan di bandar yang membolehkan anda berkenalan dengan rakan yang seiras dengan bakat dan harapan anda. Contohnya, Persatuan Toastmasters International  mempunyai ahli yang suka berpidato, Kelab Lion mempunyai ahli yang suka berkhidmat kepada masyarakat dan sebagainya.

Kedua : Rakan yang mempunyai kehebatan dan ketrampilan.  Jadikan mereka sebagai model dan dapatkan tunjuk ajar dan pengalaman mereka.  Kawan sebegini dapat memberi semangat untuk anda.  Kejayaan dan prestasi mereka sudah cukup menyakinkan anda bahawa suatu hari kelak, anda juga boleh mencapai apa yang mereka buktikan.  Perhatikan cara hidup dan mentaliti mereka, apakah sifat peribadi yang telah membawanya ke tahap kejayaan sekarang.  Bila anda bersama dengan orang yang hebat, anda boleh dapatkan komen dan tunjuk ajar.  Mereka telah banyak makan garam.  Agen insuran baru hendaklah selalu bergaul dengan agen lama yang berpengalaman.  Sebaliknya,  ramai belia memilih kawan yang boleh memberi “perasaan baik” semata-mata, ada yang lena bersama dengan kawan dalam pusat hiburan dan berborak kosong sampai larut malam.  Perasaan baik adalah suatu yang sementara, ia tidak membawa suatu yang bernilai dalam usaha memperbaiki status hidup seseorang .

Ketiga : Rakan yang sedia berkorban.  Perhubungan manusia adalah suatu urusan dua arah. Mereka menerima bantuan anda dan juga sedia memberi bantuan kepada anda. Bantuan yang dimaksudkan boleh dari segi wang, masa dan tenaga. Rakan yang sedia memberi bantuan tidak hanya mementingkan diri sendiri. Rakan sebegini mengambil berat tentang hidup dan minat diri anda.  Mereka tidak akan kedekut memberi anda sesuatu yang baik untuk masa depan anda. Bila kita sedih, mereka korbankan masa untuk menemani anda.  Bila kita bermasalah, mereka korbankan masa untuk memberi nasihat dan pedoman.  Pengorbanan bukan hanya diukur dalam konteks material dan kewangan, tetapi yang lebih penting ialah sokongan moral, nasihat dan komen membina. Sebaliknya, rakan yang tidak sedia berkorban hanya cuba memperdayakan kawan untuk kepentingan diri yang sempit. Mereka akan mengguna semua kesempatan untuk mengeksploitasikan kawan demi masa depan dirinya.

Persoalan dari John S. : Saya mempunyai ramai kawan yang suka berjalan-jalan dan bersiar-siar.  Kami berjalan di Wisma Merdeka, dan balik lewat malam. Kadang-kadang, kami duduk di kedai kopi untuk berjam-jam. Saya suka dengan mereka sebab mereka dapat membuatkan saya rasa baik.  Kalau di rumah, saya dapat tekanan dari ibu bapa dan masalah keluarga. Saya suka untuk menghabiskan masa dengan kawan di luar.  Biarpun Saya marah setiap kali ibu bapa saya mempertikaikan kawan saya. Mereka tidaklah jahat sebagaimana yang ibu bapa saya fikirkan.  Apakah komen Hilter Yew .

Jawapan: Sememangnya, setiap orang berhak memilih kawan yang dia suka.  Tetapi , nampaknya kawan  yang anda ikuti adalah golongan yang tidak berdaya maju.  Mereka hanya suka berjalan dan bersiar-siar. Anda merasa baik, tetapi tidak produktif.  Saya pasti John juga jarang ke perpustakaan untuk belajar.  Ini kerana ragam kawan anda telah memberi kesan negatif secara tidak langsung.  Mereka mempengaruhi anda dengan budaya hidup yang lemah dan tidak produktif.

Kalau kita betul-betul mengambil berat dengan masa depan sendiri.  Gantikan kawan sebegini dengan kawan yang lebih berdaya maju.  Sememangnya, kawan anda sekarang bukannya jahat atau bermasalah.  Tetapi, cara hidup mereka hanya untuk mencari ketenangan dan keseronokan dengan berjalan-jalan dan berbual kosong.  Mereka leka dengan tanggungjawab untuk maju dan berjaya.  Dari segi kewangan, mereka masih boleh dapatkan bantuan dari ibu bapa.  Berapa lama ibu bapa boleh menjaga kita? Suatu hari kita juga akan mencari kerja dan berdikari.  Kalaulah usia remaja dibuang tanpa kejayaan akademik dan ko-korikulum, kita tidak akan menikmati tahap kerja yang tinggi.  Maklumlah, dalam dunia yang sengit bersaing hari ini, hanya mereka yang betul-betul bersedia dan berkelayakan yang akan mendapat tempat yang tinggi dan pulangan yang baik.

Sememangnya, ibu bapa tidak memahami kawan anda. Mereka mungkin menggambarkan kawan anda sebagai samseng.  Ini kerana mereka tidak pernah jumpa atau bercakap dengan kawan anda.  Tetapi diri anda tahu, apakah kawan anda sekarang boleh membawa anda ke puncak jaya.  Apakah keputusan peperiksaan anda. Apakah prestasi aktiviti luar darjah anda.  Bolehkah kita menggantikan masa bersama kawan sekarang dengan aktiviti sukan , riadah atau persatuan.

Fikirkan,  apakah jenis masa depan yang anda mahukan.  Apakah masa depan kawan anda ?  Adakah kita mahu jadi seperti mereka yang hanya mahukan hidup sekadar dengan gaji yang hanya cukup untuk mengisi perut. Apakah kita mempunyai modal untuk membeli kereta, rumah atau belanja untuk anak kelak? Kesedaran ini amatlah penting, kerana ia membantu anda berfikir ke depan. Mentaliti hendak maju dan berjaya hendaklah ditanam seawal-awalnya waktu remaja.  Janganlah tunggu sampai waktu kerja kelak baru kata, saya mahu berjaya – sudah terlambat.  Lengkapkan diri anda dengan segala ketrampilan sekarang agar kita tidak hidup dibawah garis kemiskinan.

Kalau kita gagal membantu dan menolong kawan untuk sedar dan kembali ke jalan yang benar. Tinggalkan mereka dahulu.  Jaga diri dengan baik-baik.  Masa depan anda adalah jauh lebih penting dari melayan kawan anda . Biarpun hidup tanpa kawan dan berseorangan, isikannya dengan tanggungjawab belajar atau membantu keluarga. Masa depan anda pasti cerah.

Hidup ini bukannya suatu proses yang senang (Problem free). Biapun kita berhadapan dengan tekanan dan masalah di rumah, janganlah kita lari.  Yang penting, kita melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Pepatah berkata, ” Masalah adalah pencetus idea”, ini bermaksud setiap masalah dan kesakitan boleh memberi inspirasi untuk kita maju dan berjaya  – kalaulah kita sedia berfikir dan berhadapan dengannya .  Tetapi, kalau kita melarikan diri dari masalah dan mencari berseronok atau bergembira dengan kawan di tempat-tempat hiburan, akhirnya masalah akan terus berlarutan.

Kesimpulan, pilihlah kawan yang positif dan berkualiti.   Gunakan akal untuk memilih kawan, jangan hanya berpandukan perasaan dan emosi.  Ramai yang bercerai atau sakit dalam percintaan kerana salah memilih kawan.  Mereka gagal mengenal isi hati kawannya ,akhirnya diri juga yang merasa.

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive

Author: Dr.Yew

Dr.Yew is a professional speaker.