Mentaliti orang yang berjaya

Ramai individu yang memanjat tangga kerjaya yang tinggi adalah terdiri dari orang yang berdaya maju.  Kajian psikologi telah mendapati mereka ini mempunyai kualiti minda yang amat berbeza dari individu yang masih mundur dan hidup dalam kesusahan.

Sejauh manakah kita dapat alihkan minda ke tahap orang berjaya akan menentukan sejauh manakah kita dapat menikmati kekayaan dan kenaikan pangkat.  Tidak kira kita makan gaji atau berniaga sendiri , sikap kejayaan berikut amatlah penting dalam hidup seseorang.

 

Pertama : Bekerja untuk diri sendiri

Setiap kali anda menjalankan sesuatu kewajipan atau tanggung jawab, fikirkanlah bahawa anda sedang bekerja untuk diri sendiri.  Anda bukannya bekerja untuk majikan atau untuk negara sahaja, anda membina masa depan anda.  Kualiti kerja menggambarkan kualiti orang yang melakukannya.  Semakin tingginya kualiti kerja anda , semakin mudah anda memanjat tangga hidup.  Jangan tanya apa yang dapat anda terima sebagai  ganjaran dari usaha anda , tetapi fikirkan segala kebaikan yang lebih tinggi nilainya suatu hari nanti.  Dengan ini, kita akan buat sehabis baik biar pun mungkin kita berhadapan berbagai cabaran yang kurang menyenangkan.

 

Ke dua : Terima kerja sebagai hobi anda

Jika anda rasa tertekan dengan apa yang anda lakukan sekarang , ubahan kerja anda atau hiaskan kerja anda dengan sesuatu makna. Tidak ada orang yang maju dan berjaya melayan kerja sebagai suatu yang negatif.  Jika kita lebih suka cuti daripada kerja, ini jelas menunjukkan kita tidak memandang tinggi terhadap apa yang kita buat.  Bila seseorang hanya kerja kerana mahu kerja, dirinya tidak akan dapat meneroka peluang yang lebih tinggi dalam hidup.  Dalam keadaan ini, seseorang akan terus hidup dalam kebiasaan dan kerja dalam keadaan yang sederhana sahaja.

 

Ke tiga : Jadikan hidup sebagai suatu pertandingan

Anda bersaing dengan diri sendiri.  Anda cuba meningkatkan tahap prestasi tahun ini berbanding dengan apa yang telah dikecapi pada tahun lalu.  Anda akan terus mencari ilmu dan kemahiran untuk membolehkan anda membina impian yang lebih mencabar. Jika kita tidak mempunyai jiwa bertanding dalam hidup, kita akan terus lena dengan apa yang telah dicapai sekarang.  Jika seseorang merasai hidupnya sudah cukup baik, maka dirinya tidak akan berjuang.  Begitu juga bila seseorang merasa hidupnya sudah maju, dirinya sedang berhadapan dengan keruntuhan.  Janganlah kita fikir cukup, janganlah kita fikir OK. Anda boleh buat lebih baik dari apa yang anda kecapi selama ini.  Teruskan persaingan hidup dan terus bertanding dengan diri sendiri.

 

Ke empat : Jadikan disiplin suatu peraturan hidup

Seseorang yang mempunyai disiplin tinggi tidak akan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan prinsip dan pendirian diri.  Individu seperti ini mudah berjaya kerana mereka tidak akan menjadi mangsa kepada individu negatif yang cuba membawa keruntuhan dalam hidup. Jika kita tidak berhati-hati, kita akan menjadi mangsa pada individu yang bermasalah.  Bentukkan suatu sistem hidup yang tertib dan berpandukan nilai kejayaan sejagat.

Disiplin adalah nilai hidup yang paling tinggi dalam erti kata kejayaan seseorang.  Tanpa disiplin, kita akan mudah terpesong dan sesat. Sejauh manakah mulia seseorang banyak bergantung kepada disiplin dirinya.  Tidak ada manusia yang dikatakan sempurna, kita mungkin terdorong untuk melakukan sesuatu yang negatif.  Hanyalah disiplin dapat mengawal tindakan seseorang. Kata pepatah,  disiplin seseorang adalah apa yang anda laku bila tiada orang memerhatikan anda.”

 

Ke lima : Mempunyai wawasan hidup

Setiap orang yang berjaya mempunyai harapan untuk maju dan berjaya.  Mereka tahu dan pasti, hidup tahun depan pasti lebih baik dari sekarang.  Ini kerana mereka sedang menjalankan Pelan Tindakan yang bakal mendekatkan dirinya dengan kejayaan.  Setiap apa yang berlaku dalam hidup akan berlalu dan perkara yang baru akan mendatang.  Kata pepatah,  sesuatu yang paling ajal tidak akan lama bersama anda jika diri anda mempunyai misi dalam hidup.

 

Kesimpulan

Untuk berjaya , kita hendaklah mempunyai kualiti orang berjaya.  Ruangan ini menampilkan beberapa sifat pemikiran orang berjaya.  Tanya diri sendiri , adakah diri mahu maju. Seterusnya, tanya diri anda , adakah anda rasa fakta yang disampaikan dalam ruangan ini dapat membantu kejayaan anda? Jika ya, tanya diri anda soalan yang ke tiga , adakah anda sudi melaksanakan ilmu kejayaan yang diterangkan dalam ruangan ini.  Jika semua jawapan anda adalah ya, syabas saya ucapkan.  Saya pasti, anda akan berjaya dan anda pasti akan memiliki hidup yang mewah kelak.

 

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive

Author: Dr.Yew

Dr.Yew is a professional speaker.