Membina sikap anak

Ramai ibu bapa berusaha sedaya upaya untuk memberi kehidupan yang selesa untuk anak dari aspek pemakanan, tempat tinggal dan rekreasi. Kita mungkin membelanjakan wang ribuan ringgit untuk suatu percutian sekolah dan melancong ke tempat-tempat peranginan. Kita juga mungkin membawa anak kita menjamu selera di restoran yang terkemuka. Soalnya, tidak ramai ibu bapa yang berusaha membantu anak mereka untuk membina kecemerlangan sikap serta memberi makanan minda yang positif kepada anak-anaknya.

Sejak saya memulakan misi saya sebagai seorang mentor anak, saya telah berkesempatan berbual dan berbincang dengan ibu bapa tentang masa depan anak-anaknya. Ada ibu bapa yang sendiri tidak pasti apa yang anak-anak mereka minati selain dari bermain komputer game. Bagi saya, ibu bapa telah membutakan cita-cita anak dengan memberi berbagai hiburan dan keseronokan. Anak-anak lebih suka bercerita tentang Mickey Mouse atau spiderman berbanding dengan tajuk yang lebih praktikal tentang masa depannya. Tujuan saya bukan hendak menghapuskan kesemua kepuasan dan keseronokan anak untuk berjinak-jinak dengan idola mereka, tetapi janganlah mereka terbawa-bawa oleh idola tersebut sehingga mereka tidak mampu fokuskan pada keunikan dan kehebatan diri sendiri.

Setiap kali saya bercakap dengan pelajar sekolah, saya dapati mereka mempunyai berbagai kegemaran yang belum matang. Mereka minat bermain bola sepak, mereka minat menyanyi tetapi mereka gagal melihat keupayaan diri mereka untuk merealisasikan sesuatu kegemilangan di sebalik minat mereka. Hanya segelintir pemain bola sepak bermain dengan misi untuk mewakili sekolah atau menjadi seorang pemain piala dunia. Rata-rata pelajar hanya jadikan minat mereka sebagai suatu hobi masa lapang semata-mata. Akibatnya, penglibatan mereka tidak membuahkan sesuatu kecemerlangan yang dapat mengharumkan nama mereka dan nama negara tercinta.

Adalah menjadi harapan saya sebagai seorang Mentor Anak untuk melahirkan remaja dan belia yang berwawasan. Mereka boleh nampak kejayaan yang terselindung di sebalik minat mereka biarpun dirinya hanya seorang pemain kelas tiga atau penyanyi dalam tandas. Dengan memberi bimbingan peribadi kepada anak, kita dapat menyerlah bakat yang terpendam dan seterusnya mengharumkan nama mereka di persada dunia.

 

Kesimpulan

Hidup anak yang bermatlamat akan membantu mereka membina kejayaan dan bukan sekadar menyempurnakan tugasan semata-mata. Pelajar yang bermatlamat mahu mencapai Straight A atau masuk universiti , mereka tidak belajar hanya untuk memenuhi tugas kerja rumah atau lulus peperiksaan semata-mata. Pelajar yang bermatlamat dalam bidang sukan akan mengilhamkan hajatnya untuk mewakili negara dan bukan sekadar bersukan untuk tujuan kesihatan semata-mata. Marilah sama-sama kita menyemarakkan generasi muda yang bermatlamat dan berjiwa besar.

 

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive