Mengapa saya tidak boleh BERJAYA

Mungkin anda telah cuba sehabis baik dalam usaha mencapai hasrat dan cita-cita anda.  Tetapi anda masih boleh dapat mencapai matlamat anda.  Dalam saat ini, anda mungkin merasa penat dan lemah.  Anda rasa keyakinan diri mula turun dan anda memandang rendah pada keupayaan diri untuk mencapai matlamat tersebut. Apakah yang harus anda buat dalam saat seperti ini.  Adakah anda mahu teruskan atau berpindah matlamat ke bidang lain?  Seribu satu pertanyaan akan muncul dan mencabar emosi dan pemikiran anda.  Ruangan ini menampilkan beberapa strategi waktu anda berhadapan dengan ujian kegagalan.  Semoga ia menjadi pendokong semangat untuk terus membuktikan kehebatan dan keunggulan anda.

 

Pendekatan pertama : Fahami kedudukan anda

Anda mungkin bertanya, mengapa orang lain boleh sedangkan saya lebih rajin dari mereka masih belum mencapainya. Keadaan ini menunjukkan anda mempunyai beberapa kekurangan yang perlu diatasi. Anda masih boleh dapat menghidupkan kualiti yang dimiliki oleh orang lain.  sekadar rajin dan tahan susah bukannya pengukur mutlak kejayaan manusia.

Analisiskan cara anda bergaul, cara anda menjalankan tugasan tersebut, cara anda berhadapan dengan masalah dan tekanan.  Bandingkan dengan golongan yang telah berjaya. Apakah bezanya? Bolehkan anda juga menghidupkan keperibadian dan cara mereka melakukan sesuatu?

Aturkan fasa peralihan sikap dan cara kerja secara berperingkat.  Berikan peluang untuk diri anda menyertai kursus atau latihan yang sejajar dengan keperluan kerjaya anda.

 

Pendekatan kedua : Elakkan percakapan negatif

Saat  kita gagal dan kecewa , percakapan menjadi pasif dan negatif.  Saat ini, anda hendaklah berhati-hati.  Setiap apa yang anda perkatakan akan mempengaruhi emosi anda.  Sebenarnya, bukan anda tidak boleh.  Hanya masanya belum sampai.  Bukan anda gagal , ia hanya mengusi kesungguhan anda.  Bukan anda lemah, ia bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan keupayaan anda.

Terimalah kegagalan sebagai suatu alasan untuk majukan dan bina diri sendiri.  Semakin banyak kali anda gagal, semakin kuat azm anda untuk buktikan diri anda boleh.  Sebaliknya, jika diri anda memperkatakan sesuatu yang negatif , semangat untuk terus mencuba akan terpendam dan anda akan dikuburkan bersama kegagalan anda.  Kata pepatah, kegagalan hanya menjadi pasti bila anda mengaku kalah dan anda mengundurkan diri.

 

Pendekatan ketiga : Mencipta saluran baru

Ramai individu yang gagal menemui harapan mereka dalam aspek yang tidak berkait dengan perjuangan asal.  Mereka menemui bakat dan potensi yang selama ini bukan hak milik mereka.  Ini kerana kegagalan telah membuka jalan untuk mereka mengenal sesuatu bidang baru yang akhirnya menjadi suatu keunikan dirinya.  Tanyakan diri, “apakah peluang yang tersirat disebalik kegagalan saya?” Ingatlah, setiap kejadian tidak berlaku untuk tujuan yang negatif sahaja.  Setiap kejadian juga membawa unsur positif yang tersirat.  Tidak ada kejadian dunia yang sebegitu kejam sehingga ia tidak mendedahkan jalan yang lebih baik . Tetapi, jika anda tidak berusaha mengenal saluran baru tersebut , anda tidak akan mengenalnya.

Peluang bukannya sesuatu yang dapat melayang datang.  Ia perlu diterokai, dicari dan dibina.  Berikan peluang untuk diri anda mencari dan membina kebaikan tersebut.  Bila anda mengenalnya, anda boleh melakukan modifikasi impian bersesuaian dengan harapan baru anda.

 

Pendekatan keempat : Terus mencuba

Biarpun gagal berkali-kali, anda masih teruskan azam untuk berjaya.  Usaha sedemikian nampaknya bodoh dalam persepsi orang tertentu.  Tetapi , bagi mereka yang mengenal makna kejayaan , usaha ini adalah suatu yang mulia dan membanggakan.   Semua orang yang berjaya mempunyai api yang berkobar-kobar dalam hati dan mahu melakukan sesuatu secara kegila-gilaan (Passion).  Mereka tidak menjadikan kegagalan sebagai alasan untuk berhenti.  Sebaliknya, mereka berfikir waktu gagal.  Bagaimana caranya mereka dapat melepaskan diri dari terus gagal dan apakah cara baru yang boleh membawa mereka mencapai matlamat yang dihasratkan.

Usaha ini melibatkan pemikiran secara kreatif dan memerlukan kekuatan dalaman yang tinggi.  Mereka yang lemah pasti sudah mengalah.  Ini kerana mereka rasa tidak wajar untuk terus membuang masa dan duit pada sesuatu yang mereka tidak dapat lakukan.  Oleh kerana mereka lebih pandai mengira secara lojik, mereka gagal mengenal potensi yang terlantar di sebalik usaha mereka yang telah gagal.

 

 

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive

Author: Dr.Yew

Dr.Yew is a professional speaker.