Prinsip Kejayaan : Mengapa kita masih belum maju?

Ramai orang yang mengatakan dirinya mahu belajar Inggeris, belajar komputer, belajar memandu kereta; tetapi sampai hari ini mereka masih belum dapat bermula.  Ramai juga berkata dirinya mahu berhenti merokok, mahu mengubah sikap yang tidak baik  dan mahu meninggalkan kawan yang negatif tetapi sampai hari ini, mereka masih terjebak dalam masalah yang sama.

Sememangnya, untuk majukan diri , seseorang perlu mempunyai kualiti yang tertentu.  Tidaklah cukup hanya katakan mahu maju sahaja.  Seseorang perlu mempunyai persiapan minda dan emosi yang kuat.  Perasaan ini hendaklah jauh lebih kuat dari sebab yang menghalang kita dari melakukannya.  Kajian psikologi mendapati , setiap tindakan manusia juga membawa bersama perasaan dan emosi yang mendorong tindakan tersebut.  Dengan erti kata lain, tindakan manusia bukan hanya dikawal oleh kewarasan tetapi juga oleh emosi.

 

Ramai dari individu yang berjaya dalam hidup dapat menggunakan emosi dirinya dengan positif.  Mereka mengadunkan emosi dalam setiap rancangan dan tindakannya.  Mereka dapat maju bukan kerana mereka faham mengapa perlu maju, tetapi mereka mempunyai perasaan yang cukup kuat untuk menyokong hala tuju hidup sendiri.

 

Terdapat beberapa jenis emosi positif yang dapat membina daya kemajuan seseorang insan.  Berikut ini dibentangkan kualiti emosi individu yang berdaya maju.

 

Pertama : Perasaan kasih sayang

Perasaan ini boleh mendorong seseorang untuk bertindak.  Jika kita mahu keluarga kita bahagian , tanamkan perasaan sayang pada keluarga.  Jika tindakan anda membawa kesan pada perasaan ini, anda pasti mempunyai dorongan yang kuat untuk melakukannya.  Anda akan dapat kaitkan perasaan ini dengan tindakan anda.  Contohnya, jika anda sayang pada anak sendiri , anda tidak akan bunuh diri.  Jika anda sayang pada kesihatan ahli keluarga , anda akan henti merokok.

 

Ke dua : Perasaan benci

Perasaan ini dapat membawa seseorang melakukan sesuatu yang luar dari kemampuannya.  Ia adalah suatu kekuatan yang dapat mendorong seseorang maju dan meninggalkan corak hidup yang bermasalah. Contohnya, jika kita benci pada seseorang yang melayan anda secara tidak adil, anda akan bertindak meninggalnya.  Jika anda benci dengan kerja anda sekarang, anda akan mula mencari kerja yang lebih sesuai dengan cita rasa anda.  Jika seseorang merasa merasa benci dengan corak hidup yang miskin , kita akan buat sesuatu untuk memajukan taraf hidup keluarga. Sejauh manakah kuatnya perasaan benci ini akan juga menentukan paras tindakan anda.  Ramai orang masih teruskan apa yang mereka benci kerana tahap kebencian yang melanda hidup mereka belum cukup untuk memulakan tindakan mereka.  Maka dengan itu, mereka terus di lamun masalah dan kesakitan yang berterusan.

 

Ke tiga : Perasaan takut dan cemas

Seseorang yang merasa takut akan buat apa sahaja untuk melarikan dirinya.  Ini jelas terbukti pada individu yang lemas dan hampir mahu mati. Oleh kerana dirinya dalam keadaan yang amat bahaya , dirinya sanggup buat apa sahaja untuk menyelamatkan dirinya.  Kajian psikologi mendapati , kekuatan seseorang dalam saat cemas dan takut adalah jauh lebih besar dari daya maksimum seseorang dalam keadaan tanpa ketakutan. Contohnya, seseorang yang berlari kerana dikejar harimau adalah jauh lebih pantas dari sekadar lari berseorangan.  Jika diri kita tidak mempunyai ketakutan dalam hidup, terutamanya hidup kita dalam keadaan tenang, selesa dan serba baik; maka kita akan rasa tidak mengapa.  Kita mungkin akan rasa tidak perlu maju, tidak perlu belajar , tidak perlu bekerja kuat.  Ini juga bermakna, zon ketenangan hidup membahayakan seseorang kerana ia menjadikan seseorang lalai dan tidak bermaya. Sebaliknya, tekanan dan masalah adalah penggerak utama kemajuan seseorang manusia.

 

Kesimpulan

Jelas sekali , kemajuan adalah hasil dari tindakan seseorang.  Tahap kemajuan adalah ditentukan oleh tahap tindakan yang diambil.  Jika tindakan kita masih lembap dan tidak bermaya, semarakkan tiga bentuk perasaan yang disebut di atas dan anda akan dapati kuasa kejayaan anda adalah tidak terhad.  Anda boleh buat apa sahaja yang anda mahu. Sebaliknya , jika hajat anda tidak dihiaskan dengan perasaan ini, anda mungkin akan terus di lamun mimpi kemajuan semata-mata.

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive

Author: Dr.Yew

Dr.Yew is a professional speaker.