Jangan menolak peluang

Setiap kejayaan bermula dari penglibatan diri dalam sesuatu bidang. Mereka yang berjaya menjuarai sukan Olimpik bermula dari penglibatan sukan tersebut sejak usia belasan tahun. Kejayaan dalam bidang perniagaan jualan langsung juga bermula dari saat dirinya menerima undangan kawan menyertai skim urusniaga.  Kejayaan menjadi peguam adalah hasil tindakan menerima peluang pembelajaran yang ditawarkan oleh sesebuah universiti

Setiap penglibatan dalam sesuatu bidang baru sering menimbulkan keraguan pada seseorang .  Adakah bidang ini sesuai dengan saya.  Ramai yang berjaya tidak pernah menyangka bidang tersebut sebagai suatu yang “sesuai” dengan dirinya pada permulaan.  Mereka juga tidak pernah tahu diri mereka akan mengecapi kejayaan yang cemerlang dalam bidang tersebut. Hanya berdasarkan jiwa mencuba dan berani meneroka sesuatu yang baru, mereka telah dapat mencipta nama dalam aspek berkenaan.

 

Keupayaan seseorang  melibatkan diri dalam sesuatu bidang yang baru akan membolehkan mereka meluaskan skop tindakan pada aspek yang belum diketahui sebelum ini. Kemungkinan, bidang baru tersebut akan mengambil alih kerjaya lalu. Anda juga dapati, penceburan dalam aspek tersebut mungkin memberi kepuasan yang lebih tinggi dan pulangan yang lebih lumayan.  Hidup ini penuh dengan pilihan, hanya mereka yang sedia meneroka akan mengenal peluang yang lebih besar dan lebih bermakna.  Janganlah tutup diri kita dengan setiap peluang yang mendatang.  Teliti dan faham sepenuhnya sebelum anda menolak.  Pepatah berkata, ” Anda tidak akan tahu potensi muktamad diri sehingga anda berikan hak untuk diri mencuba setiap peluang yang mendatang.”

 

Belia yang baru mencebur diri dalam dunia pekerjaan perlulah mempunyai pemikiran terbuka terhadap tawaran kerja yang ada dalam pasaran.  Jenis kerja yang anda hajatkan mungkin bukan kekuatan anda.  Sebaliknya, sesuatu kerja yang anda tidak suka kemungkinan akan menjadi kegemaran anda kelak. Jangan menolak sesuatu peluang kerja hanya kerana “gaji kecil”.  Kita hendaklah melihat dari aspek kerja dari segi potensi kemajuan dan perkembangan diri. Kemungkinan besar , kerja yang tidak seberapa kini akan bertukar menjadi suatu industri yang besar kelak.

 

Dalam pemilihan kerja,  jangan harap untuk memecut terus di leburaya. Denai kecil biarpun sukar dijejaki, akan bertukar menjadi lebuhraya kelak.  Mereka yang terus berharap untuk menjawat kedudukan sebagai pengurus tanpa melalui fasa perantaraan tidak akan mengetahui makna “pengurusan” secara menyeluruh berbanding dengan seseorang  yang memanjat tangga kerjaya dari kedudukan yang rendah.  Janganlah memandang rendah terhadap peluang yang kecil, kerana ia merupakan permulaan untuk sesuatu yang lebih besar. Pepatah berkata, ” Setiap kegemilangan dunia bermula dari idea yang kecil.”  Yang lebih penting, kita tahu meneroka dan memajukan idea tersebut.

 

Orang yang berjaya melayan setiap kejadian sebagai peluang – peluang untuk mendapatkan ilmu, peluang untuk mendapat kawan dan kenalan baru, peluang untuk menjadikannya sebagai perniagaan baru dan sebagainya.  Tetapi insan yang mundur dan ketinggalan terlalu sensitif dengan peluang yang mendatang.  Mereka menapis peluang tersebut dan hanya membuka diri dengan beberapa pilihan sahaja. Ini bermakna mereka tidak bersedia untuk menyahut sesuatu yang baru dengan minda yang terbuka.

 

Terdapat berbagai jenis blok minda yang menghalang seseorang  dari mencuba peluang baru. Berikut ini disenaraikan beberapa blok peluang dalam hidup.

 

Pertama : Tidak minat.  Jika seseorang  belum pernah mencuba sesuatu bidang dan terus menolak dengan alasan “tidak minat” adalah suatu tindakan yang merugikan diri sendiri.  Berilah peluang diri untuk menilai dan memahami makna serta kepentingannya.  Pendirian anda mungkin berubah kemudian.  Sikap positif terhadap setiap peluang yang ada akan juga membolehkan anda menemui aspek sampingan yang anda minati.  Contohnya,  anda menceburkan diri sebagai seorang guru dan dapati mengajar secara rutin bukan minat anda , tetapi anda mendapati aspek kaunseling merupakan minat sebenar anda.  Anda boleh tinggalkan perguruan biasa dan menceburkan diri sepenuhnya dalam bidang kaunseling.

 

Kedua : Takut diperdayakan. Setiap peluang yang mendatang pasti berkait dengan kepentingan pihak lain.  Kegagalan memenuhi keperluan orang lain akan menyebabkan diri kita terus tertutup dalam keadaan “berseorangan”.  Peluang yang berkualiti adalah sesuatu yang bersifat urusniaga dua hala.  Setiap apa yang anda hendak dapat mesti terdahului dengan pengorbanan.  Pepatah berkata, ” Tolong orang lain mencapai ke puncak juga membolehkan anda sampai juga.”  Contohnya,  untuk membolehkan anda menjadi seorang agen insurans yang berjaya, janganlah mempersoalkan keuntungan “overiding” yang dinikmati oleh atasan anda. Sampainya masa, anda juga akan menjadi pengurus dan menikmati “overiding” bawahan anda.

 

Ketiga : Tidak mampu. Setiap peluang yang mendatang bukanlah bersifat percuma.  Kalau ia adalah percuma, peluang itu mungkin tidak akan sampai giliran anda.  Kemungkinan anda perlu membayar sesuatu untuk memulakannya.  Carilah bekalan untuk merebut peluang tersebut.  Peluang yang menguntungkan juga memerlukan pelaburan yang lebih besar.

 

Keempat : Ada pilihan yang lebih baik.  Usaha untuk terus mengejar sesuatu yang lebih baik dan gagal merebut peluang yang mendatang adalah satu faktor mengapa ramai orang terus dalam fasa mencari-cari.  Sampai usia empat lima puluh tahun, masih ada yang terus dalam keadaan hampa kerana tidak menemui apa yang dipanggil terbaik.  Pepatah berkata, ” Cara terbaik untuk menjamin masa depan anda adalah membinanya sendiri.” Peluang yang mendatang hanya sebagai suatu ketul tanah liat untuk anda mengukir apa yang anda hajatkan.

 

Kelima : Takut susah. Jika kita takut susah, tiada peluang yang akan mendatang.  Mengharapkan wang senang dengan berjudi atau mencuba nasib tidak akan menjamin masa depan seseorang .  Hanya usaha yang bertungkus-lumus akan membina peluang yang baru.  Mereka yang hendak hidup senang-lenang akan terus memendam dirinya dalam situasi yang bebas dari tekanan. Pepatah berkata, ” Jika anda takut cabaran, hidup akan terus dalam keadaan susah dan miskin.” Ini bermakna, samada kita bersusah payah membina hidup atau membiarkan hidup terus dalam kemiskinan dan kesusahan.

 

Keenam : Takut gagal. Ramai usahawan berjaya mengharungi puluhan kali kegagalan dalam perniagaan.  Mereka tidak akan mengalah, sebaliknya mereka teruskan usaha sehingga berjaya.  Dengan erti kata lain, mereka jadikan sesuatu yang dianggap bukan peluang sebagai suatu “lombong emas” bagi dirinya.  Keupayaan meneroka sesuatu yang berisiko juga bermakna diri anda membuka peluang pada bidang yang kurang persaingan.  Sesuatu yang bersifat “jaminan berjaya” tidaklah dikategorikan sebagai peluang kerana setiap orang akan melibatkan diri. Pepatah berkata, ” Kerana sukar hendak mendapat intan, nilainya amatlah tinggi.” Jika setiap orang juga dapat menggali intan dari perkarangan rumah masing-masing, intan menjadi begitu lumrah dan hilang nilai sebenarnya.

 

Ketujuh : Saya sudah “OK”.  Jika diri kita beranggapan kerjaya kini sudah cukup memuaskan dan diri kita tidak berhajat untuk memajukannya, maka diri kita akan menolak sebarang tawaran baru.  Dunia semakin maju dan berbagai ciptaan moden terus membanjiri pasaran.  Jika kita tidak menerima sesuatu yang lebih baru, urusniaga kita akan ketinggalan dan seterusnya menjadi mangsa kepada orang lain.  Teliti sahaja perkembangan dunia komputer, perisian lembut yang semakin canggih menggantikan sistem lama.  Penggunaan mail eletronik bukan sahaja menjimatkan malah memudahkan.

 

Kelapan : Nanti dulu.  Sesuatu peluang mungkin hanya datang sekali.  Jika kita terus menangguh, ia akan menjadi hak orang lain.  Janganlah mengeluh kemudian kerana peluang terlepas.  Ambil tindakan segera untuk menyahut segala peluang yang datang. Contohnya,  gadia ayu menolak ajakan jejaka tampan kerana dirinya tidak bersedia.  Bila dirinya bersedia, jejaka tersebut telah berumah tangga. Kita boleh katakan lelaki tersebut bukan jodohnya.  Hakikat menunjukkan dirinya tidak bertindak bila peluangnya sampai.

 

Kesimpulan , dunia ini penuh dengan peluang. Jika anda tidak bertindak dengan positif , anda akan terus mengeluh “tiada peluang” bila sampai usia uzur.  Janganlah kita kecewa kemudian.  Bertindaklah sekarang untuk menerima tawaran kerja dan perniagaan dari rakan anda.

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive

Author: Dr.Yew

Dr.Yew is a professional speaker.