Prinsip kejayaan pasukan: Jangan berpecah belah

Prisip kejayaan pasukan adalah berlandaskan kuasa muafakat.  Jika masing-masing mempertikaikan sesuatu isu sehingga menjejas perhubungan sesama rakan pasukan, maka timbullah ketidakstabilan pasukan. Seorang pengurus yang cekap dan ingin mengembalikan jiwa motivasi dalam pasukan hendaklah berusaha meredakan ketidakstabilan pasukan dan cuba mengelakkan “bara menjadi api”.

Bila pasukan semakin utuh, maka setiap individu akan mula merasa bangga kerana menjadi salah seorang dari ahli pasukan tersebut.  Bila pasukan menjadi rapuh dan lemah, masing-masing akan cuba mencari nafas baru di tempat lain. Ini adalah kejadian lumrah dalam suatu pasukan.  Di samping meredakan sebarang konflik dan salah faham dalam organisasi, baik institusi keluarga, syarikat atau politik; usaha untuk menyakinkan ahli pasukan tentang kemuliaan dan keagungan nilai yang dijunjung oleh perjuangan organisasi adalah penting sekali.

Ahli pasukan akan mula tawar hati dengan masa depan pasukan jika apa yang mereka lihat adalah sesuatu yang negatif dan membawa unsur-unsur keruntuhan.  Jika pengurus pasukan tidak berpegang kepada nilai-nilai yang murni dalam pergolakan hanya dengan tujuan untuk mendapat kepentingan tertentu, akhirnya akan runtuhlah “kepentingan bersama” yang membawa kebaikan kepada lebih ramai individu dalam organisasi tersebut.

Ibu bapa adalah pengurus rumah tangga , Ketua Kampung adalah pengurus kampung, pengetua adakah pengurus sekolah , tauke adalah pengurus syarikat dan YB adalah pengurus negara. Masing-masing mempunyai peranan untuk menyepadukan dan menguatkan ikatan ahli pasukan dalam jagaan mereka demi mengelakkan perpecahan dan perselisihan faham.  Faktor keutuhan adalah asas kepada motivasi setiap ahli pasukan.

 

Berikut disenaraikan beberapa pendekatan yang penting dalam usaha menjaga keharmonian pasukan.

Pertama: Wujudkan misi jangka panjang

Setiap ahli pasukan hendaklah berkeupayaan mengenal dan memahami harapan jangka panjang pasukan. Kegagalan mengenal misi jangka panjang akan menyebabkan ahli pasukan bertelingkah tentang sesuatu isu kecil yang remeh temeh.  Kegagalan mengenal manfaat yang lebih besar akan menyebabkan ahli pasukan menjadikan kepentingan diri lebih besar dari kepentingan pasukan.

Dengan erti kata lain, motivasi ahli pasukan adalah sejajar dengan nilai impian pasukan.  Jika mereka fikir misi pasukan adalah suatu perjuangan yang penting, maka mereka sanggup mengorbankan kepentingan diri untuk bersatu hati mengejar kejayaan pasukan.  Sebaliknya,  jika ahli pasukan tidak dapat merasa kepentingan misi pasukan, mereka akan mudah terperangkap dalam kancah perpecahan dan keruntuhan pasukan.

Untuk mencapai motivasi pasukan yang tinggi, pengurus atau ketua pasukan hendaklah sering berkomunikasi dan menyampaikan mesej perkembangan pasukan dan menyakinkan ahli pasukan tentang kemampuan mereka.

 

Kedua : Membentuk organisasi pasukan yang bersistem

Ahli pasukan hanya dapat berfungsi dengan optima jika setiap orang tahu peranan dan kepentingan masing-masing dalam usaha mencapai misi pasukan.  Jika setiap ahli pasukan tidak memahami “tugas: masing-masing, maka akan timbullah kekecohan dan tuduh menuduh.  Masing-masing akan menyatakan tugas ini bukan dalam bidang kuasanya.  Kegagalan sesuatu projek akan menimbulkan syak wasangka  – siapakah yang cuba bermain muslihat di belakang.  Bila paras ketidakyakinan ahli pasukan antara satu sama lain, maka erti “bekerja sebagai satu pasukan” tidak akan wujud.  Pasukan menjadi kucar kacir dan tidak bersistem.

Untuk mengembalikan ketertiban pasukan, pengurus hendaklah mengatur semula tugasan setiap ahli pasukan (job function) dengan terperinci serta memaklumkan bidang kuasa yang ditugaskan (empowerment).  ahli pasukan juga perlu dimaklumkan hak dan peranan masing-masing dan juga aspek yang tidak termasuk dalam bidang kuasa mereka.  Tanpa sistem bertulis, seseorang  ahli pasukan mungkin akan mempertikaikan sesuatu arahan mengikut perspektif dirinya yang seterusnya menimbulkan masalah dalaman.

 

Ketiga : Hancurkan blok tugas dalam pasukan

Untuk meningkatkan keberkesanan pasukan, ahli pasukan yang mengasingkan diri dengan tugas spesifikasi masing-masing perlu dikurangkan.  Ahli pasukan hendaklah disedarkan tentang peranna masing-masing dalam setiap aspek kecemerlangan pasukan.  Biarpun tugasan disiplin sekolah telah dimandatkan kepada Guru Disiplin, ini bukan bermaksud guru lain boleh menolak peranan mereka dalam hal tersebut.

Bila setiap ahli pasukan mempunyai rasa tanggungjawab yang sama terhadap kejayaan dan kesejahteraan pasukan, maka mereka akan melibatkan diri dengan aktif dalam setiap projek yang dikendalikan oleh pasukan.  Tetapi, jika setiap anggapan “itu tugas anda” dan “ini tugas saya’, maka jurang komunikasi seseorang  ahli pasukan pasti menjadi besar.  Konsep individualistik ini akhirnya mengakibatkan rasa bersaing untuk kepentingan diri, samada naik pangkat atau mendapat “melintang menegak” sehingga mengenepikan pengorbanan untuk kepentingan pasukan.

Motivasi pasukan juga dinamakan semangat berpasukan.  Bolehkan setiap ahli pasukan menawarkan diri untuk membantu ahli pasukan lain dalam bidang kuasa lain adalah suatu pengukur “jiwa berpasukan”.

 

Keempat : Memahami bakat dan kecenderungan setiap ahli pasukan

Kegagalan mengatur tugasan yang sesuai mengikut ketrampilan dan minat ahli pasukan akan juga mengganggu keharmonian pasukan.  Perlu difahamkan, seseorang  akan melakukan tugasnya pada tahap yang terbaik jika dirinya mempunyai penguasaan ilmu dan kepakaran dalam  bidang tersebut.  Ketua pasukan perlulah mempunyai pengalaman dan pengetuahuan yang mendalam dalam aspek tersebut.  Ini akan menolong pasukan mengurangkan kesilapan dan masalah dan seterusnya meningkatkan keberkesanan pasukan.

Sebaliknya, ketua pasukan yang tidak selasi dengan bidang tugasannya tidak akan menyelia ahli pasukan dengan baik.  Dirinya mungkin perlu merujuk kepada ahli pasukan lain yang berpengalaman untuk menyelesaikan masalah teknikal dan sebagainya. Penghormatan dari ahli pasukan kepada pengurus tersebut telah terjejas, apa lagi hendak menerima arahan darinya.  Bila kesan ini wujud, ahli pasukan akan mula bertindak dalam kelompok masing-masing yang dikenal sebagai politik dalaman. Semakin kurang kuasa mengawal dari atasan, semakin banyaklah kesan politik dalaman sedemikian akan wujud.  Peperangan dalaman ini bagaikan parasit yang akan menumpangkan organisasi dalam jangka panjang.  Jika tidak diubati segera dengan menukar “pengurus” yang lebih sesuai, akhirnya motivasi pasukan akan runtuh.

 

Kelima : Pendedahan tentang prestasi saingan

Keupayaan pasukan bersatu hati mempertahankan maruah dan kekuatan organisasi boleh ditingkatkan jika mereka mempunyai “lawan” yang perlu ditumpangkan.  Niat pasukan angkasawan Amerika Syarikat menghantar roket pertama ke bulan kerana mereka hendak menumpaskan keagungan Sains yang dilaung-laungkan oleh Rusia. Niat orang hitam memperjuangkan hak kebebasan bersuara dan berniaga di Amerika kerana mereka mempunyai harapan untuk menumpaskan penguasaan orang putih.

Tanpa kefahaman tentang matlamat perjuangan yang luhur, ahli pasukan akan hanya terikat dengan kerja teknikal dan kerja rutin yang membosankan.  Ahli pasukan hendaklah disedarkan bahawa mereka bukan bekerja untuk pengurus pasukan tetapi untuk sesuatu tujuan yang lebih tinggi.

Mendedahkan kehebatan pasukan yang seiras denga pasukan anda akan mencetuskan niat mengalahkan pasukan lain.  Kuasa menegakkan kejayaan pasukan oleh setiap ahli pasukan adalah suatu motivasi yang paling berharga.

 

Kesimpulan

Ilmu pengurusan pasukan bukan sekadar memberi arahan dan menyelia prestasi tugasan yang diserahkan tetapi juga keupayaan menjana suasana pasukan yang harmoni dan selesa.  Ini hanya dapat dicapai jika setiap ahli pasukan mempunyai kesedaran yang tinggi tentang kepentingan diri mereka dalam usaha mencapai misi pasukan.  Jika misi peribasi dan misi pasukan menjadi terasing dan tidak bersepadu, akhirnya timbullah berbagai masalah yang akan meruntuhkan perjuangan pasukan .

 

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive

Author: Dr.Yew

Dr.Yew is a professional speaker.