Merintis Kehidupan Yang Penuh Tekanan

Jika suatu yang tidak kena telah melanda hidup anda; hutang keliling pinggang, keluarga berpecah belah atau kesihatan yang semakin kritikal.  Kita hendaklah mula mencari jalan penyelesaian. Kita tidak boleh relakan tekanan terus menghantui hidup kita buat selama-lamanya.

 

Fikirkan kehidupan yang anda hendakkan. Apakah taraf hidup yang anda inginkan. Sentiasa mengukir harapan ini kerana ia akan menjadi penggerak untuk membina usaha yang lebih gigih. Jika kita terus dianiayi dengan pemikiran hidup susah; risau dengan hutang, marah dengan kesilapan lalu… akhirnya kita telah kehilangan impian hidup. Ini kerana minda kita terus menjadi mangsa pada pemikiran negatif sendiri.

 

Berikut ini disenaraikan beberapa pendekatan yang boleh melepaskan diri anda dari tekanan hidup.

Pertama : Rancang sesuatu yang baru

Mula melakukan sesuatu yang tidak pernah anda lakukan sebelum ini. Rancangan baru ini akan membina denai baru hidup anda. Tidak lama kemudian, misi baru ini akan mengambil alih masalah yang anda hadapi sekarang. Tapi , jika anda teruskan dengan apa yang anda lakukan, kemungkinan perubahan hidup tidak menjadi nyata.

 

Kedua: Mengenal potensi yang terpendam

Gunakan masa lapang meneroka gedung ilmu. Anda boleh belajar dari orang yang telah berjaya, atau membaca buku yang berkaitan dengan bidang kemahiran yang anda inginkan. Ikut kursus atau kelas akan mendedahkan anda berbagai seni hidup yang bakal mengubah nasib hidup sendiri.

 

Ketiga : Mencari kecemerlangan dan kejayaan

Perasaan puas dan berjaya akan memadamkan semua tekanan dan kesakitan. Jika anda berjaya mendapat perasaan ini, anda akan mula merasa kesusahan lalu adalah landasan keriangan hari ini. Bak kata pepatah, bersusah dahulu , bersenang kemudian. Sebaliknya, jika hidup kita tanpa kejayaan, kita akan terus dihantuk dengan kesilapan dan kegagalan yang mendukacitakan.

 

Keempat: Merapatkan diri dengan orang yang positif

Bagaimana persepsi teman anda terhadap masalah anda akan menentukan perasaan anda. Jika rakan anda seorang yang positif, meraka akan memberi dorongan dan nasihat yang membina. Dekatkan diri anda dengan orang yang positif agar anda dapat melihat harapan baru.

 

Kelima: Pelbagaikan aktiviti hidup

Jangan hadkan aktiviti hidup anda. Libatkan diri dalam berbagai bidang rekreasi dan cabaran untuk menghidupkan semula nilai hidup seorang yang seimbang.

 

Kesimpulan. Jadikanlah hidup anda bebas dari tekanan. Lakukan sesuatu sekarang. Jangan harap hidup akan berubah tanpa usaha dan kegigihan.

 

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive