Prinsip Kejayaan : Jadikan diri anda istimewa

Semakin anda istimewa, semakin anda dihargai orang.  Keistimewaan itu hendaklah suatu yang memberi kebaikan kepada dunia.  Insan lain sudi membayar keistimewaan anda dengan wang ringgit yang tinggi kerana mereka tidak menjumpai pengganti. Anda bagaikan sebiji intan.  Sinaran anda mendapat perhatian seluruh dunia.

 

Soalnya, bagaimana menjadi seorang yang istimewa.  Carilah suatu yang orang lain gagal buat, dan anda buktikan diri anda boleh.  Bina idea sendiri. Berikan masa untuk mencari inspirasi.  Bukan hanya menjadi pengikut pada apa yang orang lain. Keistimewaan ini bolehlah dalam bentuk bakat, idea atau rekaan.  Anda perlukan minda yang kreatif.

 

Gunakan bakat anda sekarang sebagai suatu pencetus keistimewaan.  Biar betapa lumrah bakat anda, ia akan menjadi istimewa kelak.  Syaratnya, anda hendaklah mewarnakan bakat anda dengan usaha yang berterusan.

 

Anda juga perlukan masa untuk mencari idea.  Peruntukkan sekurang-kurangnya satu jam bersama diri sendiri.  Keluarkan pen dan kertas.  Catatkan semua idea yang melintas pemikiran anda.  Jika anda seorang jurujual, tuliskan idea atau pendekatan yang menjadikan anda seorang jurujual yang luarbiasa.  Apa yang boleh anda katakan kepada pelanggan.  Apakah cara meningkatkan promosi dan minat orang terhadap produk anda.

 

Jangan pertikaikan benar atau praktikaliti idea yang anda bawa. Kemungkinan idea tersebut hanyalah suatu andaian. Tuliskan dan kembangkan idea tersebut seterusnya. Banyak idea yang ringkas dan tidak seberapa telah menjadi penjana jutawan.

 

Pengurus dan eksekutif memperuntukkan masa yang panjang dalam mesyuarat dan perbincangan.  Tujuannya ialah untuk mencari idea.  Biarpun kerja mereka tidaklah sesusah pekerja bawahan, tetapi ganjaran untuk mencari idea nampaknya lebih penting dalam konteks kemajuan.

 

Setiap peristiwa, setiap cadangan, setiap perilaku manusia boleh dijadikan sumber inspirasi.  Idea tidak semestinya bermula dari minda pakar atau para akademik.  Seorang pekerja kilang mungkin akan menyumbangkan idea yang jauh lebih berharga kerana pengalaman mereka.

 

Contohnya: pekerja kilang Toyota diminta untuk memberi idea bagaimana untuk memajukan model kereta.  Mereka akan diberi ganjaran jika idea diterima.

 

Prinsipnya: Idea merupakan penggerak tamadun manusia.  Ramai orang mempertahankan budaya lama sehingga yang baru gagal mengambil tempat. Kata orang , biar kita rugi yang lama jika yang baru lebih berharga.  Jadilah seorang yang sedia mencari idea dengan bertanya, “Apa yang boleh saya buat untuk ……”

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive