Kerja makan gaji atau berniaga sendiri

Setiap lepasan universiti yang bercita-cita besar cenderung mendirikan perniagaan sendiri. Ada yang berjaya dan ada juga yang gagal.  Berikut ini merupakan nasihat yang diberikan kepada para graduan atau lepasan SPM demi mempersiapkan diri sebagai usahawan yang berjaya.

Pertama : Kelangsungan hidup perlu diutamakan

Jika kita gagal menampung keperluan asas hidup, bagaimana kita hendak memikirkan tentang kemajuan.  Tanggungjawab pertama graduan ialah mendapat kerja yang mampu menampung keperluan hariannya tanpa mengambil kira minat atau tidak.  Dengan erti kata lain, bekalkan diri dengan keperluan asas. Kemudian barulah anda meneroka peluang atau kejayaan lain yang secocok dengan jiwa raga anda.  Ini bukan bermakna seseorang  tidak akan dapat kerja yang mereka minati, hanya kerana adanya golongan yang membiarkan dirinya menganggur hanya kerana menolak peluang kerja yang mereka tidak minati.

 

Kedua : Kerja yang mendedahkan ilmu dan kepakaran

Kerja makan gaji akan memberi anda peluang untuk belajar sesuatu bidang yang belum anda mahir.  Jika kerja adalah senang dan seronok tetapi tidak membawa apa-apa kemajuan kepada diri anda, kerja tersebut  tidaklah mencabar.  Tetapi, jika kerja melibatkan ebrbagai aspek pengurusan dan memerlukan kepakaran yang tinggi, ia akan menggalakkan anda untuk terus mencari jawapan.  Kerja yang sebegini amatlah membina.  Biarpun gajinya kecil, anda akan dapati peningkatan kualiti diri ke tahap yang lebih tinggi.

 

Ketiga : Melengkapkan diri dengan modal dan prospeks

Kerja gaji akan memberi anda peluang membina modal perniagaan yang diperlukan untuk melabur dalam peralatan dan kelengkapan perniagaan.  Ia juga mendedahkan anda dengan prospek perniagaan yang akan kemudian menjadi pelanggan anda.  Keupayaan anda mengenal kerja yang dapat memenuhi kedua-dua keperluan tadi pasti akan membawa dirimu ke arah usahawan berjaya. Cara terbaik untuk mendirikan modal perniagaan ialah dengan melibatkan diri dalam Kejurujualan.  Anda boleh gunakan waktu malam atau hujung minggu untuk mendapatkan kewangan lebihan. Di samping itu , anda akan memerolehi pengalaman dan ilmu pemasaran yang begitu penting dalam dunia perniagaan.

 

Keempat : Kerja yang memberi masa peribadi secukupnya

Kerja yang baik membolehkan anda mempunyai masa untuk keluarga, masa untuk menghadiri kelas malam, masa untuk bersosialisasi dalam persatuan masyarakat.  Jika masa anda diikat sepenuhnya sehingga tidak mempunyai masa untuk pertumbuhan peribadi  (personal development), maka diri anda akan terus terikat dan ketiadaan peluang untuk meneroka peluang luar yang anda hajatkan.  Sebaliknya, jika anda memang mempunyai prospek kerja yang bersesuaian – mencurahkan usaha dan masa sepenuhnya dalam kerja sudah pasti akan meningkatkan peluang kenaikan pangkat.

 

Kelima : Jiwa keusahawanan

Jika kerja anda mempunyai pendedahan terhadap pengendalian dan pengurusan perniagaan, anda akan meningkatkan kredibiliti diri sebagai usahawan. Syarikat mungkin meminta anda untuk mengendalikan projek pemasaran dan menyelesaikan masalah perniagaan.  Anda berpeluang untuk menggunakan akal dan keativiti diri dalam mmbuat keputusan terhadap sesuatu yang berkaitan dengan masa depan syarikat.  Peluang kerja sedemikian akan menjadikan diri anda seorang yang matang dalam urusniaga seharian.

 

Keenam : Jangan terlalu pentingkan status diri

Kerja yang memberi peluang pembelajaran dan kemajuan diri tidak semestinya memberi status diri yang tinggi.  Contohnya,  kerja di kilang besar mempunyai pendedahan skop kerja yang lebih terhad kerana pengagihan kerja yang spesifik mengikut jabatan.  Sebaliknya kerja di kilang memberi peluang kepada anda menguasai berbagai aspek  urusniaga.  Tambahan lagi, kalau anda  ditugas sebagai pengurus syarikat , anda juga boleh merendahkan diri dan memikul kerja yang bukan bidang kuasa anda tanpa mengira status kerja tersebut. Ini akan meningkatkan kemahiran diri dalam bidang yang lebih luas.

 

Ketujuh : Libatkan diri dalam bidang Kejurujualan

Kesemua usahawan berjaya mempunyai satu ciri yang istimewa – mereka tahu bagaimana memasarkan produk atau perkhidmatannya.  Mereka juga mempunyai seni bercakap yang berkesan untuk memujuk prospek membuat  keputusan.  Dengan itu, para graduan adalah digalakkan untuk melibatkan diri dalam Kejurujualan insurans atau jualan langsung secara sambilan demi untuk menguatkan kemahiran tersebut.  Janganlah kita beranggapan – Kejurujualan hanya sesuai untuk golongan tertentu sahaja.  Sebenarnya, semua orang perlu ilmu Kejurujualan. Jangan juga kita menolak bidang Kejurujualan atas sebab tidak minat.

 

Kelapan : Elakkan politik pejabat

Tumpu perhatian pada peluang meningkatkan kepakaran dalam urusniaga dan bukan bermain politik dalam pejabat.  Persaingan naik pangkat dalam pejabat bukan menjadi haluan perjuangan seseorang  yang berniat menjadi usahawan.  Buat sesuatu berdasar pada kebenaran.  Tumpukan diri anda pada aspek yang positif dan membina.

 

Kesimpulan

Pendedahan diri pada pekerjaan  yang sesuai dengan cita-cita seseorang  merupakan asas yang penting kepada kejayaan. Biarpun anda berhajat mendirikan perniagaan sendiri, berikan peluang untuk diri menerima latihan asas di kilang atau kedai yang berkaitan akan menyediakan asas yang kukuh dalam perniagaan masa depan.

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive

Author: Dr.Yew

Dr.Yew is a professional speaker.