Kegagalan Yang Manis

Bila saya renung kembali hidup lalu, saya dapati diri saya telah banyak menemui kegagalan dalam hidup, itulah bekalan yang membina kualiti hidup yang saya nikmati sekarang.  Saya menghargai setiap kegagalan dan saya tahu ia adalah sumber kemajuan hidup. Tetapi, bila saya bertanya dengan orang lain tentang kegagalan, ramai yang malu mengaku dirinya juga pernah gagal, dibenci orang, bermasalah dan tersalah langkah. Kepada mereka yang memandang kegagalan sebagai suatu “tragedi” tidak akan dapat menghargai dan menyayangi kegagalan.

Saya sering diberitahu, orang tertentu telah berjaya menjadi jutawan, menjadi juara sukan, menjadi seorang menteri dan sebagainya. Apa yang kita nampak ialah kehebatan dan kejayaan, tetapi tidak ramai orang nampak kegagalan yang mereka hadapi sebelum mengecapi kejayaan tersebut.

Jika anda merenung kembali hidup anda waktu anda masih kecil, anda pernah jatuh berkali-kali sebelum anda dapat berjalan atau menunggang basikal. Kegagalan ini membawa kesakitan fizikal yang membuatkan anda lebih berhati-hati dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Ini bermaksud kegagalan adalah guru yang terbaik dalam hidup kita.

Bagi saya, berkongsi kegagalan diri dengan rakan adalah suatu kebaikan. Saya telah membantu ramai dari pelajar saya mengelakkan diri dari melakukan kesilapan yang saya lakukan.  Contohnya , saya juga pernah tergoda oleh hiburan sehingga saya lalai belajar waktu saya seorang pelajar. Saya pernah bercinta sehingga gagal dalam peperiksaan. Semua ini adalah pedoman hidup yang amat berharga.

Janganlah kita malu kalau anda sudah pernah terlanjur. Yang paling penting, adakah anda kembali ke pangkal jalan dan menemui kebenaran dan kejayaan. Jika sudah, anda pasti telah dapat mengecapi kebaikan dan kecemerlangan dalam hidup. Sebaliknya kalau kesilapan dan kegagalan masih diteruskan, ia akan mencemar maruah diri dan membawa berbagai masalah dalam hidup. Orang seperti ini mungkin akan terjebak dalam penjara dan dibenci orang lain sepanjang hayat.

Kejayaan adalah suatu bermakna tetapi tanpa kegagalan , maknanya tidak akan menyerlah dengan gemilang. Jika bukan ramai orang yang gagal mendapat Straight A , maka Straight A tidak menjadi suatu yang bermakna kerana semua orang dapat mencapainya dengan mudah.

“Setiap kali anda menceritakan orang berjaya , jangan lupa menjunjung pada kegagalan yang pernah dia lalui.” Inilah pesanan saya kepada semua insan yang ingin mengejar kejayaan.

 

Ilmu kejayaan

Menurut prinsip kejayaan , kegagalan adalah baik kalau kita dapat belajar darinya dan tidak mengulangi kesilapan yang sama.

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive