Masalah wang – Apakah langkah seterusnya ?

Ramai orang cuba menutup belanja secara berjimat-cermat dan elak dari hidup kemewahan saat berhadapan dengan tekanan kewangan. Biar pun cara ini tidak salah tetapi jauh lebih baik, kalau kita boleh membesarkan paip kewangan dan berusaha untuk meningkatkan pendapatan demi untuk mengatasi kemiskinan tersebut.

Terdapat beberapa sikap yang penting dalam saat kesusahan. Jika kita tidak mampu mengubah sikap terhadap keadaan yang sedang melanda diri, kemiskinan akan terus berlarutan. Ruangan ini memaparkan beberapa kualiti individu yang boleh dijadikan rujukan untuk seseorang yang sedang merana kerana wang.

 

Sikap pertama : Sudi mengakui dan terima hakikat kesusahan

Biar pun kawan anda tahu tentang keadaan anda dan mereka mungkin memperkatakan sesuatu mengenai keadaan anda, janganlah ambil hati sangat. Akui bahawa inilah kenyataan yang melanda diri anda dan hadapi dengan tabah. Ramai individu yang kaya-raya sekarang juga pernah suatu ketika dahulu gagal dalam perniagaan dan berhadapan dengan tekanan kewangan dalam hidup. Hadapi dunia dengan menerima segala respon dan sikap orang lain terhadap anda.  Tidak ada apa-apa yang perlu anda rasa malu atau hina, ia hanyalah suatu ujian untuk anda bangun semula dengan kekuatan baru.

 

Sikap ke dua : Buat sesuatu untuk menyelamatkan keadaan

Anda mungkin perlu melakukan sesuatu yang anda tidak minat tetapi halal demi untuk kelangsungan hidup diri dan keluarga tersayang. Anda jug amu perlu berjumpa dengan orang tertentu yang anda tidak suka hanya untuk mengatasi masalah anda. Tabahkan diri dan hadapi dugaan ini dengan niat untuk terus hidup. Jangan sampai kemewahan sebelum ini menjadi penghalang untuk anda mencari rezeki di tepi jalan secara membuka gerai. Yang penting , dalam hati anda perlu ada harapan untuk terus maju dan semua liku-liku ini hanyalah sementara sahaja.

 

Sikap ke tiga : Mencari kemahiran baru

Gunakan masa tiada kerja atau miskin untuk mencari ilmu baru yang boleh menjana pendapatan masa depan. Biar pun diri anda perlu membayar sejumlah wang untuk belajar ilmu tersebut ,  fikirkan ganjaran yang lebih besar bakal akan datang ke dalam hidup anda. Bila diri anda mempunyai kualiti yang lebih baik dan peluang yang bertaraf tinggi akan menjelma dalam hidup anda.

 

Sikap ke empat : Cara anda melayan orang lain

Sikap seseorang boleh merupakan suatu penghalang pada kekayaan dan kejayaan.  Bila diri dihimpit dalam kesusahan, fikirkan mengapa tiada orang mahu tolong anda? Adakah anda mempunyai perangai atau tabiat tertentu yang kurang baik dan menimbulkan perasaan tidak senang pada orang lain? Jika ada, renungkan dengan mendalam dan perbaiki diri secara ikhlas.  Hakiskan sikap tinggi hidung, sikap memperli dan merosakkan emosi orang lain untuk keriangan sendiri.  Bila anda sudah mempunyai keperibadian yang baik, kekayaan juga akan menyusuli anda.

 

Sikap ke lima : Bentukkan sikap positif

Bila kita dalam kesusahan, kita sering dibutakan dengan minda negatif.  Kita melihat sesuatu dengan mengandaikan dunia tidak adil, orang lain tidak prihatin, peluang tidak berpihak pada anda. Lihat setiap satu perkara dan fikirkan”Mungkin ini adalah peluang untuk saya.”  Jangan fikirkan tidak boleh, jangan fikirkan susah atau nanti. Bentukkan hajat untuk bertindak dan menjadi seorang yang lebih agresif.  Anda akan dapati sikap seperti ini adalah tunjang pada nasib hidup seseorang. Kata pepatah,  mutu dan kualiti hidup anda bermula dari pemikiran. Seseorang yang mempunyai pemikiran yang positif akan menarik peluang yang baik pada hidupnya.

 

Sikap ke enam : Sikap yang terbuka dengan risiko

Dalam usaha untuk maju, kita perlu mempunyai keupayaan untuk menangani risiko.  Tidak semua pelaburan dan usaha kita akan membuahkan hasil yang kita mahu tetapi kegagalan kerana takut untuk bertindak akan memberi risiko yang lebih tinggi dalam hidup. Bila kita bermasalah , kita perlu mempunyai keyakinan yang lebih tinggi berbanding dengan orang yang tidak bermasalah. Kita perlu berani melangkah dalam medan perang dan bergelut dengan berbagai pancaroba yang cuba menumpas kita. Mulakan perniagaan merupakan suatu tindakan yang juga membawa risiko. Kemungkinan anda tidak ada pelanggan yang mencukupi untuk menentu belanjawan bulanan , kemungkinan perniagaan akan jatuh , kemungkinan saingan dalam perniagaan memberi tekanan pada anda.  Untuk berjaya , kita perlu tangani risiko dengan bijak dan bukan melarikan diri darinya.

 

Kesimpulan

Masalah wang adalah suatu nikmat kepada individu yang berjaya mengatasinya kerana kepuasan bahawa dirinya dapat mengubah nasib diri dengan usaha dan kegigihan.  Tetapi kepada individu yang pasif dan negatif, masalah wang akan terus mengancam perasaan dan hidupnya sehingga mereka merasa takut, risau dan malu. Sikap anda terhadap kemiskinan menentukan sejauh manakah anda menang dalam hidup anda sendiri.

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive