Mengapa saya sering diperkatakan orang lain

Hidup dalam dunia fitnah dan hasutan orang lain adalah suatu pengalaman yang amat pahit dan menyakitkan.  Tidak ada sesiapa yang suka dikutuk dan dihina oleh orang lain.  Ramai individu yang berjaya dalam berbagai aspek kehidupan masih menjadi mangsa kecaman orang lain.  Mungkin kita bertanya-tanya, mengapakah orang lain buta dengan kecemerlangan dan sumbangan saya. Mengapa mereka tidak menghargai kehadiran saya sedangkan saya telah banyak menolong mereka.

Hakikatnya, kita tidak boleh memaksa semua orang suka kepada anda.  Setiap orang mempunyai pendirian dan nilai diri yang berbeza.  Yang penting anda tahu, diri anda tidak berhutang dan bersalah.  Selagi jiwa anda luhur dan ikhlas, anda tetap akan merasa bangga dengan apa yang telah anda lakukan biarpun tidak mendapat sambutan yang menyeluruh dari semua pihak.

 

Orang yang bermotivasi tinggi tidak akan mudah luntur semangat hanya kerana diperkatakan oleh orang lain. Jika mereka gagal dalam suatu pertandingan , mereka anggap dirinya telah berjaya kerana berani menampilkan diri untuk menyertai pertandingan tersebut.  Mereka tahu, kegagalan adalah suatu rempah kejayaan.  Dirinya menghargai kecaman orang lain kerana ini akan menurunkan ego dan kebongkakan diri.  Di samping itu,  percakapan orang lain yang pedih dan pedas akan menyemarakkan semangatnnay untuk membuktikan keunggulan diri pada masa depan.

 

Apakah reaksi kita terhadap teguran dan kritikan orang lain adalah penting.  Jika kita bersikap proaktif, kritikan menjadi suatu yang membina.  Kita sedia menilai setiap kekurangan diri dan membasmikan racun diri.  Sebaliknya,  jika kita bersikap reaktif, kita akan cenderung melawan dan membidas setiap kecaman dengan alasan yang tersendiri.

 

Berikut ini membentangkan beberapa kriteria yang penting untuk membantu seseorang bersikap proaktif waktu berhadapan dengan teguran dan kritikan yang pedas.

 

Kriteria pertama : Meneroka kebenaran yang terselit di sebalik teguran orang lain

Sebelum kita mempertahankan pendirian diri , cuba anda katakan dengan diri sendiri , “Mungkin apa yang diperkatakan orang lain juga mempunyai kebenaran di sebaliknya.” Ini anda membantu anda menilai diri sendiri serta mencari tahap kebenaran yang anda junjung selama ini.  Dunia ini tidak membekalkan kita kebenaran yang mutlak.  Setiap kejadian perlulah betul mengikut masa dan tempat.  Sesuatu yang dikatakan benar di sesuatu tempat tidak semestinya diaplikasikan dalam keadaan lain.  contohnya,  bercakap bohong adalah bertentangan dengan kebenaran , tetapi jika seseorang menggunakan penipuan untuk menyelamatkan nyawa dirinya atau orang lain , bohong dikenal sebagai suatu yang halal.  Yang penting , kita tahu menilai berat atau ringannya sesuatu perbuatan dengan kewarasan fikiran.

 

Kriteria kedua : Orang lain mengambil berat dengan anda

Biarpun betapa pedas sekali pun teguran yang anda terima, ia menunjukkan orang lain mengambil berat dengan sikap dan perbuatan anda.  Jika mereka berdiam diri dan tidak mengendahkan apa yang anda lakukan , kemungkinan diri kita akan terus terjebak dalam masalah yang sama.  Setiap kali anda mendengar setiap teguran atau kritikan , berterima kasihlah dengan orang yang terlibat.  Katakakan dengan diri sendiri , saya sangat terhutang budi dengan semangatnya untuk membantu saya memajukan diri saya.  Tanpanya, saya mungkin akan memandang ringan terhadap apa yang telah terjadi.

 

Kriteria ketiga : Saya seorang yang penting dan berpengaruh

Bila anda melakukan sesuatu dan mendapat bantahan dari orang lain , ini menunjukkan diri anda seorang yang berpengaruh dan penting kepada organisasi tersebut.  Jika perbuatan yang sama dilakukan oleh seorang budah kecil atau seorang yang gila , mereka tidak akan mengambil hal tentangnya.  Ini kerana budak kecil dan orang gila tidak memainkan apa-apa peranan dalam hidup mereka. Katakan dengan diri sendiri, syukurlah,  nampaknya mereka bergantung menjunjung kehadiran saya.  Apa yang saya katakan dan buat telah mendapat reaksi yang begitu hangat sekali.  Bila anda mula merasai kepentingan diri, anda mula meningkatkan harga diri dan menjunjung kemuliaan diri biarpun dikecam teruk orang lain.

 

Kriteria keempat : Saya masih seorang yang bermaruah dan berguna

Kecaman luar bagaikan hujan.  Selagi badan masih sihat, diri anda tidak nenurunkan kualiti diri sebagai seorang yang mulia dan terpuji.  Dalam aspek ini, kita menjadikan kebaikan dan kejayaan lalu sebagai suatu payung.  Semakin banyak anda menghayati dan menjunjung kejayaan anda , semakin anda tidak terluka oleh kecaman luar.  Anda tahu kesilapan diri adalah lumrah hidup.  Orang lain tidak memaafkan anda tetapi anda memaafkan diri sendiri.  Anda juga tahu, peratus kebaikan yang anda lakukan dan sumbangkan adalah jauh lebih besar dari kesilapan anda.  Jika diri anda dapat memikul semua kecaman dan masih terus menyumbang kebaikan untuk dunia ini, suatu hari Tuhan pasti akan memberikan ganjaran yang paling lumayan untuk anda.

 

Kriteria kelima : Membiarkan masa membuktikan kebenaran

Bukan semua kecaman orang lain dapat diterangkan dan diselesaikan secara adil.  Pihak yang sengaja memutar-belitkan kebenaran adalah golongan yang biadap dan  tidak bertimbang-rasa.  Jika kita terus menyusahkan diri sendiri dan tertekan secara emosi atas apa yang telah menimpa dalam hidup, kita hanya merosakkan kesihatan badan dan membuangkan masa sahaja.  Serahkan pada Tuhan dan biar masa yang membuktikan siapa yang benar.   Suatu hari nanti, pasti anda akan dijunjung oleh orang lain.  Ramai orang yang agung dalam dunia berpegang pada perjuangan mereka yang berlandaskan kebaikan dan masih mendapat kecaman berbagai pihak lawan yang sengaja hendak meruntuhkan kekuasaan mereka. Akhirnya, kebenaran tetap terserlah.

 

Kesimpulan

Fitnah dan kecaman orang lain adalah suatu tonik motivasi diri untuk individu yang berdaya maju.  Yang penting , kita hidupkan kualiti proaktif dan sentiasa berpegang pada kebaikan.  Jika kita gagal mempertahankan komitmen dan tanggung-jawab kita hanya kerana sebilangan orang cuba membangkang dan melawan, kita tidak akan berjaya memperjuangkan kejayaan yang lebih raksasa kelak.

Hidup bagaikan rumput. Biarpun kita pernah dipijak hina oleh orang lain, tetapi daya hidup akan mendorong kita untuk bangun semula.  Rumput yang dipijak tidak akan mati dan mereka tetap mempertahankan hak untuk hidup dan membesar.

Tidak ada sesuatu kejayaan yang dikatakan baik secara keseluruhan.  Pasti ada aspek yang tercuai atau tidak terlaksana.  Jika diri kita mahu menjadi seorang yang penting kepada masyarakat dan berjaya dalam hidup, kita hendaklah sedia menerima teguran dan kecaman dari orang lain.

Kuasa hidup juga sejajar dengan kuasa kecaman yang anda terima.  Semakin banyak kesakitan yang anda rasai, semakin tinggilah semangat anda untuk menegakkan kebenaran.  Seperti kata pepatah, cara membals dendam yang paling mulia ialah dengan membuktikan kejayaan dan keunggulan anda.

 

_____________________________________________________________________

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive