Kejayaan mengejar impian dan cita-cita

Suatu ketika dahulu , saya berbual dengan kawan saya tentang anaknya yang baru sahaja menerima keputusan SPM. Menurut kawan saya, anaknya dapat Straight A tetapi tidak merancang hendak melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam atau universiti.  Anaknya telah mempunyai impian yang jelas dan memegang pendiriannya dengan kuat untuk menjadi seorang juruterbang dengan mengikuti “ground school” di sebuah akademi penerbangan di Melaka. Saya memuji pendirian anaknya kerana mempunyai impian hidup biarpun usianya masih di tahap remaja.

Menurut kawan saya, anaknya telah menunjukkan kecenderungan yang tinggi terhadap kapalterbang sejak sekolah rendah lagi. Model kapalterbang yang dibeli oleh bapanya menjadi suatu mainan harian serta menghiasi tempat belajarnya. Anaknya juga suka melawat ke perpustakaan dan membaca buku-buku yang berkaitan dengan kapalterbang. Bila benih minat sedemikian telah muncul dan dikekalkan untuk sekurang-kurang tiga tahun, ibu bapa perlulah memberi sokongan moral yang kuat dan tidak mencelarukan impiannya dengan seruan yang tidak sejajar dengan minatnya.

Salah satu rahsia jutawan ialah keupayaan mereka mengenal “kerjaya hobi” yang mereka minati. Sayangnya, ada pelajar yang gagal menghidupkan citarasa sendiri dan mudah mengikut seruan orang lain sehingga dirinya membutakan “bakat” yang terpendam.  Misi saya sebagai mentor anak ialah untuk membantu mereka mencari “seruan hati” waktu mereka di zaman persekolahan dan seterusnya menjadikan seruan tersebut sebagai suatu misi seumur hidup.

Adakah anak anda sudah dapat mencari “citarasa” dan “minat” mereka? Adakah mereka masih sesat memilih jurusan Sains atau Sastera di tingkatan empat ? Adakah mereka masih memilih impian berpandukan kecemerlangan akademik semata-mata ? Semua persoalan ini perlulah dijelaskan sebelum anak kita masuk ke dunia kerja agar mereka tidak tersalah memilih kerjaya dan merana seumur hidup.

Saya ingin menyeru pada semua ibu bapa yang prihatin dengan masa depan anak untuk membantu anak anak menguasai teknik perancangan kerjaya. Proses tersebut melibatkan fasa penetapan matlamat hidup (cita-cita), fasa pengurusan matlamat dan fasa pembangunan jati diri. Tanpa ketiga-tiga fasa perancangan ini, semua cita-cita anak akan menjadi suatu harapan kosong yang tidak membawa sebarang kejayaan yang praktikal.

 

Kesimpulan

Janganlah mengharapkan anak mengikut seruan impian anda dan meminta anak mengejar impian yang tidak sejajar dengan minat dan citarasanya. Cuba fahami dan mengenal minat dan keupayaan mereka dan bantu mereka mencapai apa yang mereka hajatkan.

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive

Author: Dr.Yew

Dr.Yew is a professional speaker.