Prinsip Kejayaan : Bina semangat anda

Semangat adalah suatu kekuatan jiwa raga yang mendorong seseorang terus mengejar impian hidup yang masih belum menampakkan sebarang kemungkinan.  Ia adalah suatu seruan dalaman yang mendokong perjuangan menuju kecemerlangan biarpun diri seseorang masih berada dalam lembah kemunduran.  Dengan adanya semangat, setiap kekurangan dan kelemahan tidak akan berkekalan.  Diri seseorang yang bersemangat akan terus mencari jalan demi melepaskan diri dari kesusahan dan masalah hidup.

 

Kata pepatah,  usia tidak menentukan tahap semangat anda. Diri anda boleh berusia belasan tahun, tetapi semangat jauh lebih tinggi dari mereka yang melanjut usia, begitu juga sebaliknya.  Semangat juga tidak diukur dari segi jantina. Ada wanita yang jauh lebih bersemangat dari lelaki. Jadi, apakah faktor yang menentukan tahap semangat seseorang? Kajian telah menunjukkan , semangat adalah bergantung kepada cara pemikiran dan perasaan seseorang.  Berikut ini disenaraikan lima faktor pemikiran yang boleh mengubah tahap semangat seseorang.

 

Pertama : Sejauhmanakah anda menerima diri sendiri

Orang yang bersemangat tidak mengkritik diri sendiri.  Biarpun dirinya cacat atau mempunyai kelemahan mental ; dirinya masih dapat membina menguasai kekuatan yang masih dimilikinya.  Ini bermaksud dirinya dapat hidup sejajar dengan kemampuan dirinya dan masih berhajat untuk mengejar kecemerlangan dalam aspek yang mereka mampu.  Mereka tahu, mengkritik dan menghina diri sendiri tidak membawa sebarang kebaikan; sebaliknya hanya meruntuhkan semangat diri sendiri.  Walaupun mereka tidak sebaik orang lain , mereka masih terima kenyataan bahawa mereka mempunyai banyak keistimewaan yang orang lain tidak ada.  Dengan itu, mereka tidak pernah meminta simpati orang lain.  Mereka tidak pernah berkata . “kenapa nasib saya begini?” “Kenapa tiada orang lain mahu tolong saya”

 

Ke dua : Sejauh manakah anda mahu berubah?

Ada individu yang hanya terdorong untuk berubah bila dirinya terjebak dalam tragedi atau kemalangan.  Ada juga yang berazam untuk berubah bila dirinya dihina dan dipulaukan orang lain.  Semua ini adalah hajat yang datang dari kesedaran bahawa dirinya masih belum cukup baik dan perlu melakukan sesuatu untuk memajukan diri.  Tetapi , jarang sekali seseorang terdorong untuk berubah bila dirinya dalam keadaan baik dan selesa.  Demikian juga dengan orang yang sihat yang kurang  mengambil berat tentang pemakanan dan senaman; bila kesihatannya bagaikan telur di hujung tanduk, barulah sibuk mengatur strategi untuk memulihkan kesihatannya.  Seseorang yang mempunyai kesedaran yang tinggi tidak perlukan tragedi atau kesakitan untuk menyentak dirinya dari lamunan mimpi kemunduran.  Mereka dengan sendirinya mahu berubah.

 

Ke tiga : Sejauh manakah anda sedar tentang tanggung jawab hidup

Individu yang bersemangat tinggi mempunyai niat untuk menjalankan tanggung jawab hidup dengan baik.  Mereka rasa bersalah jika dirinya gagal menyempurnakan tanggung jawab tersebut. Sebaliknya , dirinya merasa gembira dan puas jika dirinya dapat menyiapkan semua tanggung jawab yang telah dimandatkan.  Perasaan sedemikian adalah hasil dari niat untuk menyumbangkan sesuatu kepada organisasi atau negara.  Dirinya memahami konsep “bakti dan hasil”.  Untuk mendapat suatu kebaikan, kita hendaklah belajar menyumbang bakti.  Individu yang bermotivasi percaya, dirinya hanya layak dengan sesuatu nikmat kalau dirinya sudah cukup berbakti pada organisasinya.  Dirinya tidak mahu berhutang dengan organisasi dan dirinya mahu organisasi mengingati sumbangannya atas kebaikan yang telah dicurahkan.

 

Ke empat : Sejauh manakah anda berpegang pada prinsip hidup

Semangat adalah hasil diri usaha gigih tanpa mudah diruntuhkan oleh faktor persekitaran.  Kegigihan ini adalah hasil dari kecekalan dirinya untuk memperjuangkan sesuatu kejayaan berpandukan prinsip hidup yang mulia.  Jika dirinya aktif dalam persatuan sukarela, prinsipnya adalah pada nilai kemanusiaan sejagat.  Dirinya akan terus menyumbang biarpun tidak diberi sebarang bentuk pulangan.  Semakin tinggi dan mulia prinsip dan nilai hidup seseorang, semakin tinggi kuasa motivasi.  Sebaliknya , individu  yang tidak mempunyai sebarang bentuk pegangan akan mudah terluntur semangat akibat dari percakapan orang lain.  Dirinya tidak kuat dan tidak cekal kerana nilai perjuangan adalah berlandaskan pada sesuatu yang kurang membina.  Individu sebegini mungkin terdorong oleh keselesaan, wang atau nikmat sensasi keduniaan.  Jika diri anda masih bulan mempunyai sebarang pegangan dalam perjuangan, tanyakan diri secara jujur, “untuk apa saya teruskan kerja ini?” “Untuk apa saya datang ke dunia ini?” “Bukankah saya mempunyai tujuan yang lebih mulia?”  “Apakah yang boleh saya lakukan agar hidup ini menjadi lebih bermakna lagi.

 

Ke lima : sejauh manakah anda cekap menyesuaikan diri dalam sebarang kemungkinan

Individu yang bermotivasi boleh meneruskan perjuangan dalam semua keadaan.  Dirinya tidak merungut biarpun keadaan tidak memenuhi hajatnya.  Dirinya tidak menghentikan perjuangan biarpun berbagai kejadian luar jangka terus menghantui usahanya.  Ini bermaksud, dirinya mempunyai daya tahan yang tinggi.  Apa sahaja yang berlaku, dirinya akan terus mencari jalan.  Kalau dirinya dihantar bertugas di tempat yang tidak mempunyai masjid, dirinya akan menjalankan ibadat di rumah sendiri.  Kalau dirinya diminta meninggalkan kampung halaman dan bertugas di tempat lain, dirinya mampu.  Individu sebegini sanggup korbankan apa sahaja kerana dirinya mempunyai tujuan yang lebih besar dalam hidup.

 

Kesimpulan

Sememangnya , semangat adalah landasan kepada motivasi.  Tanpa semangat, maka tiadalah motivasi.  Semangat adalah suatu perasaan yang dilahirkan dari kesedaran dan kefahaman tentang hidup.  Seseorang yang mempunyai kualiti minda yang tinggi adalah orang yang bersemangat tinggi.  Petikan ini adalah menjurus kepada kualiti pemikiran orang yang bermotivasi tinggi.  Semoga dengan mengamalkan semua faktor bina semangat yang tertera di atas, diri anda akan mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

  • Jangan anggapkan diri anda lemah biarpun diri anda telah kecundang seribu kali.
  • Jangan anggap diri anda bodoh biarpun diri anda telah silap berkali-kali
  • Jangan anggap diri anda mundur biarpun diri anda tidak sebaik orang lain

Sebaliknya anggapkan diri anda seorang yang penting dan berjaya biarpun apa sekali pun yang berlaku.

Website Pin Facebook Twitter Myspace Friendfeed Technorati del.icio.us Digg Google StumbleUpon Premium Responsive

Author: Dr.Yew

Dr.Yew is a professional speaker.