Petua mencari kerja

Jumlah kerja yang terhad dan pilihan yang tidak sebati dengan jita rasa seseorang  menyebabkan adanya individu yang masih mengadu “tiada kerja”. Sebaliknya, kita mungkin berjumpa dengan kerja yang kita minati tetapi gagal mendapat tawaran peluang kerja dari syarikat.

Kita mungkin mengeluh, mengapalah saya tidak dapat kerja yang dihendaki, sedangkan kawan-kawan lain sudah berjaya menemui kerja masing-masing.  Berikut ini membentangkan beberapa kualiti yang dihendakli oleh sesebuah syarikat sebelum mereka mempertimbangkan permohonan anda.

 

Pertama : Menunjukkan minat anda

Kerja yang anda minati diibaratkan sebagai hobi.  Jika anda minat sesuatu, anda tidak akan rasa tertekan untuk melakukannya. Sebaliknya, anda akan terus mencari jalan untuk memajukan diri anda dalam aspek kerja berkenaan.  Contohnya,  jika anda minat memasak, pilihlah kerja yang bersangkutan dengan masakan. Majikan sering memilih individu yang berminat dengan kerja yang ditawarkan.  Ini kerana pekerja sedemikian sanggup bertugas biarpun gaji bulanan tidak begitu lumayan.  Seseorang  yang mempunyai kemahuan untuk merebut sesuatu peluang kerja akan sanggup memberi komitmen bahawa dirinya betul-betul ikhlas dengan permohonan tersebut.  Sebaliknya, individu yang tidak minat dengan sesuatu kerja menonjolkan air muka yang muram dan tidak bersemangat.  Sering kali, reaksi kita waktu temujanji akan menentukan samada diri kita dipilih atau tidak.

 

Kedua : Mempunyai keyakinan untuk menangani semua tugasan kerja

Seseorang  yang sanggup menyahut semua cabaran kerja dan berjanji untuk menjalankan semua tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh akan sering ditawarkan kerja berbanding dengan individu yang meragui keupayaan untuk melaksanakan tugasan waktu temujanji.  Bila ditanya, “bolehkan anda menjalankan tugasan ini?” Individu yang berkeyakinan tinggi akan menjawab, “Saya pasti boleh.  Jika ada sebarang kemuskilan, saya akan menanya dan saya sanggup belajar sehingga pandai.”  Sebaliknya, individu yang kurang keyakinan akan menjawab “Belum pasti boleh atau tidak , nampaknya kerja ini amat sukar sekali.”  Majikan sering memberi peluang kerja  kepada individu yang mempunyai keyakinan tinggi.  Keyakinan tidak menggambarkan keupayaan atau kredibiliti seseorang , tetapi ia menggambarkan semangat seseorang  untuk meneroka kerja yang mencabar.

 

Ketiga : Sanggup berhadapan dengan semua kemungkinan

Setiap peluang kerjaya mempunyai kekurangannya yang tersendiri.  Tidak ada kerja yang dikatakan sempurna.  Anda mungkin perlu bergelut dengan suasana kerja yang kurang selesa, asrama yang bising dan panas , sikap rakan seperjuangan yang berbagai perangai dan rungutan atau teguran dari atasan.  Jika majikan bertanya, “Adakah anda sanggup bekerja dalam situasi yang menyukarkan”, mereka hanya mahu mengetahui samada anda seorang yang mempunyai daya tahan yang tinggi.  Individu yang kurang daya tahan akan menjadikan setiap masalah atau kekurangan sebagai suatu alasan untuk berhenti kerja.  Majikan lebih berminat dengan individu yang sanggup menyahut tanggungjawab kerja tanpa mempersoalkan keselesaan dan kepentingan diri.  Yang penting, anda menyiapkan kerja yang ditugaskan serta mengikut arahan majikan dengan sebaik-baiknya. Contohnya,  seseorang  yang sanggup mengorbankan masa hujung minggu untuk menghadiri mesyuarat syarikat akan lebih diberi keutamaan melayakkan anda dengan kerja tersebut.

 

Keempat : mengungkitkan kehebatan diri

Seseorang  yang dapat menghiaskan riwayat hidupnya dengan kejayaan dan kecemerlangan akan lebih kerap mendapat peluang kerja yang baik.  Janganlah segan untuk membicarakan kehebatan diri anda waktu temujanji. Elakkan dari menonjolkan sikap dan keperibadian yang negatif.  Jangan ceritakan sesuatu yang menggambarkan sikap negatif diri sendiri.  Contohnya,  jangan katakan “Saya tidak puas hati dengan majikan saya sebelum ini.” Sebaliknya , ceritakan sesuatu yang menggambarkan ktrampilan anda.  Contohnya,  Bagaimana anda menolong syarikat anda menyelesaikan sesuatu masalah yang rumit.  Bagaimana anda menurunkan kos operasi syarikat dan menjimatkan wang beribu-ribu ringgit.  Semua pengalaman kerja yang positif akan membolehkan majikan anda menilai permohonan anda dengan lebih baik.

 

Kelima : Mempunyai niat untuk maju

Majikan lebih berminat dengan orang yang mempunyai cita-cita dan sedia membina masa depan diri dengan menyahut kerja yang mencabar.  Orang yang berjiwa besar adalah individu yang mengubah nasib hidupnya dengan meneroka peluang kerja yang lebih tinggi.  Mereka tidak mahu jaminan gaji yang lumayan , tetapi mereka mahukan kerja yang membawa prospek masa depan yang cerah.  Masa temujanji, jangan terlalu menuntut hak dan kepentingan diri. Sebaliknya, bertanya “Apakah lagi yang perlu saya lengkapkan untuk membolehkan diri saya menjalankan tugasan dengan lebih berkesan.”  Beritahu majikan bahawa diri anda akan dapat menguasai semua aspek tugasan dengan sempurna. Anda juga boleh buktikan bahawa prestasi kerja merupakan jawapan yang paling baik menggambarkan kredibiliti dan kesungguhan anda.  Masa akan menentukan kualiti diri anda.  Majikan lebih menghormati individu yang dapat membuktikan sesuatu sebelum meminta layanan serta ganjaran yang lebih tinggi.  Jika peluang kerjaya anda menawarkan sistem kenaikan pangkat , anda boleh nyatakan hajat anda untuk menaiki tangga tertinggi dalam hiraki tersebut.  Jika jiwa anda berkobar-kobar untuk maju, pihak majikan juga bersemangat untuk mengambil anda.  Ini kerana mereka mahukan seseorang  yang dapat memajukan perniagaan mereka.

 

Keenam : Jiwa berpasukan

Majikan tidak berminat dengan individu yang cepat marah dan cenderung menimbulkan masalah dengan kaki tangan lain.  Penting sekali, tunjukkan jiwa penyabar anda. Jangan mudah merajuk bila anda diajukan sesuatu pertanyaan yang bercanggahan nilai diri anda.  Selalunya, pihak majikan akan sengaja menguji quota emosi (Emotional quotion) anda dengan memberi beberapa kenyataan yang menyakitkan atau mengecewakan anda.  Seseorang  yang cekap dalam aspek perhubungan manusia akan dapat menangani cabaran dan tekanan dari rakan seperjuangan dengan baik.  Sebaliknya, individu yang negatif akan menjadi mangsa pada perselisihan manusia.  Mereka perlukan kesabaran dan bertimbang rasa. Majikan tidak begitu berminat dengan individu sedemikian biarpun dirinya mempunyai tahap kredibiliti teknikal yang tinggi.

 

Kesimpulan

Anda perlu melengkapkan diri dengan kualiti diri yang tinggi demi merebut peluang kerjaya dalam dunia yang penuh dengan persaingan.  Mudah-mudahan , pendekatan yang dibentangkan dalam ruangan ini akan dapat menolong anda mendapatkan peluang kerja yang anda minati.  Saringan majikan pada individu yang mempunyai kepakaran dan kelayakan yang sama adalah berdasarkan pada sikap dan keperibadian.  Dengan erti kata lain, keenam-enam aspek di atas adalah landasan kejayaan seseorang  untuk seseorang  mendapat peluang kerja.  Penganggur bukan semestinya orang yang tidak ada kemahiran, tetapi mungkin dikategori dalam kumpulan orang yang lemah keperibadiannya.

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive