Jangan menipu diri sendiri

Ramai orang menyatakan dirinya tidak mahu maju dan memadailah dengan apa yang mereka kecapi selama ini. Individu ini hanya menipu diri sendiri. Ramai individu memberi berbagai alasan untuk menolak tanggung jawab untuk majukan diri dan hidup keluarga.  Ruangan ini mendedahkan beberapa faktor yang menjadikan penipuan tersebut suatu yang nampaknya benar dan lojik.

 

Pertama : anggapan kononnya diri tiada masa

Tiada masa untuk berjaya adalah suatu penipuan yang paling besar.  Biar bagaimana sibuknya seseorang, kita masih dapat mengatur masa jika kita mahu. Seseorang yang begitu sibuk masih dapat mengatur masa membaca dengan mengguna waktu dalam tandas atau waktu menunggu seseorang. Banyak yang dapat kita lakukan jika kita dapat aturkan masa.  Kalau bukan minggu ini, kita dapat aturkan minggu depan, bulan depan atau masa depan.  Yang paling mengecewakan, seseorang tidak mempunyai masa buat selama-lamanya.

 

Ke dua : anggapan kononnya keduniaan tidak penting

Ada individu yang merasai hal keduniaan hanyalah sementara dan kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari wang kerana semua ini  tidak dapat kita bawa ke akhirat. Akibatnya, kita hanya lakukan sekadar cukup makan dan minum.  Kita tidak akan berusaha untuk mendapat kekayaan yang lebih besar. Tetapi , bila kesusahan menimpa, golongan inilah yang akan menyusahkan orang lain.  Mereka mungkin meminta bantuan atau mengharapkan belas kasihan orang lain.  Bila orang lain tidak dapat membantunya, mereka mungkin merajuk dan menyalahkan orang lain.

 

Ke tiga : Anggapan kononnya dirinya tidak ada kebolehan

Bila seseorang merasa dirinya tiada keupayaan untuk berjaya , maka dirinya akan terus menangguh tindakan dan tidak pernah mahu bermula.  Konsep kejayaan menghendakkan seseorang yakin dan percaya dengan impiannya sebelum kita mencari jalan.  Bukan kita mempunyai jalan baru mahu merasa yakin dengan impian anda.  Alihkan semua keraguan terhadap diri sendiri.  Fahamilah setiap orang yang berjaya juga bermula dari “kosong”.  Maksudnya , mereka juga tidak mempunyai pengalaman dan kebolehan.  Tetapi dengan melakukannya, mereka telah memperolehi pengalaman tersebut.

 

Ke empat : Anggapan kononnya kejayaan adalah bergantung kepada nasib

Jika diri anda tiada nasib, maka diri anda tidak akan dapat berjaya. Ada individu yang melawat juru telek nasib untuk mengetahui nasib mereka.  Jika mereka ditakdirkan miskin, mereka akan memilih kesusahan sebagai sebagai suatu kenyataan.  Mereka tidak akan berusaha memajukan hidup sendiri. Hapuskan semua kepercayaan karut yang menghantui hidup anda.  Jika kita masih anggap takdir sebagai faktor yang menghalang anda dari maju, maka kita akan terus miskin selama-lamanya.

 

Ke lima : Anggapan kononnya tiada orang mahu tolong anda

Sememangnya setiap orang yang berjaya mempunyai kaitan dengan orang lain.  Tidak ada seorang pun yang bersendirian di atas muka dunia ini.  Tetapi , apakah syarat yang membolehkan dirinya mendapat bantuan dari orang lain? Mengapa dirinya dapat sokongan dari orang lain ? Pasti ada rahsianya. Janganlah kita merungut mengapa orang lain tidak membantu anda. Janganlah merungut mengapa tiada orang lain mahu bekerjasama dengan anda.  Yang penting , kita tanya diri sendiri “Apakah sikap dan tindakan anda yang membawa orang lain ke dalam hidup anda ?” Sebenarnya , ramai juga individu yang berjaya tanpa mendapat bantuan dari orang lain.  Mereka membina peluang sendiri dan mencari jalan sendiri. Kata pepatah,  Setiap orang yang berjaya mempunyai hasrat dalam hidup , jika mereka tidak menemuinya, mereka akan membinanya sendiri.”

 

Ke enam : Anggapan kononnya kejayaan hak orang tertentu sahaja

Individu sebegini memberi alasan bahawa mereka sudah tidak dapat berjaya kerana usia, jantina, latar berlaku pendidikan , keturunan dan sebagainya. Apa sahaja sebab yang mereka berikan, jelas menunjukkan mereka belum sanggup mengatasi blok dalaman yang terus menjadi alasan dan penghalang kemajuan diri.  Jika kita terus menipu diri dengan anggapan ini, maka diri kita akan terus hidup dalam kesusahan. Ramai individu yang berjaya telah dapat membuktikan keunggulan dalam bidang yang mereka minati tanpa mengira usia dan jantina.

 

Kesimpulan

Kejayaan adalah hak semua orang yang sudi melepaskan diri dari semua anggapan negatif di atas.  Jika minda kita masih terikat dengan berbagai alasan yang tidak munasabah, maka diri kita akan terus hidup dalam kegagalan.  Marilah kita berazam untuk membongkar semua penipuan yang palsu dan berani berkata “saya mahu berjaya “, “saya mahu jadi kaya”, “Saya mahu jadi orang yang berpengaruh dan terkenal”.  Bila anda jujur terhadap cita-cita sendiri, maka diri anda akan berkeupayaan membenteras semua anggapan kolot yang menghalang kejayaan diri.

 

 

 

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive